collections khutbah Kembali Kepada Tuhan
Kembali Kepada Tuhan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

5 Februari 2021 / 23 Jamadilakhir 1442H

Kembali Kepada Tuhan

 

Saudaraku yang dikasihi Allah,

Marilah kita mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah dalam setiap keadaan.

Saudaraku,

Tuhan tidak akan pernah biarkan seorang hamba bersendirian selagimana kita berusaha untuk mendekati-Nya. Dengan itu, marilah sama-sama kita hayati sebuah hadis qudsi yang bermaksud: Nabi (s.a.w.) bersabda bahawa Allah (s.w.t.) berfirman: “Jika hamba-Ku mendekati-Ku sejengkal, Aku mendekatinya sehasta. Dan jika dia mendekati-Ku sehasta, Aku mendekatinya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan (biasa), maka Aku mendatanginya dengan berjalan cepat.” (Hadis riwayat Bukhari).

Perhatikanlah betapa luasnya kurniaan rahmat dan bantuan Allah (s.w.t.) bagi hamba-Nya yang berusaha menghambakan diri kepada-Nya! Inilah sifat yang sewajarnya diterapkan oleh setiap Muslim; iaitu Allah sentiasa berada di mindanya, dan diiringi dengan usaha untuk bertakwa kepada-Nya, sama ada dalam keadaan senang mahupun susah.

Saudaraku,

Kita sebagai insan serba kekurangan. Maka merupakan lumrah kehidupan untuk kita mendapatkan bantuan orang lain bagi mencapai suatu hajat atau melakukan sesuatu pekerjaan. Namun, kadangkala disebab terlalu sangat tertumpu kepada pertolongan manusia, kita terlupa untuk mendekatkan diri kepada Allah (s.w.t.), sebagai usaha yang kita perlu lakukan juga. Dan ketika itulah kita terlupa bahawa hajat kita tersebut pada hakikatnya, merupakan kurniaan Allah (s.w.t) dan atas keizinan-Nya.

Saudaraku,

Keadaan kita ini yang kelihatan berjauhan daripada Allah (s.w.t.) kadangkala berkaitan dengan gaya kehidupan seharian. Kita mungkin sibuk menguruskan tugas seharian, menjalankan tanggungjawab dan sebagainya. Walaupun sedemikian, jangan sesekali kita ini lalai dalam ibadah kita saudaraku. Jangan sesekali kita mengabaikan hubungan kita dengan Tuhan Pencipta.

Perihal seorang hamba yang paling ideal dalam mengingati Tuhan, disebut dalam surah an-Nisa’ ayat 103:

Yang bermaksud: “Maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.”

Saudaraku,

Izinkan saya untuk berkongsi dengan anda, cara-cara untuk membantu kita menjadi insan yang lebih kerap mengingati Tuhan serta berusaha mendekatkan diri kepada-Nya.

Yang Pertama: Menghidupkan sunnah Nabi (s.a.w.) dalam rutin seharian kita.

Apabila Sunnah baginda (s.a.w.) diterapkan dalam kehidupan kita, hati kita semakin terpaut dengan Allah (s.w.t.) Firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 31 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Amalkan Sunnah Nabi (s.a.w.) yang mudah dilakukan dalam aktiviti seharian kita. Seperti memulakan setiap urusan dengan bacaan basmalah, mengucapkan istighfar atau zikir di mana saja kita berada, serta melayani keluarga dan teman-teman dengan senyuman dan kata-kata yang baik.

Maka apabila kita menyertakan sunnah Nabi dalam rutin seharian kita, hubungan kita dengan Allah (s.w.t.) akan menjadi semakin erat dan ketakwaan semakin meningkat.

Kedua: Bersyukur ke atas nikmat dan berdoa kepada Allah (s.w.t.).

Anugerah Allah (s.w.t.) kepada kita amatlah banyak. Sebutlah Alhamdulillah dengan seikhlasnya seberapa yang mampu. Apabila kita bersyukur kepada Allah atas nikmat sekecil mana pun dan pada masa-masa senang, kita akan mudah mengingati-Nya pada masa-masa susah. Dan pohonlah kepada Allah (s.w.t.) agar menjadikan kita sekeluarga yang sentiasa mengingati-Nya dan beramal soleh. Perhatikan doa yang diajarkan Nabi (s.a.w.):

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكرِكَ وَشُكرِكَ وَحُسنِ عِبَادَتِكَ

Yang bermaksud: Ya Allah bantulah aku dalam mengingatiMu dan bersyukur kepadaMu dan beribadah kepadaMu dengan baik. (Hadis riwayat Imam Abu Dawud).

Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan kita ketakwaan yang berkekalan dan diberi kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.