collections khutbah Mengelak Pembaziran Tanda Syukur Kepada Tuhan
Mengelak Pembaziran Tanda Syukur Kepada Tuhan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

25 Mac 2022 / 22 Syaaban 1443H

Mengelak Pembaziran Tanda Syukur Kepada Tuhan

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita menghadirkan ketakwaan dalam diri kita dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan ketakwaan yang utuh, Allah (s.w.t.) akan mengurniakan kepada kita tempat di syurga-Nya. Amin.

Saudara dan saudari,

Allah (s.w.t.) berfirman:

 

Yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah kawannya Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.”

Ayat ini mengingatkan kita bahawa pembaziran dalam apa jua bentuk  sekalipun  merupakan kekufuran terhadap nikmat-Nya dan sifat yang dicela oleh Allah (s.w.t.).

Saudara dan saudari,

Perkara ini telahpun ditekankan oleh Nabi Muhammad (s.a.w.) sendiri. Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa, “Pada suatu ketika, Nabi (s.a.w.) lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu Baginda bersabda: “Pembaziran apakah ini?” Maka Sa’ad menjawab: “Adakah pada wuduk juga terdapat pembaziran?” Lalu, baginda pun menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Lihatlah, bagaimana Nabi (s.a.w.) menegur sahabat di atas kelakuannya yang menggunakan air berlebihan walaupun ketika berwudhu’. Begitulah Islam mendidik umatnya agar sentiasa berlaku adil dalam segala aspek kehidupannya. Ketika melakukan ketaatan kepada Tuhan sekalipun, sikap tidak berlebihan perlu dilaksanakan. Dengan sentiasa beringat untuk berpada-pada dalam segala urusan, ia akan membentuk peribadi yang adil dan terpuji.

Saudara dan saudari,

Setiap yang hidup di atas muka bumi ini pasti memerlukan air sama ada secara langsung ataupun tidak. Sumber-sumber makanan seperti sayur-sayuran, binatang ternakan dan lain-lainnya, segalanya memerlukan kepada air untuk terus menjalankan kehidupan. Justeru, nikmat air ini perlu diperlihara dengan baik.

Seseorang itu boleh menunjukkan kesyukurannya terhadap nikmat ini dengan merubah tabiat  seharian. Jangan kita berpemikiran, bahawa biar orang lain yang buat dahulu, ataupun mempersoalkan sama ada terdapat kesan yang mendalam disebalik usaha kecil yang kita lakukan. Perhatikan panduan Nabi (s.a.w.) pada hadis yang dibaca tadi. Nabi (s.a.w.) menegur sahabatnya yang sedang berwuduk. Kerana walaupun ia hanya merupakan satu langkah kecil yang mampu beliau laksanakan, akan tetapi langkah kecil dalam berjimat cermat, meninggalkan kesan, sekiranya keseluruhan masyarakat, serta umat Islam menuruti panduan ini. Bak kata pepatah: sikit-sikit, lama-lama menjadi bukit.

Maka perhatikan saudaraku, apakah langkah-langkah menjimat sumber air yang boleh kita lakukan. Ingatlah, bahawa air adalah nikmat dan setiap nikmat akan dipersoalkan kelak oleh Allah (s.w.t). Marilah kita menjadi pengguna yang bijak lagi adil dalam mengambil dan menggunakan segala keperluan hidup kita.

Saudara dan saudari,

Pada minggu ini, Singapura telah menyaksikan sambutan Hari Air Sedunia ataupun lebih dikenali sebagai “Singapore World Water Day” di mana ia bertujuan untuk menarik perhatian masyarakat ramai akan kepentingan untuk menjaga air bersih dan berjimat ketika menggunakannya. Sebagai seorang Muslim, usaha yang terpuji ini patut dipraktikkan dan diraikan kerana ia merupakan Sunnah Nabi (s.a.w.).

Semoga Allah (s.w.t.) memberikan kita taufiq dan hidayah untuk mensyukuri nikmat-nikmat-Nya dan menggolongkan kita di dalam golongan hamba-hamba yang sentiasa mentaati perintah-Nya. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.