collections khutbah Menghayati Nama Tuhan Al-Barr
Menghayati Nama Tuhan Al-Barr

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

24 Disember 2021 / 19 Jamadilawal 1443H

Menghayati Nama Tuhan Al-Barr

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan apa yang terbaik buat diri kita, serta menjadikan kita insan yang bersyukur dan bersabar di atas segala kurniaan-Nya. Amin.

Saudara dan saudari,

Khutbah sepanjang bulan ini mengajak kita untuk menghayati beberapa nama Allah (s.w.t.) yang sempurna. Pada hari ini, nama yang ingin saya ketengahkan bersangkutan dengan kurniaan-Nya yang melimpah ruah ke atas segala makhluk-Nya. Nama yang saya maksudkan ini adalah al-Barr.

Di dalam kitab Sha’nu al-Du’a (شأن الدعاء), Imam al-Khattabi berkata bahawa al-Barr bermaksud: Berlembut kepada hamba-hamba-Nya serta berlaku ihsan terhadap mereka. Kerana kebaikan-Nya meliputi segala ciptaan-Nya dan Dia tidak berlaku bakhil dengan rezeki-Nya terhadap makhluk-Nya.

Dengan itu, segala yang Allah (s.w.t.) cipta, sama ada yang berada di bumi mahupun di langit, yang zahir mahupun yang tersembunyi, yang beriman kepada-Nya mahupun yang kufur, kesemuanya menerima kurniaan-Nya. Allah berfirman dalam surah at-Tur ayat 28:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya kami dahulu tetap menyembah-Nya (dan memohon pertolongan-Nya). Kerana sesungguhnya Dialah sahaja yang sentiasa melimpahkan ihsan-Nya, lagi Yang Maha Mengasihani.”

Saudara dan saudari,

Di samping kurniaan serta nikmat Tuhan, kita tidak menafikan bahawa terdapat juga pelbagai cabaran hidup yang kita alami. Kadangkala sebahagian individu diuji dengan ujian kehidupan yang pelbagai. Maka bagi individu Mukmin, beliau memiliki keyakinan yang kukuh bahawa segala yang Tuhan al-Barr tetapkan terdapat hikmah di sebaliknya.

Sebagai contoh, apabila kita diuji dengan kesakitan, ujian dalam mencari rezeki, pemergian seseorang yang kita cintai dan bermacam-macam lagi. Pada hakikatnya, kita tidak tahu apakah hikmah ataupun kebaikan di sebalik ketentuan Allah (s.w.t.). Ini kerana akal dan pengetahuan kita amat terhad. Maka di sinilah peranan keimanan dan keyakinan kita terhadap Qada’ dan Qadar Allah (s.w.t.) dalam membincangkan nama Tuhan al-Barr.

Dan apabila kita memahami nama Tuhan al-Barr ini dengan betul, kita akan bersangka baik terhadap-Nya. Kerana Allah (s.w.t.) Maha Pengasih dan Maha Penyayang, lantas mahukan yang terbaik buat hamba-hamba-Nya.

Perhatikan hadis Nabi (s.a.w) yang bermaksud: “Janganlah salah seorang di antara kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka kepada Allah.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Saudara dan saudari,

Tahun 2021 hampir berakhir tidak lama lagi. Terdapat banyak pengalaman yang telah kita lalui. Lebih-lebih lagi menguruskan kehidupan dalam suasana COVID-19 yang masih berterusan.

Namun, Allah (s.w.t.) yang bersifat al-Barr tetap terus mengurniakan kepada kita nikmat-Nya yang tidak terhitung banyaknya. Sebagai contoh sejak kebelakangan ini, walaupun ada keterbatasan dalam pergerakan kita, ada keringanan dan jalan keluar yang diberi. Kita mendapati masjid-masjid di Singapura telah membuka lebih banyak ruang untuk solat Jumaat berbanding dahulu. Maka kini lebih ramai lagi jemaah dapat menunaikan solat jumaat. Ini juga merupakan satu peluang bagi mereka yang sudah lama tidak berkesempatan untuk menunaikan solat kerana keterbatasan ruang solat. Alhamdulillah.

Namun, usaha ini tidak seharusnya berakhir di sini sahaja. Kita masih lagi perlu teruskan sikap berjaga-jaga kerana terdapat varian-varian baru yang terus mengancam keselamatan dan kesihatan kita semua. Maka kita masih perlu perhatikan kesejahteraan ramai serta menuruti panduan yang diberi. Mudah-mudahan Allah (s.w.t.) terus mengurniakan kepada kita keselamatan sentiasa serta memberi kepada penduduk dunia huraian bagi ujian ini.

Semoga Allah (s.w.t.) yang Maha Pemurah mengurniakan kita nikmat yang banyak, dan menjaga kita semua daripada sebarang keburukan. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

Saudara dan saudari,

Pada kesempatan ini, ingin saya berkongsi dengan para jemaah semua akan usaha yang sedang dijalankan oleh badan-badan rasmi seperti persatuan Palang Merah Singapura (Singapore Red Cross, ataupun SRC) untuk mengumpul derma bagi membantu saudara kita di Malaysia yang terjejas kehidupannya akibat banjir yang melanda. Marilah kita hulurkanlah sumbangan ikhlas untuk membantu mereka yang dalam kesusahan. Maklumat lanjut untuk menderma boleh didapati di lelaman web SRC. Semoga sumbangan ikhlas kita dapat memberikan sinar harapan dan kekuatan agar mereka yang terjejas dapat meneruskan kehidupan. Amin.

 

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.