collections khutbah Memupuk Masyarakat Yang Berjaya
Memupuk Masyarakat Yang Berjaya

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

30 Julai 2021 / 20 Zulhijjah 1442H

Memupuk Masyarakat Yang Berjaya

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meneruskan usaha untuk mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah dengan melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi tegahan-Nya. Semoga dengan usaha yang berterusan, kita dapat mencapai kejayaan di dunia dan akhirat, insyaAllah.

Saudara dan Saudari,

Kejayaan yang terbesar dan abadi bagi orang beriman adalah kejayaan mendapatkan rahmat Allah (s.w.t.) dan syurga-Nya di akhirat kelak. Namun, untuk mencapai kejayaan di akhirat, usaha perlu dilakukan di dunia ini terlebih dahulu. Harapan untuk mendapatkan rahmat Allah dan syurga-Nya di akhirat kelak bukan hanya sekadar dengan berdoa dan berharap, tetapi ia memerlukan usaha yang berterusan.

Muslimin dan Muslimat,

Izinkan saya berkongsi satu kisah daripada seorang sahabat Nabi (s.a.w.) yang bernama Abdul Rahman bin Auf. Beliau merupakan salah seorang sahabat Nabi (s.a.w.) yang dijanjikan syurga.

Ketika beliau berhijrah ke Madinah dalam keadaan sehelai sepinggang, seorang sahabat daripada golongan Ansar telah menawarkan sebahagian daripada hartanya untuk diberikan kepada Abdul Rahman. Dengan rasa rendah diri, Abdul Rahman menolak tawaran itu sambil bertanya kepadanya, di manakah letaknya pasar Madinah. Beliau selanjutnya memulakan perniagaannya di sana. Menurut ahli sejarah, selang beberapa ketika, Abdul Rahman bin Auf telah berjaya mendapatkan pulangan yang besar hasil dari perniagaannya. Berkat usahanya itu, dia memiliki harta yang melimpah. Sehingga menjadi antara sahabat yang banyak membantu Nabi (s.a.w.) serta berinfak di jalan Allah.

Kisah ini mengajar kita erti kejayaan yang sebenar. Berjaya daripada sudut keimanan hingga dijanjikan syurga, dan berjaya daripada sudut keduniaan dengan limpahan rezeki kurniaan Tuhan. Menariknya juga, kisah itu menggambarkan keadaan Abdul Rahman bin Auf yang tidak menyerah kepada keadaan sekelilingnya yang serba kekurangan ketika itu. Dia tidak mengalah. Malah dia berusaha untuk keluar daripada keadaan itu, mencari huraian bagi menghadapi cabaran hidup.

Inilah sikap yang perlu kita terapkan dalam diri. Sikap seorang Muslim yang tidak hanya menunggu sambil berpeluk tubuh untuk mendapatkan peluang yang baik dalam hidupnya.

Sikap inilah yang disebutkan di dalam al-Quran mengenai pujian Allah terhadap para sahabat Nabi (s.a.w.) yang tidak kenal erti putus asa untuk mencapai kejayaan serta keredaan Allah (s.w.t.). Allah (s.w.t.) berfirman di dalam surah at-Taubah, ayat 88:

Maksudnya: “Tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya.”

Saudara dan Saudari,

Hidup di dunia ini tidak lekang daripada cabaran yang pelbagai. Sebagai umat yang terbaik seperti yang disebutkan dalam al-Quran, kita perlu bersikap proaktif dalam menyusun perancangan bagi mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.

Perancangan itu perlu lah mengimbangi di antara keperluan dalaman dan luaran. Seorang Muslim perlu sentiasa membuat persiapan bagi memperteguh keimanannya. Ini boleh dilakukan dengan mempelajari ilmu-ilmu agama yang dapat membantu dirinya memahami tuntutan agama yang sebenar dan melaksanakannya dengan penuh hikmah. Dia juga perlu merancang untuk mendapatkan yang terbaik dalam urusan keduniaannya. Ini dapat dilakukan dengan mempertingkatkan ilmu dan kemahiran diri dalam pelbagai bidang.

Kisah para salafusoleh dahulu banyak memberikan inspirasi bagi kita untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing. Misalnya usaha para ulama kita seperti Imam al-Bukhari yang sanggup menempuh perjalanan jauh yang memakan masa yang lama hanya untuk memastikan kesahihan hadis yang diterima. Begitu juga Imam al-Tabari, yang berusaha tanpa henti bertahun-tahun lamanya untuk melengkapkan tafsir al-Quran dan ramai lagi di kalangan ulama Islam yang telah berusaha menabur bakti kepada Islam. Jika usaha-usaha itu tidak dijalankan secara berterusan, nescaya tiadalah kita dapat meraih kemanfataan daripada ilmu-ilmu mereka sehingga ke hari ini. 

Justeru para jemaah sekalian, untuk mencapai kejayaan, ia memerlukan kepada beberapa usaha. Saya meringkaskannya seperti berikut:

Pertama: Istiqamah atau berusaha secara berterusan. Suntikkan semangat juang dalam diri dengan berfikiran positif. Dapatkan terus nasihat, panduan serta sokongan daripada keluarga, teman dan sahabat. Untuk memastikan bahawa kita kekal konsisten dalam usahanya.

Kedua: Sabar dalam menempuh rintangan dan dugaan yang mendatang. Setiap perkara yang ingin dilakukan pasti ada liku dan halangan. Orang yang bersabar pasti akan dapat hasilnya yang lumayan.

Ketiga: Bertawakkal dan berdoa kepada Allah agar diberi kejayaan dan diterima usaha yang telah dilakukan. Sebagai seorang Mukmin, kita yakin bahawa Dia tidak akan mensia-siakan usaha hamba-hamba-Nya, seperti di dalam firman-Nya,

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah pasti Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.” (Surah al-Kahfi, ayat 30).

Semoga usaha-usaha kita selama ini diterima di sisi Allah dan dihimpunkan kita dalam golongan yang mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.