collections khutbah Memperkukuh Institusi Keluarga Menurut Nilai Islam
Memperkukuh Institusi Keluarga Menurut Nilai Islam

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

16 September 2022 / 19 Safar 1444H

Memperkukuh Institusi Keluarga Menurut Nilai Islam

 

 

 

 

 

Muslimin Dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita terus dapat membina keluarga kita dalam ketaatan dan ketekunan beribadah kepada Allah (s.w.t.).

 

Saudara dan Saudari,

Nabi (s.a.w.) bersabda yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu pemberian yang lebih baik daripada seorang bapa kepada anaknya selain daripada budi pekerti yang baik.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini menegaskan kepada kita peranan yang dimainkan seorang ayah, bahkan juga seorang ibu, dalam pendidikan anak-anak. Kerana akhlak dan budi pekerti yang baik itu, memerlukan kepada masa untuk dipupuk.

Allah (s.w.t.) berfirman dalam surah al-Tahrim, ayat 6:

 

 

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar; mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”.

Ayat yang baru dibacakan menegaskan peranan kedua ibu bapa dalam keluarga. Bagaimana seharusnya anak-anak itu sentiasa diberi panduan dengan panduan agama yang berterusan. Ia merupakan ikhtiyar kita untuk memastikan agar anak-anak kekal terpandu dengan panduan illahi dan jauh daripada perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah (s.w.t.). 

Perhatikan kata-kata Saidina Ibn Umar (r.a.) yang telah dirakam dalam kitab Tuhfah al-Maudud oleh Imam Ibn Qayyim yang bermaksud: “Didiklah anakmu, kerana sesungguhnya engkau akan dipertanggungjawabkan berkaitan pendidikan dan pengajaran yang telah engkau berikan kepadanya. Dan dia juga akan ditanya [esok] mengenai kebaikan dirimu kepadanya serta kebajikannya kepadamu.”

 

Saudara dan saudari,

Peranan kedua ibu ayah di dalam keluarga menjadi lebih penting lagi, dengan perkembangan gaya hidup alternatif yang tidak selari dengan tata-susila, nilai dan budaya masyarakat, serta panduan agama kita. Hal ini telah membawa cabaran baru kepada ibu bapa dalam memberi bimbingan kepada anak-anak mereka.

Oleh yang demikian, apakah pendekatan yang terbaik di dalam membimbing atau mendidik anak-anak generasi baru dalam hal ini? Fenomena ini tentunya memerlukan kepada suatu anjakan pada cara serta isi kandung pendidikan yang hendak disampaikan oleh kedua ibu bapa.

Peranan ibu bapa tidak hanya cukup untuk memastikan anak-anaknya diasuh dengan ibadah dan pendidikan agama sahaja seperti bersolat dan berpuasa. Akan tetapi, ibu bapa hari ini juga perlu memiliki pengetahuan untuk menyediakan bimbingan dalam berhadapan dengan persekitaran kehidupan dan zaman masakini. 

Dalam lanskap kehidupan yang kian merencam, ibu bapa perlu terus memastikan bahawa mereka peka akan perubahan trend masa kini dan memahami konteksnya yang berbeza. Agar mereka memahami bagaimana untuk memandu anak-anak dalam mengharungi kerencaman cabaran hidup hari ini, termasuk dalam membincangkan isu-isu sensitif, seperti isu-isu berkaitan pendidikan seksual, alam remaja dan pembinaan keluarga dan rumahtangga.

Sayyiduna Ali (r.a.) berkata yang bermaksud: “Bicaralah dengan manusia apa yang mereka ketahui, apakah engkau ingin kalau Allah dan rasul-Nya didustakan?”

Oleh itu, ibu bapa perlu bersedia untuk mendapatkan pendedahan yang berterusan mengenai cara-cara membincangkan isu-isu sensitif sebegini. Memahami perinciannya, serta panduan agama yang sahih berkaitannya. 

 

Saudara dan Saudari,

Kita tidak boleh lagi mengambil pendekatan membesarkan anak-anak kita sama seperti masa dan era yang pernah kita lalui.

Akan tetapi, kita perlu bersedia untuk berbincang dengan situasi yang lebih terbuka dan bersedia untuk lebih banyak mendengar sebelum mengenengahkan panduan berdasarkan hujjah yang kukuh. Keyakinan kepercayaan kepada nilai yang dipupuk melalui pendekatan ini akan menjadi senjata paling ampuh dalam membina daya tahan dalam diri dan keperibadian anak-anak kita untuk kekal berpegang teguh dengan batas-batas dan nilai-nilai agama.

Pendekatan ini juga akan dapat kita laksanakan dengan lebih berkesan jika kita lakukannya dengan meluangkan lebih banyak masa untuk berinteraksi bersama anak-anak secara berkeluarga. Berbincang bersama mereka mengenai semua hal, sama ada ehwal persekolahan, pekerjaan ataupun kehidupan. 

Kesediaan kita untuk mendengar luahan pendapat dan perasaan mereka tentunya akan memastikan keharmonian keluarga dapat terus terjalin dengan lebih berkesan dan memperkukuh hubungan kekeluargaan. Ini adalah modal yang paling berharga dalam membina keluarga yang utuh. 

Marilah sama-sama kita memperbaiki hubungan sesama kita. Semoga Allah (s.w.t.) terus mengurniakan kepada kita ketenangan serta kesejahteraan kehidupan berkeluarga. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ. 

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.