collections khutbah Kesucian Hati Seorang Mukmin
Kesucian Hati Seorang Mukmin

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

2 Jul 2021 / 21 Zulkaedah 1442H

Kesucian Hati Seorang Mukmin

Muslimin dan Muslimat yang saya muliakan,

Marilah sama-sama kita menghadirkan ketakwaan dalam kehidupan kita dengan mematuhi segala perintah Tuhan dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan ketakwaan, kita bakal dikurniakan kejayaan di dunia ini dan akhirat.

Saudara dan Saudari,

Pastinya setiap di antara kita mendambakan kejayaan di dunia dan akhirat. Kita menginginkan kehidupan yang tenang dan bahagia bersama keluarga. Setiap individu mengharapkan kurniaan rezeki yang diberkati Tuhan. Bahkan bukan sahaja kehidupan di dunia, akan tetapi kita juga mendambakan kejayaan kehidupan di akhirat kelak. Aspek “kejayaan” ini amat dititikberatkan agama. Perhatikan sahaja laungan azan yang dilaungkan lima kali sehari, menyeru kita kepada kejayaan:

حَيَّ عَلَى الفَلاَح

Yang bermaksud: “Marilah menuju kepada kejayaan.”

Maka menjadi satu keperluan untuk kita berusaha memahami apakah sebahagian daripada ciri-ciri yang boleh membawa kepada kejayaan. Dengan berpandukan ayat-ayat al-Quran yang menyentuh tentang kejayaan. Insyallah khutbah sepanjang bulan ini akan mengupas ayat-ayat yang menyentuh tentang aspek kejayaan.

Para Muslimin dan Muslimat yang dikasihi Tuhan,

Sebagai pendahuluan, perhatikan firman Allah (s.w.t.) dalam Surah asy-Syams pada ayat 9 – 10:

Yang bermaksud: “Sungguh telah berjaya sesiapa yang menyucikannya (jiwa itu). Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.”

Saudaraku, ayat yang baru saya bacakan tadi menekankan kepentingan kesucian hati, dan bagaimana ia merupakan perkara yang membawa kejayaan kepada individu. Sepertimana yang disabdakan Nabi (s.a.w.) berkaitan bagaimana hati yang baik dan bersih, akan menghasilkan kebaikan buat individu tersebut. (Hadis riwayat Imam Bukhari). Pada hadis yang lain pula Nabi menegaskan bahawa tidak akan berhimpun dua perkara di dalam hati seorang hamba: Keimanan dan perasaan hasad. (Hadis riwayat an-Nasa’i).

Lihat sahaja kepada peribadi Nabi Muhammad (s.a.w.). Bagaimana Nabi (s.a.w.) merupakan insan yang paling baik hatinya. Sentiasa menerima sesiapa sahaja. Sentiasa sedia untuk memaafkan. Subhanallah! Tiada sekelumit dendam sekalipun di dalam hati Baginda. Ini yang seharusnya kita pupuk dalam diri.

Saudara dan Saudari,

Sebagai langkah pendahuluan, kesucian hati ini sebenarnya berhubungkait dengan kesucian lisan. Kerana apa yang seseorang ungkapkan ataupun tulis, ia sebenarnya mencerminkan apa yang terkandung di dalam hati.
Sebagaimana yang diperhatikan Ibn Qayyim, bahawa hati insan ini seumpama sebuah bekas ataupun tempayan. Lisan pula merupakan penutup bagi bekas tersebut. Maka sekiranya bekas itu mengandungi bahan yang baik -seperti wangi-wangian-, sekiranya penutupnya dibuka, pasti akan mengeluarkan bau-bauan yang harum. Begitulah perumpamaan antara hati dan lisan.

Dari itu, menjadi satu kepentingan bagi setiap individu Mukmin untuk memerhatikan kata-kata yang diungkapkan. Mukmin yang hakiki tidak akan mengatakan kata-kata yang buruk ataupun kata-kata yang bakal menyakitkan sesiapa.

Begitu juga ketika menggunakan media sosial. Kerana menjaga lisan, bukan hanya terbatas dengan penuturan kata-kata semata-mata, bahkan termasuk juga apa yang kita tulis. Ingatlah pesanan Nabi (s.a.w.) yang bermaksud: “Tidak akan lurus keimanan seorang hamba melainkan lurus hatinya, dan tidak akan lurus hati seseorang, sehinggalah lurus lisannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Saudara dan Saudari,

Aspek kedua yang ingin saya sentuh merupakan hasil serta kesan yang akan timbul daripada hati yang bersih. Kerana apabila baik hati seseorang, ia akan mengakibatkan dirinya untuk lebih mudah menerima teguran, lalu dengannya memperbaiki dirinya sendiri.

Peningkatan diri itu penting saudaraku. Kerana setiap di antara kita ada kekurangan masing-masing. Dan kadangkala sebahagian kekurangan itu dapat disaksikan insan lain yang berada disekeliling kita. Kerana kita sendiri tidak menyedari akan kekurangan tersebut. Sebagaimana Nabi (s.a.w.) bersabda, bahawa setiap individu Mukmin merupakan cerminan bagi Mukmin yang lain. (Hadis riwayat al-Tabrani).

Terdapat beberapa makna yang tersirat di sebalik perumpamaan “cerminan diri” yang diberikan Nabi (s.a.w.). Antaranya adalah sebuah cermin itu tidak pernah berbohong kepada sesiapa yang berdiri di hadapannya. Sekiranya seseorang itu kusut masai pakaiannya, serta tidak terurus. Penampilan yang sedemikian rupa akan terpapar. Begitu juga seorang Mukmin ketika memberi nasihat dan teguran. Ia dilakukannya dengan penuh jujur serta berhikmah, hanya kerana menginginkan kebaikan buat saudaranya.

Tambahan dari itu, walaupun sesuatu cermin itu memiliki pelbagai kebaikan, ia tetap memerlukan kepada orang lain untuk menjaganya, serta sentiasa membersihkannya. Dari itu, sehebat mana sekalipun seorang itu, beliau tetap memerlukan kepada bantuan orang lain. Memerlukan kepada teguran serta panduan.

Semoga Allah (s.w.t.) memberikan kita kekuatan dalam melakukan amal soleh yang diredai-Nya, sekaligus mengurniakan kepada kita kebaikan di dunia dan akhirat serta menggolongkan kita bersama hamba-hamba-Nya yang dikurniakan kejayaan. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.