collections khutbah Menghormati Wanita
Menghormati Wanita

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

4 Jun 2021 / 23 Syawal 1442H

Menghormati Wanita

 

Muslimin Muslimat,  

Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Marilah kita terus mengamalkan amal soleh dan mencari reda dan rahmat Allah. Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan kita petunjuk-Nya dan bantuan-Nya. Amin.

Saudaraku,

Zaman jahiliyah merupakan era yang penuh dengan ketidakadilan – antara mereka yang berkemampuan ataupun tidak, antara yang kuat dan lemah, juga antara lelaki dan wanita. Seorang wanita dianggap sebagai satu objek yang boleh dijual beli. Anak perempuan dikira sebagai satu beban kepada ayahnya. Sehinggakan kerap kali seseorang perlu memilih antara menanam anak gadisnya hidup-hidup ataupun membiarkannya hidup lalu menanggung malu bagi keluarga. Jika mereka dibiarkan hidup, mereka dianggap seperti harta yang diwarisi daripada seorang lelaki kepada lelaki lain.

Namun, tatkala Nabi (s.a.w.) menyampaikan Islam, Baginda menghentikan segala kezaliman ini. Baginda mendidik bahawa setiap nyawa insan, tidak kira lelaki ataupun wanita, mempunyai maruah dan penghormatan yang perlu dilindungi oleh masyarakat. Baginda mengingatkan bahawa kita semua sama di sisi Tuhan. Apa yang membezakan kita bukanlah kekayaan, jantina atau sebagainya. Tetapi ketakwaan kita. 

Mesej Islam sangat jelas: tiada perbezaan antara lelaki dan wanita pada aspek kemuliaan, kehormatan serta penghargaan, dan kedudukan wanita bukannya lebih rendah daripada kaum lelaki di sisi Tuhan.

Para Muslimin dan Muslimat,

Jika Rasulullah (s.a.w.) telah berusaha untuk menaikkan status wanita melalui ajaran serta contoh Baginda yang mulia, tidakkah kita berasa malu jika kita merendahkan, tidak menghormati serta menghina kaum wanita?

Kes tinjauan lucah yang dijalankan baru-baru ini amat mengejutkan masyarakat kita, dan – amat kesal sekali – ia bukan satu-satunya kes sedemikian. Mereka yang melakukan ini telah gagal untuk melihat aspek kemanusiaan pada diri individu yang mereka hina. Mereka hanya melihat individu tersebut sebagai satu objek untuk memenuhi keinginan mereka. Kebiasaan ini mestilah dibuang sebelum ia makin berleluasa sehingga lebih ramai lagi yang menjadi mangsa. Kita perlu renungkan secara serius apakah faktor-faktor yang telah mengakibatkan sesuatu kebiasaan untuk merebak sehingga membawa kepada beberapa perbuatan yang tidak senonoh, sama ada bagi kes ini mahupun yang serupa dengannya.  

Antara punca berleluasa kebiasaan yang merendahkan kaum wanita, adalah apabila terdapat kekurangan kesedaran di sisi individu, akan kesan buruk pada sebahagian perbuatan ataupun kata-kata.  

Sebagai contoh, kita tidak boleh mengambil ringan segala pernyataan ataupun jenaka yang merendahkan kaum wanita, dan kita tidak seharusnya menganggap kecil sesuatu perbuatan dengan bertanggapan bahawa ia merupakan perbuatan yang dilakukan anak-anak lelaki. Kerana anak lelaki akan sentiasa berfikir/melakukan perbuatan tersebut, (“boys will be boys”). Ini sama sekali tidak boleh diterima. Marilah kita ambil pengajaran daripada hadis Nabi (s.a.w.) yang mengingatkan kita untuk tidak leka dalam perbualan kita:

“Sesungguhnya seorang lelaki mengatakan sesuatu perkataan yang dilihatnya sebagai tidak merbahaya, tetapi kerana kata-kata itulah dia akan jatuh ke dalam neraka tujuh puluh tahun.” (Hadis diriwayat oleh Imam Tirmizi).

Kita perlu sedari bahawa segala perkataan yang kita ungkapkan, dan segala perbuatan akan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat kelak. Ia menggambarkan keimanan kita yang bakal memainkan peranan dalam membina budaya yang positif bagi anak-anak kita.

Saudara saudari,

Satu lagi faktor yang penting ialah perbuatan menyalahkan mangsa. Wanita sering kali dipersalahkan kerana pakaian mereka, dan sebahagian individu mengambil peluang ini untuk menjadikan cara seorang wanita berpakaian sebagai punca kepada perbuatan keji yang mereka lakukan.

Walaupun menyalahkan mangsa ataupun kepada keadaan kehidupan dunia sekarang ini merupakan jalan keluar yang mudah, namun hakikatnya tiada siapa yang bertanggungjawab ke atas dosa-dosa yang kita lakukan melainkan diri kita sendiri.

Jika kita terus menyalahkan wanita, apa yang sebenarnya kita lakukan ialah memberi sebahagian individu sebab untuk terus tidak menghormati wanita. Allah (s.w.t.) berfirman di dalam Surah an-Nur ayat ke-30:

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada kaum lelaki yang beriman supaya mereka menjaga pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Ketika sepupu Nabi Muhammad (s.a.w.), al-Fadhl ibn Abbas (r.a.), melihat seorang wanita cantik, Nabi (s.a.w.) yang mengalih pandangan al-Fadhl daripada wanita tersebut. Baginda tidak memarahi atau menyalahkan wanita itu. Sebaliknya, Baginda memilih untuk mendidik al-Fadhl tentang kepentingan mengawal diri sendiri.  

Para muslimin dan muslimat yang dikasihi,

Setiap daripada kita memainkan peranan untuk mengubah. Kita mulakan dengan merenungkan, sama ada kita pernah menyumbang kepada masalah ini, sama ada dengan sengaja atau tidak. Setelah kita menjadi contoh yang baik buat diri sendiri, marilah kita mengingatkan antara satu sama lain akan kehormatan wanita sepertimana yang ditetapkan Islam. Setentunya kita melaksanakannya dengan penuh adab. Ingatlah bahawa kita perlu sentiasa menghormati wanita dalam kehidupan peribadi mahupun awam. Mulakan dengan ibu, isteri dan anak perempuan kita sendiri. Sebagaimana kita tidak mahu perbuatan orang lain untuk membahayakan ataupun merendahkan mereka.

Anak-anak perlu dididik daripada usia muda untuk menghormati antara satu sama lain. Allah ingatkan kita dalam al-Quran:

“…Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya...” (Surah Al-Baqarah, ayat 235).

Saudara saudari sekalian,

Kita perlu memelihara institusi-institusi agama kita daripada kelakuan dan kejadian sebegitu. Setiap insan yang hadir pada institusi agama untuk belajar, bekerja dan menunaikan ibadah, perlulah merasa selamat.

Demi melakukan sedemikian, kita harus menangani dan menolak sebarang gangguan daripada berlaku dalam institusi-institusi agama. Inilah kewajipan kita terhadap masyarakat, dan juga terhadap Tuhan.

Di saat doa-doa kita diterima oleh Allah (s.w.t.), marilah kita mendoakan mereka yang terjejas secara langsung atau sebaliknya, dan marilah kita doakan juga buat masyarakat kita secara umum.

Ya Allah, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Melindungi. Kami rendahkan diri kami di hadapan-Mu. Bersihkanlah hati-hati kami dari sifat hipokrit dan bantulah kami daripada melakukan sebarang kejahatan, baik secara peribadi mahupun terbuka. Bantulah kami untuk menundukkan pandangan kami daripada melihat apa yang dilarang, dan peliharalah minda serta hati kami daripada noda dan dosa. Rahmatilah kami dan sayangilah kami, kami amat memerlukan pertolongan-Mu, dan berikanlah kemudahan dan keselesaan kepada hamba-hamba-Mu yang sedang diuji. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.