collections khutbah Kisah Nabi Zakariyya a.s.: Pergantungan kepada Allah s.w.t.
Kisah Nabi Zakariyya a.s.: Pergantungan kepada Allah s.w.t.

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

19 Jun 2020 /  27 Syawal 1441H

Kisah Nabi Zakariyya a.s.: Pergantungan kepada Allah s.w.t.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bersungguh-sungguh meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t., laksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Semoga kita menjadi seorang hamba yang dekat dengan rahmat Allah dan disayangiNya. Amin.

Saudaraku,

Kisah para Nabi di dalam al-Qur’an mengandungi pelbagai pengajaran serta motivasi buat kita. Kehidupan mereka tidak lekang dari sebarang ujian dan cabaran. Ketabahan dan kecekalan mereka dalam menghadapi ujian merupakan teladan bagi manusia sepanjang zaman.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak kita merenung akan satu lagi kisah para Nabi, iaitu kisah Nabi Zakariyya a.s., dan ketabahan beliau berhadapan dengan ujian kehidupan.

Saudaraku,

Allah s.w.t. menceritakan dalam surah Ali Imran ayat ke 37, bagaimana ketika Nabi Zakariyya a.s. datang menemui Maryam a.s. yang sedang beribadah kepada Tuhan di mihrabnya, Baginda ketika itu mendapati sejumlah rezeki yang banyak berada disisi Maryam a.s. Baginda bertanyakan kepadanya dari mana datangnya rezeki tersebut. Saidatina Maryam a.s. ketika itu menjawab, rezeki itu datang dari Allah s.w.t. Ketika itu Nabi Zakariyya a.s. menyedari bahawa ia merupakan doa dan permintaan Maryam a.s. yang dikabulkan Allah s.w.t. Maka beliau lalunya berdoa dan memanjatkan hasratnya kepada Allah s.w.t. dengan harapan Allah s.w.t. akan mengurniakannya zuriat. Allah s.w.t. merakamkan kisah ini di dalam surah Ali Imran ayat ke-38 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Ketika itu Nabi Zakariyya berdoa kepada Tuhannya, beliau berkata: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar doa permohonan.”

Saudaraku,

Walaupun sekiranya secara fakta, agak mustahil untuk seorang wanita yang sudah berusia lanjut untuk hamil, akan tetapi berkat keyakinannya kepada Allah s.w.t. Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui, Baginda dikurniakan berita gembira yang dibawa oleh Malaikat, lalu dikurniakan anak yang soleh bernama Nabi Yahya a.s. (Surah Ali Imran, ayat 39).

Saudaraku,

Kisah Nabi Zakariyya a.s. ini meninggalkan banyak pengajaran buat kita.

Yang pertama, keyakinan Nabi Zakariyya a.s. dalam memanjatkan doa kepada Allah s.w.t.

Dalam usaha kita berdoa dan memohon rahmat daripada Tuhan, ia adalah penting untuk kita meyakini bahawa Allah s.w.t. sentiasa mendengar rintihan hati serta munajat kita. Allah s.w.t. Maha Berkuasa untuk mengurniakan dan mengkabulkan permintaan hambaNya. Yakinilah bahawa Allah s.w.t. sentiasa mendengar munajat kita, maka pohonlah kepadaNya dengan penuh ketulusan dan kesungguhan hati.

Kedua, Nabi Zakariyya a.s. tidak berputus asa dalam permohonannya, sungguhpun doanya belum dikabulkan Allah s.w.t. sehingga beliau dan isterinya lanjut usia. Namun, Nabi Zakariyya a.s. tetap terus berdoa dengan penuh harapan agar Allah s.w.t. mengkabulkan hajatnya itu.

Ketiga, Kisah Nabi Zakariyya a.s. menjadi bukti bahawa setiap sesuatu itu berada di bawah kekuasaan Allah s.w.t., tiada yang mustahil disisiNya. Kita perlu terus berusaha dan menyerahkan segalanya kepada ketentuan dan keredhaan Allah s.w.t. Sekiranya kita menginginkan Allah s.w.t. membantu kita semasa sempit, hendaklah kita juga memperbanyakkan berdoa semasa kita senang, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Barangsiapa yang menginginkan doanya dikabulkan oleh Allah s.w.t. sewaktu susah dan ditimpa musibah; maka perbanyakkan doa ketika senang.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi).

Saudaraku,

Ketika kita berdoa kepada Allah s.w.t., ada masanya doa kita dikabulkan dengan segera. Adakalanya juga, doa kita ditangguhkan buat suatu tempoh yang tertentu sebelum dikabulkan. Dan adakalanya, Allah s.w.t. menggantikan permohonan kita tersebut dengan anugerahNya yang lain yang lebih baik dari permohonan kita itu. Namun, ingatlah saudaraku bahawa Allah s.w.t. sentiasa mendengarkan akan permohonan hamba-hambaNya. Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita dalam sabdanya yang berbunyi:  

 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Maha Pemalu, Maha Dermawan, Maha Mulia, Dia malu terhadap hambaNya (yang berdoa dengan) mengangkat kedua tangannya kepadaNya kemudian Dia menolaknya dengan hampa.” (Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi).

 

Dalam keadaan kita masih lagi diuji dengan penularan wabak, serta situasi ekonomi serta pekerjaan yang tidak menentu dan sebagainya. Tingkatkanlah terus usaha kita untuk mencari peluang-peluang yang ada. Kemungkinan ia memerlukan kepada kita untuk menceburi bidang pekerjaan yang lain, mungkin juga ia merupakan peluang untuk kita meraih pengalaman yang berbeza. Pentingnya, selagimana nyawa dikandung jasad, selagi itu insan mukmin akan terus berusaha dengan penuh semangat dan tekad akan bantuan Tuhan.

Pada waktu yang sama, beliau memanjatkan doa siang dan malam, memohon pertolongan Allah s.w.t. Antara doa yang boleh kita amalkan bersama adalah doa yang diajarkan Rasulullah s.a.w. agar kita sentiasa memohon perlindungan dari Allah s.w.t.:

 

Yang bermaksud: Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu dari musibah yang berat, kecelakaan yang menimpa, ketentuan yang buruk dan kejahatan musuh.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

 

Marilah kita berusaha untuk menjadi hamba-hambaNya yang sentiasa mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah s.w.t. agar Allah s.w.t. melindungi kita dan merahmati kita semua semasa senang dan susah. Semoga Allah s.w.t. mengkabulkan segala hajat kita dan mengangkat ujian ini dengan segera. Amin Ya Rabbal ‘alamin.