collections khutbah Menyokong Kebajikan Keluarga
Menyokong Kebajikan Keluarga

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

20 September 2019 / 20 Muharram 1441H

Menyokong Kebajikan Keluarga

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan ketaqwaan yang benar dan jitu. Ketaqwaan yang akan memandu kita kepada kejayaan dan kemuliaan di sisi Allah di dunia dan juga di akhirat. Amin.

Saudaraku sekalian,

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 83 yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji dari Bani Israil, (yaitu) Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat baiklah kepada orang tua, kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin. Serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah solat dan tunaikan zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu selalu berpaling.”

 

Ayat ini mengingatkan kita bahawa ibadah bukan sahaja dengan menyembah Allah melalui solat, puasa, zakat, zikir dan sebagainya tetapi juga merangkumi bakti yang kita beri kepada sesama insan di sekeliling kita.

 

Kedua ibu bapa kita telah diletakkan sebagai golongan yang perlu kita berikan tumpuan dan perhatian. Ini terutama sekali apabila mereka sudah menjangkau usia yang lanjut. Inilah masa yang perlu untuk kita tingkatkan sifat rahmah serta kasih sayang kepada mereka melalui khidmat serta penjagaan yang diperlukan. Kita sebagai anak perlu meningkatkan bakti dengan memberi sokongan kepada keperluan dan kebajikan mereka dari pelbagai sudut. Mereka bukan sahaja memerlukan sokongan kewangan, mereka juga memerlukan sokongan emosi, mental dan juga fisikal. Ini dapat kita fahami melalui firman Allah s.w.t. yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'Uf', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia” [Surah al-Isra: 23].

 

Kalimat “Uf” yang disebut ayat tadi, walaupun ia merupakan perkataan yang pendek tetapi ia boleh menyinggung perasaan ibubapa kita. Inikan pula perkatan yang lebih kasar yang boleh mendatangkan kesedihan, kehampaan, kerisauan, kecemasan kepada mereka. Maka jagalah percakapan kita ketika kita berada di samping mereka.

 

Saudaraku,

Menjaga emosi serta perasaan ini menjadi lebih penting, lebih-lebih lagi bagi mereka yang menjaga kedua ibu bapanya yang sudah uzur. Mereka mungkin sudah mula lupa serta alpa dengan perkara-perkara seharian mereka, tetapi mereka masih memahami perkataan-perkatan yang diluahkan oleh mereka yang berada di sekeliling mereka. Kata-kata seperti: “Abah atau ibu dah nyanyuk” dan sebagainya. Perkataan-perkataan sedemikian sedikit sebanyak dapat menyinggung perasaan mereka. Apalah maknanya jika keperluan wang serta makan minum mereka dijaga tetapi hati-hati mereka disakiti.

Kita mohon kepada Allah s.w.t. supaya Allah merahmati mereka sepertimana mereka merahmati kita ketika kita kecil. Maka seharusnya kita sendiri menunjukkan sifat rahmah kepada mereka melalui kata-kata serta gerak-geri kita.

 

Saudaraku sekalian,

Tugas menyantuni serta berbakti kepada orang tua adalah tugas yang perlu dipikul oleh semua anak serta keluarga. Ia perlu dikongsi melalui muafakat di antara adik-beradik. Usaha ini perlu diambil dengan kerelaan hati dan dianggap sebagai suatu ibadah sepertimana kita menunaikan ibadah-ibadah yang lain. Malah ganjaran yang bakal dikurniakan juga adalah sangat besar.

 

Berbahagialah anak-anak yang soleh yang dapat berbakti kepada kedua ibu bapanya ketika mereka sangat memerlukan. Berbahagialah anak-anak yang berusaha untuk menyenangkan, menceriakan serta membahagiakan ibu bapa mereka.

 

Perhatikan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Amat rugi, amat rugi, amat rugi.” Baginda ditanya: “Siapa itu wahai Rasulullah?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Seorang yang mendapati kedua ibubapanya yang masih hidup atau salah seorang dari keduanya ketika sudah lanjut usia, namun dia tidak masuk syurga.” [Hadith riwayat Muslim].

 

Sidang Jemaah sekalian,

Sekiranya kita dapati bahawa adik beradik yang lain tidak menjalankan tanggungjawab mereka, janganlah kita merasa hampa dan sedih. Jangan sekali-kali kita merungut atau keluh kesah. Segala apa yang dilakukan dengan keikhlasan akan dikurniakan ganjaran yang baik di dunia dan akhirat.

 

Ingatlah saudaraku bahawa setiap kita yang bergelar anak mempunyai peranan untuk berbakti kepada ibu bapa kita. Usahakanlah untuk sama-sama meringankan tangan kita untuk turut membantu adik-beradik kita dalam menjaga kebajikan ibu bapa. Sekiranya kita tidak menjaga ibu bapa kita di rumah, pastikanlah kita juga bertanya khabar serta keperluan adik beradik kita yang menjaga mereka. Sebagai penjaga tetap ibu dan bapa, mereka juga semestinya memerlukan masa untuk berehat, melancong bersama keluarga dan menjalankan aktiviti semasa, bagi kesihatan mental dan emosi mereka serta kesejahteraan mereka sebagai penjaga. Untuk itu usahakanlah untuk meluangkan masa untuk menghubungi mereka, menanya khabar dan menawarkan bantuan jika perlu, untuk membawa orang tua bersama kita buat sementara waktu, ataupun mendapatkan pembantu bagi menguruskan keperluan orang tua kita. Semoga dengan yang demikian, adik-beradik serta orang tua kita dapat terus hidup dengan selesa dan kita juga turut menabur saham dalam merawat, menyantuni dan menjaga kedua ibu bapa. Selagimana mereka bersama kita, hargailah kewujudan mereka, mohonlah doa mereka. Merekalah kunci-kunci kita ke syurga.

 

Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita anak-anak yang soleh, mengurniakan kita peluang untuk terus berbakti serta mendoakan kebaikan kedua ibu bapa kita. Mudah-mudahan kita digolongkan di kalangan hamba-hamba Allah yang dikasihiNya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.