collections khutbah Keperibadian Rasulullah s.a.w - Tidak Hasad
Keperibadian Rasulullah s.a.w - Tidak Hasad

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

 8 November 2019 / 11 Rabiul Awal 1441H

Keperibadian Rasulullah s.a.w - Tidak Hasad

 

 

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan menuruti segala perintahnya serta menjauhi larangannya. Semoga hati kita sentiasa bersinar dengan cahaya keimanan, yang membawa ketenangan jiwa serta kebahagian dunia dan akhirat.

 

Saudaraku,

Rasulullah s.a.w adalah sebaik-baik contoh bagi setiap insan yang beriman. Di antara akhlak baginda s.a.w yang seharusnya menjadi renungan kita bersama, adalah bagaimana baginda s.a.w. tidak pernah bersifat dengki terhadap sesama insan lain. Nabi s.a.w. pernah bersabda:

 

Yang bermaksud: “Tidak akan berhimpun dua perkara di dalam hati seorang hamba, keimanan dan perasaan hasad.” [Hadith riwayat An-Nasa’i].

Hadis ini menjelaskan bahawa sikap hasad dengki itu bukanlah daripada ciri mereka yang beriman. Ini kerana, hasad itu, menurut imam Al-Qurtubi, merupakan suatu harapan untuk melihat nikmat yang diberikan oleh Allah s.w.t. ke atas seseorang itu hilang dan lenyap dari pangkuannya. Kerana itu, amat jauh sekali bagi seorang mukmin untuk memiliki harapan yang buruk terhadap sesama insan.

 

Saudaraku,

Sifat hasad dan dengki ini adalah sebahagian dari sifat-sifat mazmumah iaitu sifat yang buruk. Ia juga merupakan racun yang hanya akan memakan diri sendiri, serta merosakkan hubungan baik sesama manusia. Mereka yang memiliki sifat seperti ini biasanya amat terkesan dengan kebahagian dan kesenangan yang ada pada orang lain. Kerana itu, sifat hasad ini akan mengganggu ketenangan perasaan serta kewarasan pemikiran seseorang. Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita akan bahaya penyakit hasad ini dalam sabdanya yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Jauhilah hasad (dengki), kerana hasad akan menghapuskan kebaikan-kebaikan sebagaimana api yang menghapuskan kayu bakar.” [Hadith riwayat Abu Dawud].

Saudaraku,

Ketahuilah bahawa sifat hasad ini akan timbul, apabila kita gagal memahami bahawa setiap yang baik itu adalah kurniaan Allah s.w.t. kepada hambaNya. Allah s.w.t. memberi kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Ar-Ra’d ayat ke 26:

 

Yang bermaksud, Allah meluaskan serta menentukan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu (dibanding dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit)”.

Jika nikmat-nikmat ini adalah kurniaan Allah s.w.t. kepada hamba-hambanya, siapakah kita insan yang kerdil lagi hina ini untuk mempersoalkannya? Di manakah kedudukan kita disisi Tuhan, sehingga kita merasakan bahawa kita berhak untuk melenyapkan kurniaan tersebut?

 

Imam Hasan Al-Basri berkata: “Wahai anak Adam, janganlah engkau iri hati terhadap saudaramu. Jika apa yang dikurniakan kepadanya itu merupakan sesuatu kemuliaan dariNya, maka janganlah engkau memusuhi orang yang telah dimuliakan Allah.

Saudaraku, jika kita meyakini bahawa kebaikan yang diperolehi seseorang itu adalah kurniaan dari Allah s.w.t., maka dari itu, kita tidak akan memiliki rasa iri hati dan dengki terhadap pemberian Tuhan kepada orang lain. Kerana segalanya kurniaan Tuhan. Dia yang memberi dan Dia yang menghalang. Ada hikmah di sebalik segala ketetapanNya.

 

Saudaraku,

Untuk mendidik jiwa mukmin daripada memiliki sifat hasad tersebut, Islam mengajar kita untuk mengharapkan kebaikan untuk individu lain. Dan setiap kali kita mengharapkan kebaikan buat orang lain, Allah s.w.t. akan mengurniakan kepada kita kebaikan yang seumpamanya atau lebih baik dari itu.

 

Lihat saja, bagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang menganjurkan kita untuk sentiasa mengharapkan serta mendoakan yang terbaik buat saudara-saudara kita tanpa pengetahuan mereka. Sabdanya yang bermaksud: “Doa seorang muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Disisinya ada malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali beliau berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat akan berkata Amin dan kamu pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.” [Hadith riwayat Muslim]

Ini adalah salah satu cara kita dapat menangani perasaan hasad dan iri hati, yang kadangkala muncul ketika kita melihat tuah pada orang lain.

 

Tambahan dari ini, kita juga digalakkan untuk bersangka baik dan memuji Allah s.w.t., tatkala kita mendengar berita baik yang dikongsikan kepada kita. Dengan mengucapkan “Alhamdulillah!” atau “MasyaAllah!”. Ucapan seperti ini akan mengingatkan kita bahawa semua kebaikan itu adalah kurniaan Allah s.w.t. Sebagai hambaNya kita perlu bersyukur, mengharapkan yang terbaik dan menolak segala perasaan negatif, seperti bersangka buruk, iri hati, rasa dengki dan sebagainya.

Saudaraku,

Banyak kebaikan yang dapat kita raih sekiranya kita meninggalkan perasaan hasad ini. Kita bukan sahaja mendapatkan ketenangan dan kebahagian di dunia, namun kita dijanjikan syurga.

Di dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad, diceritakan bagaimana seorang lelaki dari kalangan Ansar telah dijanjikan syurga oleh Nabi Muhammad s.a.w. Selepas mendengar cerita tersebut, seorang Sahabat Rasulullah s.a.w. bernama Abdullah Ibn Amr Ibn Al-As r.a. mendekati lelaki itu dan mohon menginap di rumahnya. Beliau berhasrat untuk mengetahui apakah amalan yang menyebabkan lelaki itu tadi dijanjikan syurga oleh Rasulullah s.a.w. Selepas tiga hari menginap di rumah lelaki tersebut, Abdullah Ibn Amr merasa pelik, kerana beliau tidak pernah sekali melihat lelaki itu bangun untuk melakukan solat malam dan lain-lain amalan tambahan. Lalu Abdullah Ibn Amr bertanya kepada lelaki Ansar itu, apakah amalan yang menyebabkan beliau dijanjikan syurga oleh Rasulullah s.a.w., beliau menjawab:

 

 

Yang bermaksud “Sebagaimana yang kamu lihat, aku tidak mengerjakan amalan apa-apa, hanya saja aku tidak pernah mempunyai dendam kepada seorang diantara kaum muslimin atau hasad terhadap kenikmatan yang diberikan Allah kepadanya.

Ya Allah sucikan hati-hati kami dari perasaan iri hati dan hasad dengki. Bimbinglah jiwa-jiwa kami untuk sentiasa bersangka baik terhadap saudara-saudara kami. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan mahabbah di antara kami dan mereka yang berada disekeliling kami. Padamlah api kemarahan, kebencian yang ada di dalam hati-hati kami, agar kami dapat tenang dan bahagia di dunia ini, dan meraihkan keredhaanmu di akhirat nanti. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.