collections khutbah Memahami agama: Menuruti tradisi keilmuan Islam
Memahami agama: Menuruti tradisi keilmuan Islam

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

20 November 2020 / 5 Rabiulakhir 1442H

Memahami agama: Menuruti tradisi keilmuan Islam

 

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah (s.w.t.) dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan ketakwaan yang utuh, Allah (s.w.t.) akan melindungi kita dari sebarang kesesatan dan kemudaratan. Amin.

Saudaraku,

Ketahuilah, bahawa ajaran agama yang benar itu jelas. Ia tidak perlu disembunyikan, dibisik-bisikkan, ataupun diajarkan secara rahsia. Begitu cara Baginda Rasulullah (s.a.w.) mendidik para sahabat dan pengikutnya. Baginda berdakwah secara terang-terangan, kerana jalan menuju Allah (s.w.t.) adalah jelas, bukan rahsia yang hanya diketahui beberapa orang sahaja.

Saudaraku,

Mempelajari ilmu agama merupakan satu perkara yang amat penting. Melaluinya, Allah (s.w.t.) mengurniakan hidayah serta petunjuk-Nya. Perhatikan firman Allah di dalam surah Muhammad ayat ke-17 yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah akan menambahkan mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertakwa.”

Perkara ini menjadi lebih genting lagi pada zaman yang serba moden dan maju. Kadangkala di sebabkan kesibukan, cabaran dan kesusahan seharian kita, jiwa kita merasa lebih kosong. Jiwa yang kosong mudah dipenuhi dengan sesuatu. Ia menantikan isi. Sekiranya baik pengisiannya, maka baiklah kesudahannya. Begitu juga sebaliknya.

Oleh itu, sebagai mengisi kekosongan tersebut, kita berusaha untuk mempelajari dan mendalami ilmu agama. Ketika ini, kita perlu lebih berhati-hati dalam memastikan kesahihan sumber agama kita.

Saudaraku,

Maka tidak mustahil ada yang masih terpedaya dengan ajaran yang sesat ataupun yang menyelewengkan.  Ia kembali kepada pelbagai sebab dan punca. Daripada keadaan psikologi dan mental seseorang, kepada kemampuan manusia yang berkarisma yang mendorong serta menarik dengan kata-kata dan perwatakannya. Mungkin seseorang itu mempunyai daya tarikan yang sangat meyakinkan dan menarik.

Dari itu, pada kesempatan ini, ingin saya mengongsikan bersama anda dua cara dalam menuntut ilmu agama. Sebagai panduan buat diri kita untuk mengenali yang benar daripada yang salah. Yang lurus daripada yang menyeleweng.

Saudaraku,

Cara yang pertama digunakan oleh mereka yang menginginkan jalan segera serta pintas dalam memahami dan mengamalkan agama. Mereka mengharapkan jalan yang segera menuju kepada Tuhan. Sehinggakan termakan dengan janji-janji serta diayah yang dengan mudah menjanjikan syurga.

Adapun cara yang kedua, ia merupakan jalan yang dituruti Nabi (s.a.w.) dan para sahabatnya dalam menuntut ilmu agama. Tradisi keilmuan yang memastikan kesahihan maklumat agama yang diperolehi, serta untuk mempelajari ilmu agama daripada ahlinya. Agar mereka yang ahli dapat menjelaskan maksud teks-teks agama tersebut.

Ia merupakan satu perjalanan serta pemahaman yang diperolehi secara bertahap. Kerana tiada jalan pintas menuju kepada Tuhan. Begitu juga bagi meraih syurga, ia memerlukan kepada pengorbanan dan usaha yang berterusan. Perhatikan sabda Nabi (s.a.w.) yang bermaksud: “Sesungguhnya syurga itu diselebungi dengan kesusahan, dan neraka itu diselebungi dengan (apa yang disukai) syahwat.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Ketahuilah bahawa menuntut ilmu agama merupakan satu perjalanan yang berterusan. Kadangkala ia dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan ujian. Namun, seorang Mukmin akan tetap berusaha sepanjang hayatnya untuk menjadi insan yang lebih baik dari hari yang sebelumnya. Beliau akan berusaha agar ada peningkatan pada dirinya setiap hari, walaupun ia merupakan peningkatan yang kecil dan sedikit. Selari dengan sabda Nabi (s.a.w.) yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.”

Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan kita rahmat dan cinta-Nya, serta mengekalkan kita di jalan yang benar dan diredhai-Nya. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.