collections khutbah Mengelak Keganasan Dalam Mendidik Anak
Mengelak Keganasan Dalam Mendidik Anak

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

23 September 2022 / 26 Safar 1444H

  
Mengelak Keganasan Dalam Mendidik Anak

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang mulia dan dikasihi. Amin.

Saudara dan saudari,

Anak-anak merupakan anugerah dari Allah (s.w.t). Mereka adalah dambaan pasangan suami isteri untuk menyerikan lagi suasana rumahtangga yang dibina. Secara fitrahnya, manusia merasa gembira apabila dikurniakan zuriat bagi melengkapkan institusi keluarganya.

Namun, anugerah yang diberi oleh Allah itu disertakan dengan tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul dengan cermat oleh setiap ibu dan ayah. Dalam membesarkan anak-anak, terdapat waktu yang mana ibu dan ayah merasa gembira dan bahagia. Pada waktu yang lain pula, mereka menghadapi keadaan yang menekan perasaan dan emosi dek karenah anak-anak.

  
Membesarkan anak-anak ada cabarannya. Hal ini jelas terakam di dalam firman Allah (s.w.t.):

Yang bermaksud, “Sesungguhnya pada harta dan anak-anak kamu terdapat ujian (untuk kamu) dan di sisi Allah ganjaran pahala yang besar.” (al-Taghabun:15)

Walaupun terdapat pelbagai cabaran dalam membesarkan anak, ia tidak memberi hak kepada ibu dan ayah melakukan apa sahaja tindakan yang mereka inginkan. Lebih-lebih lagi jika tindakan-tindakan tersebut menyebabkan penganiayaan terhadap anak-anak.

Saudara dan saudari,

Menurut perangkaan rasmi, terdapat peningkatan pada siasatan kes-kes penderaan anak sama ada secara fizikal, seksual ataupun anak yang diabaikan, diantara tahun 2017 sehingga tahun 2021. Peningkatan ini sepatutnya membuat kita muhasabah diri tentang masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

Kita harus tanya diri kita; Apakah penyebab kepada masalah ini? Dan apakah jalan penyelesaian untuk mengurangkan kes-kes tersebut.

Saudara dan saudari,

Anak-anak adalah golongan yang lemah. Mereka menerima sahaja apa yang diberi dan ditunjukkan kepada mereka. Sikap serta peribadi yang bakal terbentuk dalam diri anak-anak adalah cerminan dari ibu bapa mereka. Mereka akan membesar dengan corakan dan gambaran yang mereka lihat sewaktu kecil. Sepertimana kita melayani mereka, begitu juga mereka akan melakukan tindakan yang sama kepada keluarga mereka dan masyarakat sekeliling mereka kelak.

Jika mereka ditontonkan dengan kelembutan dan kemesraan dalam keluarga, mereka akan jadikan ia sebagai panduan. Jika keganasan yang sering berlaku di hadapan mereka, itu juga akan membentuk ‘belief system’ mereka dalam kehidupan. Justeru, ibu-bapa perlu memberi contoh yang terbaik kepada semua ahli keluarga.

Mari kita lihat contoh dari Rasulullah (s.a.w.). Aisyah (r.a.) berkata yang bermaksud: “Rasulullah (s.a.w.) tidak pernah memukul pembantunya ataupun mana-mana perempuan, atau apa-apa dengan tangannya.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Saudara dan saudari,

Pandanglah anak-anak kita dengan penuh rahmah serta kasih yang mendalam. Contohilah Rasulullah (s.a.w.) yang menjadikan sifat rahmah sebagai nilai asas bagi interaksi kita sesama manusia terutama sekali dengan ahli keluarga. Sayyidah Aisyah (r.a.) menyifatkan Baginda (s.a.w.) sambil berkata:

مَا رَأَيتُ أَحَدًا أَرْحَمَ بِالعِيَالِ مِنْ رَسُولِ اللهِ

Yang bermaksud: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang menunjukkan rahmah kepada keluarganya lebih dari Rasulullah (s.a.w.)”. (Hadis riwayat Ibn Hibban)

Akhir sekali, jangan kita lupa untuk sentiasa mendoakan bagi kesejahteraan anak-anak kita. Doa-doa ibu dan ayah adalah doa yang tidak akan ditolak oleh Allah (s.w.t.).

Semoga Allah menjadikan anak-anak kita Muslim sejati yang banyak berbakti kepada masyarakat. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.