collections khutbah Mengenali dan Mencintai Baginda s.a.w.
Mengenali dan Mencintai Baginda s.a.w.

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

 16 Oktober 2020 / 28 Safar 1442H

Mengenali dan Mencintai Baginda s.a.w.

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita memelihara keimanan dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan menunaikan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita kecintaan yang tulus kepada Nabi Muhammad s.a.w. Amin.

Saudaraku,

Beberapa hari lagi kita bakal memasuki bulan yang sangat mulia, iaitu bulan Rabiaulawal. Ia merupakan bulan kelahiran seorang insan yang agung di sisi Tuhan. Insan yang diutus  sebagai rahmah buat sekalian alam, junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Perhatikan firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Anbiya’ ayat 107 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Dan tidaklah kami mengutus kamu (Wahai Muhammad s.a.w.) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi alam semesta.”

Nabi Muhammad s.a.w. datang bersamanya curahan rahmah buat sekalian alam. Pembawa cahaya keimanan yang menyinari kegelapan kejahilan yang menyelubungi bumi selama ini. Pembawa harapan yang menyatupadukan kehidupan manusia dengan persaudaraan dan menghentikan permusuhan sesama manusia. Pembawa contoh tauladan yang mulia buat sekalian manusia.

Sheikh Ramadan al-Buthi pernah menceritakan dalam kitabnya “Fiqh as-Sirah” bahawa antara tujuan mempelajari sirah Nabi s.a.w. adalah untuk memahami peribadi Nabi s.a.w., melalui penghayatan kehidupannya. Kerana melalui penghayatan tersebut, ia bakal memberi gambaran akan keistimewaan Nabi Muhammad s.a.w. utusan dan kekasih Allah s.w.t. Baginda sebagai contoh teladan yang terbaik buat kita.

Saudaraku,

Maka dalam usaha menunjukkan rasa cinta kita kepada Baginda s.a.w., kita turut dianjurkan untuk menghayati sirah kehidupan Baginda. Dengan kita melungsuri sirah Baginda, ia dapat meningkatkan lagi keimanan dan kecintaan kita kepada Baginda dan menjadikan kita seorang Muslim yang sentiasa bersyukur dengan kurniaan Tuhan.

Pastinya ia bakal menghasilkan kebaikan pada diri serta menjadikan kita seorang insan yang dekat kepada Tuhan. Kerana seorang yang benar-benar mencintai Nabi serta mengamalkan ajaran Baginda s.a.w. pastinya tidak akan mencemarkan amalannya dengan akhlak yang buruk.

Saudaraku,

Kita bersyukur di atas kelahiran Nabi s.a.w. Kita bersyukur di atas nikmat yang Allah kurniakan ini. Kita turut bersyukur kerana dikurniakan suri tauladan yang dapat kita contohi dalam kehidupan seharian kita.

Segala nikmat ini merupakan sebahagian dari kurniaan Allah s.w.t. buat kita. Nikmat yang menyuburkan rasa cinta kita kepada Allah s.w.t. dan Baginda s.a.w. Perhatikan sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi yang bermaksud: “Hendaklah kamu semua mencintai Allah atas apa yang telah dilimpahkan-Nya kepadamu akan nikmat-nikmat-Nya. Dan cintailah aku kerana kecintaanmu kepada Allah.”

Saudara, tidakkah kita semua mencintai Nabi s.a.w.? Adakah kita merindui Nabi s.a.w.? Jika benar kita mencintai dan merindui Baginda, contohilah akhlak Baginda s.a.w. dan peliharalah diri kita dari sebarang bentuk keburukan yang menyalahi ajarannya. Perhatikan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan yang paling dekat kedudukannya disisiku di akhirat nanti adalah orang yang paling baik akhlaknya”. (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Maka seharusnya kita sentiasa berusaha untuk menjaga akhlak serta kelakuan kita pada setiap saat dan ketika. Akhlak sesama jiran tetangga, akhlak sesama teman. Bahkan, akhlak dan kelakuan kita bersama ahli keluarga yang terdekat juga perlu diperhatikan.  

Semoga Allah s.w.t. sentiasa menerima segala usaha dan amalan kita. Mudah-mudahan kita dikurniakan kesempatan untuk bertemu dengan Baginda s.a.w. di akhirat kelak. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.