collections khutbah Mendidik Keluarga Menuju ke Kejayaan
Mendidik Keluarga Menuju ke Kejayaan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

23 Julai 2021 / 13 Zulhijjah 1442H

Mendidik Keluarga Menuju ke Kejayaan

Muslimin Dan Muslimat,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan sebenar-benar ketakwaan, dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan kepada kita dan ahli keluarga kita kemantapan iman dan takwa.

Para Jemaah yang dirahmati Allah,

Khutbah sejak beberapa minggu lalu telah menekankan bagaimana seorang Mukmin dapat mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Ia tercapai menerusi pengorbanan dan mempertingkatkan amal kebaikan. Namun ia bukan hanya untuk kejayaan diri sendiri sahaja, tetapi semangat ini juga perlu diterapkan dalam kehidupan berkeluarga. Ingatlah firman Allah (s.w.t.) di dalam surah at-Tahrim ayat 6:

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka…”

Menurut ahli Tafsir, maksud “memelihara diri dan keluarga daripada api neraka” adalah dengan pendidikan dan pengajaran yang kita terapkan buat ahli keluarga kita.

Ia merupakan petanda bagaimana pendidikan yang paling berkesan sebenarnya bermula daripada keluarga sendiri. Didikan yang betul berdasarkan al-Quran dan Sunnah dapat membimbing keluarga kepada kejayaan di dunia dan akhirat. Namun, apabila seseorang itu tidak menerima pendidikan yang secukupnya, ketika itu ia bukan sahaja bakal membawa kemudaratan kepada diri sendiri, bahkan kesannya bakal dirasai masyarakat.

Saudara dan Saudari,

Marilah kita menghayati dua kisah daripada para Anbiya’ berkenaan pendidikan yang baik buat anak-anak kecil.

Yang pertama, didikan kekasih kita Nabi Muhammad (s.a.w.) buat seorang kecil. Diceritakan oleh Umar Bin Abu Salamah (r.a.) yang berkata “Ketika waktu kecil, aku pernah di bawah penjagaan Nabi (s.a.w.) dan tanganku bergerak pantas mengulur ke arah makanan yang ada dalam piring. Lalu Nabi (s.a.w.) berkata kepadaku ‘Wahai anak, sebutkanlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu.’” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Kedua: kisah Nabi Ibrahim (a.s.) dan anaknya Nabi Ismail (a.s.) yang dirakam di dalam surah Saffat ayat 102:

Yang bermaksud: “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?" (Anaknya menjawab) "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; InsyaAllah, ayah akan mendapati aku daripada orang-orang yang sabar.”

Subhanallah! Begitu indah didikan Nabi (s.a.w.) yang disirami dengan penuh kelembutan dan kasih sayang. Begitu juga tatkala Nabi Ibrahim (a.s.) diperintah untuk menyembelih anaknya, dia memanggil anaknya dengan panggilan yang baik, panggilan yang penuh dengan kasih sayang.

Selain itu, perhatikan bagaimana Nabi Ibrahim (a.s.) menerangkan kepada anaknya akan perintah Tuhan. Di saat itu, Nabi Ibrahim (a.s.) tidak memaksa pendapatnya sahaja, tidak menampilkan dirinya sebagai insan yang patut ditakuti oleh anak. Bahkan, Nabi Ibrahim memaparkan sikap komunikatif bersama anaknya. Memberi ruang kepada anaknya untuk memberi pendapat dan pandangannya.

Inilah sikap yang perlu dipupuk dalam diri kita untuk membina keluarga yang utuh. Sikap kebersamaan. Ini kerana kejayaan sesebuah keluarga bukanlah tanggungjawab seorang individu sahaja, tetapi ia juga peranan setiap ahli anggota keluarga untuk cuba memahami antara satu dengan yang lain.

Saudara dan saudari yang dikasihi,

Dalam usaha kita memberi didikan yang baik buat keluarga, adakalanya kita memerlukan kepada nasihat, pendapat dan bantuan daripada pihak lain. Ia tidak bermaksud kita lemah ataupun gagal dalam mendidik keluarga. Namun, ia merupakan antara usaha-usaha tambahan untuk membangunkan institusi keluarga yang baik dan utuh.

Sayyidatina Fatimah (r.a.) pernah mengadu kepada Rasullullah (s.a.w.) mengenai kepenatan dalam menguruskan rumahtangga. Lalu Nabi (s.a.w.) mengajarkannya untuk membaca tasbih 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 33 kali untuk membantunya menghilangkan rasa keletihan. (Hadis Riwayat Muslim).

Jika kita perlukan nasihat dalam rumahtangga, kita boleh mendapatkan bantuan profesional, sebagai contoh daripada para kadi dan naib kadi. Mereka adalah Asatizah yang terlatih dalam menghadapi isu-isu kekeluargaan. Sebagai makluman, Pejabat Pernikahan Muslim (ROMM) telah menyediakan wadah bagi pasangan suami isteri merujuk kepada kadi yang menikahkan mereka untuk mendapatkan nasihat rumahtangga di bawah program ‘Bersamamu’. Justeru, jika kita memerlukan nasihat pakar, rujuklah kepada kadi/naib kadi dan berbincanglah secara terbuka dengan harapan untuk mencari huraian demi memperteguhkan hubungan kekeluargaan.

Saudara, jalinkanlah hubungan yang baik bersama ahli keluarga dalam apa jua keadaan. Selain daripada usaha mendidik mereka dengan sebaik mungkin, ingatlah untuk sentiasa berdoa kepada Allah agar ahli keluarga kita sentiasa menjadi penyejuk mata buat kita dan menjadikan mereka di kalangan orang-orang yang bertakwa.

Semoga Allah (s.w.t.) merahmati keluarga kita, dan mengurniakan mereka kejayaan di dunia dan akhirat. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.