collections khutbah Menunaikan hak: Penjagaan Anak-Anak
Menunaikan hak: Penjagaan Anak-Anak

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

24 September 2021 / 17 Safar 1443H

Menunaikan hak: Penjagaan Anak-Anak

 

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah (s.w.t.) dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Amin.

Saudara dan Saudari,

Bagaimana sekiranya kita mengetahui ada satu amalan yang bakal mengakibatkan kita mendapati ganjaran yang luar biasa di syurga Allah (s.w.t.). Iaitu berjiranan dengan kekasih kita, Saidina Rasul Muhammad (s.a.w.). Apakah kita akan mengamalkannya?

Perhatikan hadis yang diriwayatkan Imam Muslim:

كَافِلُ الْيَتِيْمِ لَهُ أَوْ لِغَيْرِهِ، أَنَا وَهُوَ كَهَاتَيْنِ فِي الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini di syurga (sambil Nabi s.a.w. mengisyaratkan dengan dua jari baginda).”  

Imam an-Nawawi menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan “anak yatim miliknya” adalah seseorang yang mempunyai ikatan keluarga terdekat seperti datuk, nenek, abang, kakak, bapa saudara, ibu saudara dan sebagainya. Dan yang dimaksudkan dengan “menjaga milik orang lain” adalah dengan menjaga anak orang lain yang tidak mempunyai sebarang pertalian kekeluargaan dengan kita.

Saudara dan Saudari,

Agama ini menitikberatkan penjagaan anak-anak secara umumnya, termasuk juga penjagaan anak-anak yatim dan juga anak-anak terbiar. Sehinggakan pada mana-mana kitab fiqh, pasti akan terdapat satu bab yang dikhususkan untuk membahaskan tentang hukum-hakam berkaitan penjagaan anak-anak terbiar (al-manbuz ataupun al-laqit). Segalanya demi menuruti perintah Tuhan untuk menunaikan hak setiap anak dan memelihara keselamatan mereka.

Anak-anak ini memerlukan kepada penjagaan. Kerana ketiadaan ibu dan bapa kandung yang sedia memainkan peranan tersebut. Dari itu, sesiapa yang dengan penuh rela mengorbankan tenaga, masa mahupun harta untuk menyediakan keperluan dan perkara asasi baginya, sikap keihsanan dan rahmah yang dipaparkan ini, dipandang tinggi dan mulia di sisi agama. Bahkan beliau mendapatkan tempat yang begitu dekat di sisi Nabi (s.a.w.). Bukankah Baginda sendiri dulunya merupakan anak yatim, lalu diambil dan membesar di rumah atuknya (Abdul Muttalib), lalu ke rumah pakciknya (Abu Talib) setelah atuknya meninggal dunia.

Allah (s.w.t.) berfirman pada surah al-Baqarah ayat 220:

Yang bermaksud: “Tentang dunia dan akhirat. Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakanlah: "Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baik.” Dan jika kamu bergaul dengan mereka, maka mereka adalah saudaramu; dan Allah mengetahui siapa yang membuat kerosakan dari yang hendak memperbaikinya. Dan jikalau Allah menghendaki, nescaya Dia dapat mendatangkan kesulitan kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Saudara dan Saudari,

Pada kesempatan ini, ingin saya mendorong sesiapa yang berkemampuan serta berkesediaan untuk sama ada mengambil serta menjaga anak angkat ataupun menjaga anak titipan (foster care) maka hubungilah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk maklumat lanjut.  

Ingatlah walaupun mereka bukan anak-anak kita sendiri, akan tetapi keprihatinan dan keihsanan yang kita curahkan kepada mereka, pasti akan mengurniakan kepada kita ganjaran yang besar atas usaha yang kita kerjakan. Tambahan itu, melalui penjagaan dan kasih sayang yang dicurahkan dalam suasana keluarga, masa depan anak-anak ini akan lebih terjamin dan selamat InshaAllah.

Bagi mereka yang belum bersedia untuk mengambil anak angkat ataupun anak titipan pula, ayuh sama-sama kita sebarkan berita ini kepada saudara mara dan rakan taulan, untuk meningkatkan kesedaran. Mudah-mudahan dengan menggalakan usaha baik ini, kita diberi balasan pahala yang setimpal.

Semoga Allah (s.w.t.) menjadikan kita insan yang berpeluang untuk membantu antara satu sama yang lain, demi melahirkan generasi yang bermanfaat lantas mendapatkan kebaikan dunia dan akhirat. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.