collections khutbah MENGUKUHKAN KEROHANIAN PADA SAAT KRISIS
MENGUKUHKAN KEROHANIAN PADA SAAT KRISIS

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Aidiladha

31 Jul 2020 / 10 Zulhijjah 1441H

MENGUKUHKAN KEROHANIAN PADA SAAT KRISIS

 

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,

Dengan kerendahan hati dan jiwa marilah kita panjatkan setinggi-tinggi pujian ke hardrat ilahi atas segala nikmatNya buat kita sejauh ini. Pagi ini kita dapat berkumpul dengan penuh kesyukuran dan keinsafan. Allah s.w.t. sentiasa mengurniakan limpahan kurniaNya meskipun di dalam suasana yang penuh dengan ujian dan dugaan. Dengan izin Allah s.w.t. dan juga usaha dan kerjasama masyarakat, masjid-masjid kita pada hari raya Aidiladha ini, telah dapat kembali dibuka, dan kita telah dapat juga menunaikan solat hari raya.

Ramai yang khuatir sekiranya kita masih lagi tidak dapat berpeluang untuk mendirikan solat hari raya di masjid, sepertimana pada hari raya Aidilfitri yang lalu. Namun begitulah kita dianugerahkan Allah s.w.t. nikmat untuk berkumpul pada pagi ini. Maka perbanyakkanlah kesyukuran kita kepada Allah s.w.t. dan teruskanlah segala usaha baik di dalam menyokong langkah-langkah berjaga-berjaga yang perlu kita ambil. Demi memastikan masjid-masjid kita terus menjadi tempat yang selamat agar ia dapat terus dimakmurkan.

Para Jemaah yang saya hormati,

Hari Raya Aidiladha mengingatkan kita akan maksud, nilai serta ganjaran pengorbanan. Kisah pengorbanan para Anbiya serta keluarga mereka mengajar kita bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan untuk Allah s.w.t. dan kebaikan tidak akan sia-sia. Bahkan pengorbanan itulah yang akan meninggikan darjat seorang hamba serta mendekatkan kita lagi kepada Allah s.w.t. Ia adalah jalannya para solihin serta sunnahnya para Anbiya.

Kita seharusnya ingat, bahawa pengorbanan yang benar-benar bernilai di sisi Allah, bukan terletak pada bentuk mahupun zahirnya. Akan tetapi pada niat dan taqwa di dalam hati. Sepertimana difirmankan Allah s.w.t.:

Yang bermaksud: Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (iaitu ganjaran yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.” (Surah al-Hajj ayat 37).

Sejak kebelakangan ini, kita telah diuji dengan pelbagai ujian yang berat yang belum pernah kita lalui sebelum ini. Ia memerlukan kita untuk membuat pengorbanan.

Semangat pengorbanan ini dapat kita lihat dalam pengamalan agama masyarakat Islam Singapura. Lihat sahaja pada hari ini. Tidak semua yang dapat mendirikan solat di masjid, sama ada solat hari raya, mahupun solat Jumaat. Masih lagi terdapat keterbatasan tertentu. Begitu juga ibadah korban dan haji.

Kita boleh sahaja melihat keterbatasan ini sebagai satu kelemahan, bahkan ada segelintir yang melihatnya sebagai kecuaian agama. Tetapi alhamdullilah, masyarakat kita memahami keutamaan, serta roh dan hikmah di sebalik pensyariatan. Mereka melihat keterbatasan ini sebagai satu perkara yang positif. Ia merupakan satu pengorbanan dalam usaha kita untuk membuat penyesuaian demi menjaga satu perkara yang begitu penting ketika berlaku penularan wabak, iaitu memelihara nyawa. Kita terus berusaha untuk mencari ruang kebaikan yang lain, sebagai contoh, berkorban di luar negara, di tempat-tempat di mana ibadah korban itu boleh terlaksana.

Subhanallah! Pengorbanan demi pengorbanan kita persembahkan. Kita ketepikan keinginan peribadi serta mengorbankan keselesaan diri demi memelihara keselamatan dan kesejahteraan ramai. Ia kita lakukan atas mencari keredhaan Allah s.w.t. dan ia merupakan satu ibadah kita.

Apapun pengorbanan yang kita tempuhi, ketahuilah bahawa ujian yang dihadapi Nabi s.a.w. ternyata lebih besar dan mencabar. Baginda s.a.w. sekeluarga menjalani kehidupan yang sangat mencabar di mana keselamatan dan kesihatan mereka sering terancam.  

Muslimin Muslimat yang saya kasihi.

Kita memaklumi bahawa suasana hari ini mungkin akan bertambah lebih mencabar kerana ramai yang akan terjejas dari segi ekonomi dan pekerjaan. Maka akan terdapat golongan yang lebih memerlukan kepada sokongan dan bantuan kita. Dengan ini, kita perlu terus mengamalkan sikap bantu-membantu antara kita. Peka akan situasi mereka yang berada di sekitar kita.

Maka sesiapa yang masih lagi dikurniakan Tuhan kelapangan, hulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang berhadapan dengan cabaran pada saat-saat yang getir ini. Nabi bersabda: Allah s.w.t. akan sentiasa membantu seorang hamba, selagimana hamba tersebut membantu saudaranya. (Hadis riwayat imam Muslim).

Sekiranya tiada apa yang mampu untuk anda hulurkan, sekurang-kurangnya, kirimkanlah doa untuk saudara anda. Semoga dengan niat anda untuk membantu saudara anda tersebut, akan menjadi sebab untuk diberinya keringanan serta jalan keluar bagi masyarakat kita, berhadapan dengan saat serta detik yang mencabar ini.
Muslimin Muslimat yang saya kasihi.

Yakinilah bahawa segala pengorbanan dan ketidakselesaan anda dalam masa-masa getir kini, tidak akan terlepas dari perhatian Allah s.w.t. Dia tidak pernah mengabaikan kita. Kadangkala Dia mengurniakan penyelesaian dengan segara, dan kadangkala ditundakan jalan keluarnya kerana hikmah yang tertentu.

Berdirinya anda pada hari yang mulia ini sama ada di masjid-masjid mahupun di rumah-rumah anda sendiri dengan menunaikan solat hari raya, ia merupakan bukti kukuh bahawa Allah s.w.t. masih terus mengurniakan kepada anda kekuatan dan ketabahan.

Dan sememangnya kita perlu terus bertahan dan bersabar. Kerana perjalanan serta huraiannya masih jauh lagi. Akan tetapi kita yakin, bahawa krisis ini adalah seperti mana-mana ujian kehidupan yang lain. Pasti ada kesudahan serta penyelesaiannya. Sebagaimana firmanNya yang bermaksud: Maka sesungguhnya bersama kesusahan akan ada kesenangan.

Semoga Allah s.w.t. terus mengurniakan kepada kita kesejahteraan dalam kehidupan, serta memelihara negara serta masyarakat yang kita kasihi ini daripada sebarang ancaman dan kemudaratan insyallah. Amin ya Rabbal alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

Khutbah Kedua

10 Zulhijjah 1441H

 

 كاليXاللهُ أَكبَر 7

الحَمدُ للهِ الَّذي أَعَادَ الأَعيَادَ وَكَرَّرَ. أَحمَدُهُ سُبحَانَهُ أَن خَلَقَ وَصَوَّرَ. وَأَشهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ شَهَادَةً يَثقُلُ بِهِ المِيزَانَ فِي المَحشَرِ. وَأَشهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبدُهُ وَرَسُولُهُ المَبعُوثُ إِلَى الجِنِّ وَالبَشَرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّم عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصحَابِهِ الفَائِزِينَ بِالشَّرَفِ الأَفخَرِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَالَ فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلِذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.