collections khutbah Memupuk Sifat Kepedulian
Memupuk Sifat Kepedulian

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

27 Ogos 2021 / 18 Muharram 1443H

Memupuk Sifat Kepedulian

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita terus mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah dengan melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi tegahan-Nya. Semoga dengan usaha yang berterusan, kita dapat mengatasi segala cabaran bersama.

Saudara dan Saudari

Sekiranya kita menghayati sunnah Nabi (s.a.w.), kita akan mendapati pelbagai hadis yang menitikberatkan hak jiran tetangga. Seperti hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Hadis riwayat Muslim). Juga hadis yang bermaksud: “Tidak tergolong daripada orang yang beriman, siapa yang kenyang, sedangkan jirannya berada dalam keadaan lapar.” (Hadis riwayat At-Thabrani).

Pentingnya hak jiran, sehinggakan al-Quran menyebutnya seiringan dengan perintah untuk menyembah Allah serta tidak melakukan syirik. Ia menggambarkan bahawa hak jiran tetangga itu merupakan satu perintah yang besar yang tidak boleh dipandang remeh. Allah berfirman di dalam surah al-Nisa', ayat 36:

Yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan apa jua. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang juah, dan rakan seperjalanan, dan ibnus sabil, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.”

Saudara dan Saudari

Sekiranya kita menghayati keseluruhan panduan agama, kita mendapati bahawa penjagaan segala jenis hubungan kemasyarakatan, merupakan satu dasar yang amat dititikberatkan agama ini.

Padanya terkandung satu mesej, yang walaupun ringkas akan tetapi pada hemat saya, amat penting. Iaitu panduan agama ini agar setiap individu Mukmin untuk memupuk rasa peduli.

Peduli dengan keadaan ahli keluarga, peduli dengan jiran tetangga serta sekitaran, juga peduli akan keadaan masyarakat secara am. Kerana kesempurnaan iman itu tidak bergantung hanya pada hubungan seseorang itu dengan Allah (s.w.t.) semata-mata, bahkan Allah juga menilai bagaimana hubungannya dengan insan lain, termasuk jiran tetangga dan masyarakat di sekitarnya.

Rasulullah (s.a.w.) pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang secara mafhum menegaskan bahawa tiada kebaikan pada diri seseorang yang sentiasa menyakiti jirannya, walaupun dia ini terdiri daripada ahli ibadat.

Saudara dan Saudari

Situasi COVID-19 yang kita masih lagi berhadapan dengannya, telah mengajar kita untuk memupuk sikap kepedulian tersebut. Kita menuruti segala panduan yang diberi. Kita membuat penyesuaian yang pelbagai. Penyesuaian bukan sahaja pada kehidupan seharian, bahkan perubahan pada kehidupan keagamaan kita.

Tambahan dari itu, kita mengambil vaksin, demi melindungi diri, ahli keluarga serta masyarakat. Kerana pengambilan vaksin merupakan satu ikhtiyar, berhadapan dengan wabak ini.

Segala penyesuaian yang kita lakukan tersebut telah menyuburkan dalam jiwa kita sifat kepedulian sesama kita. Sifat yang sentiasa menginginkan kebaikan serta kemanfaatan bagi insan lain. Sifat yang perlu kita pastikan ia sentiasa mekar dalam jiwa.

Saudara dan Saudari,

Alhamdullilah, setelah sekian lama melalui situasi ini, kita sekarang ini menyaksikan beberapa perkembangan positif. Beberapa kelonggaran bagi langkah-langkah pengurusan selamat telah diumumkan. Dan selari dengan ini, hampir ke semua masjid di Singapura sekarang dapat menawarkan lebih banyak ruang solat bagi jemaah, memandangkan kadar vaksinasi COVID-19 dalam masyarakat semakin meningkat.

Di sini kita boleh memainkan peranan untuk memberi dorongan kepada mereka yang belum lagi mengambil vaksin, untuk segera mengambilnya. Lebih-lebih lagi warga emas, agar keselamatan mereka terpelihara. Ini kerana apabila seseorang mengambil vaksin, ia merupakan sebuah perlindungan untuk dirinya sendiri, supaya jika terjangkit virus ini, terutama varian baru yang menjelma, beliau lebih berupaya melawan jangkitan dan tidak mengalami sakit yang begitu teruk atau mengancam nyawa, dan memerlukan rawatan rapi.  Ini akan mengurangkan bebanan terhadap sistem penjagaan kesihatan masyarakat. Inilah sebahagian daripada usaha kita dalam menjaga kemaslahatan keluarga, jiran tetangga dan juga masyarakat secara amnya.

Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan kepada kita kekuatan untuk meneruskan segala usaha yang mulia, serta dapat terus memainkan peranan dalam menyumbang kepada kesejahteraan umat, masyarakat dan negara. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.