collections khutbah Mengharapkan Kesejahteraan Dunia
Mengharapkan Kesejahteraan Dunia

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

21 Mei 2021 / 9 Syawal 1442H

Mengharapkan Kesejahteraan Dunia

 

Saudaraku yang dirahmati Allah, 

Marilah kita mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah (s.w.t.) dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Teruskan segala amal kebaikan, serta mengharapkan rahmat Tuhan. Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan kepada kita pertolongan-Nya. Amin. 


Saudaraku,

Kehidupan kita adalah satu perjuangan kerohanian yang berterusan. 

Sebagai umat Islam, keimanan merupakan sumber kekuatan dan bekalan bagi menghadapi perjuangan ini. Ia memberikan kita harapan. Ia memberikan kita daya tahan dan kekuatan untuk mengatasi segala ujian. Ia menguatkan semangat kita untuk terus mengejar kebaikan. Ia meyakinkan kita akan bantuan Tuhan (an-nasr) selagimana kita tidak berputus asa daripada berusaha dan bergantung harap kepada-Nya, dan jika kita terus kekal di atas jalan-Nya. 

Di dalam saat-saat yang sukar di dalam kehidupan, di dalam kesedihan dan kemurungan kita serta kemalapan dan kegelapan suasana, berpegang teguhlah pada janji Tuhan. Pada setiap kesulitan, akan ada kesenangan dan jalan keluar. Firman Allah (s.w.t.) di dalam Surah As-Sharh ayat 5: “Dan sesungguhnya berserta kesusahan ada kesenangan.”

Apapun keadaan dan ujian yang kita lalui, kita seharusnya sentiasa berharap agar kita berjaya mengharunginya, dan menjadi individu Muslim yang lebih baik di penghujungnya. Yang lebih kukuh keimanan dan ketakwaan, dan lebih tabah dan sabar. Firman Allah (s.w.t.) yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu beriman.” (Surah Ali Imran: 139).


Saudaraku,

Kita akur bahawa kita hidup dalam masa dan suasana yang sangat sukar, mencabar dan tidak menentu. Keadaan sekarang ini pula masih lagi mengkhuatirkan. Namun, di dalam kekhuatiran ini, masih lagi ada sebab untuk kita bersikap positif dan bersyukur. Di dalam kesederhanaan hidup dan perayaan juga, kita dapat menjalin silaturrahim dengan keluarga sebaik mungkin dan dengan penuh bertanggungjawab. Kita masih lagi dapat menikmati keistimewaan Syawal walaupun kurang kemeriahannya. 

Nabi (s.a.w.) bersabda: “Pandanglah orang yang berada di bawahmu (dalam masalah harta dan dunia) dan janganlah engkau pandang kepada mereka yang berada di atasmu. Dengan demikian, hal itu akan membuat kamu tidak meremehkan nikmat Allah padamu.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).


Saudaraku,

Begitu juga situasi sedunia yang masih tidak menentu. Umat manusia masih lagi menghadapi banyak penderitaan dan kesengsaraan hidup. Ramai yang masih merana kerana pandemik. Ada pula sekarang ini situasi konflik dan keganasan yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa yang tidak berdosa. Ini pastinya amat menyedihkan dan menyayat hati kita. Jiwa orang yang beriman tidak boleh menerima kekejaman sedemikian. Rohani orang yang bersifat ihsan dan rahmah menolak segala bentuk kezaliman dan penganiayaan. Apatah lagi apabila ini berlaku di bumi yang diberkati, di Masjidil Aqsa, dan tatkala umat Islam beribadat di bulan suci Ramadan dan di dalam bulan Syawal ini. Segala perkembangan ini setentunya amat merisaukan dan menyedihkan kita. 


Saudaraku,

Di dalam kesedihan dan kebimbangan ini, ingatlah akan peranan keimanan dan keyakinan kita dengan bantuan Allah (s.w.t.). Kita juga perlu menanamkan keyakinan akan kekuatan berdoa, lalu mendoakan kebaikan serta huraian bagi konflik ini. Sebagaimana Nabi (s.a.w.) bersabda: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Selain daripada memanjatkan doa bagi saudara mara kita yang menghadapi kesulitan, kita juga boleh membantu mereka melalui sumbangan ikhlas. Pastikan saudaraku, sumbangan kita disalurkan kepada badan-badan rasmi yang terdaftar dan yang telah mendapatkan keizinan untuk mengumpul dana tersebut. Ia untuk memastikan bahawa dana yang ingin diberikan sampai kepada mereka yang berhak dan bukannya disalahgunakan. 

Dengan itu, bermula dari esok, Sabtu 22 Mei, Yayasan Rahmatan Lil Alamin akan mengadakan kutipan derma untuk Palestin. Demi menjaga keselamatan dan kemudahan masyarakat, anda boleh menyumbang melalui wadah dalam talian. Maklumat mengenai cara menderma boleh didapati di media masa, serta lelaman web MUIS dan juga Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF). Marilah kita hulurkan bantuan semampu yang mungkin dengan seikhlasnya. Semoga bantuan yang dihulurkan dapat memberi harapan kepada mangsa yang terjejas.

Pada masa yang sama, janganlah kita menjadi sebab untuk mengeruhkan lagi suasana dengan kata-kata yang boleh menyebarkan kebencian, perpecahan serta permusuhan. Orang yang beriman akan sentiasa bersikap adil dan menolak segala jenis keganasan dan permusuhan, tidak kira terhadap siapa sekalipun. 

Marilah pada saat-saat mustajab ini, kita merendahkan hati kita untuk memohon dan berdoa kepada Allah (s.w.t.), semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan dunia ini dengan keamanan dan melenyapkan segala kekejaman dan kezaliman. 

Ya Allah, Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pemelihara. Dengan rendah hati kami memohon kepada-Mu, kembalikan ketenangan, kedamaian dan keamanan kepada dunia ini khususnya daerah-daerah yang menyaksikan pergolakkan dan cabaran. Wahai Tuhan yang Maha Pelindung, lindungilah kami, negara kami serta saudara-mara seinsan kami di dunia ini termasuklah mereka di Palestin daripada sebarang kesulitan dan kezaliman. Kurniakanlah petunjuk, bimbingan serta hidayah-Mu agar sebarang konflik dan ketegangan dapat dihuraikan dengan aman. Limpahkanlah kasih sayang-Mu kepada hamba-hamba-Mu yang memerlukan bantuan. Ringankanlah cabaran hamba-hamba-Mu yang berhadapan dengan rintangan. Ya Hayyu ya Qayyum tunaikanlah harapan kami agar kembali dan berterusan keamanan dan kesejahteraan pada kehidupan semua insan. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.