collections khutbah Kejujuran Prinsip Seorang Mukmin
Kejujuran Prinsip Seorang Mukmin

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

19 Februari 2021 / 7 Rejab 1442H

Kejujuran Prinsip Seorang Mukmin

 

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mengukuhkan ketakwaan kepada Allah (s.w.t.) dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Saudaraku,

Memilih yang benar dan hak merupakan satu prinsip dan pegangan hidup setiap Mukmin. Walaupun kadangkala ia tidak mudah dilaksanakan. Mungkin kerana ingin menjaga hati teman ataupun ahli keluarga sendiri. Ataupun kadangkala dengan menyatakan yang benar, ada kalanya mengundang keresahan buat diri sendiri.

Perhatikan firman Allah (s.w.t.) buat setiap individu Mukmin yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar.” (Surah At-Taubah: 119).

Saudaraku,

Ayat yang baru saya bacakan tadi sebenarnya merujuk kepada tiga para sahabat Nabi (s.a.w.) yang memilih untuk berkata benar dan tidak memberi alasan yang palsu. Ia berlaku ketika peperangan Tabuk. Di mana ketika itu walaupun mereka tiada keuzuran yang menghalang daripada menuruti Nabi (s.a.w.), akan tetapi mereka tetap juga tidak menyertainya.

Apabila ditanya oleh Rasulullah (s.a.w.) akan sebabnya, mereka secara jujur mengaku bahawa mereka tiada keuzuran mahupun alasan. Bahkan mereka yang berada di sekeliling mereka merasa hairan. Bukankah mereka ini boleh sahaja memberikan alasan dan keuzuran tertentu.

Disebabkan kejujuran mereka tersebut, mereka berhadapan dengan hukuman. Akan tetapi di penghujungnya Allah (s.w.t.) memuji sikap yang diambil tiga sahabat tersebut. Iaitu tetap memilih untuk berkata benar, serta berpegang dengan yang hak pada setiap saat dan ketika.

Kisah dan ayat ini saudaraku, mencerminkan kemuliaan orang yang jujur.

Justeru, bagaimana boleh kita menghiasi diri dengan sikap jujur? Imam al-Ghazali pernah mengatakan di dalam kitabnya Ihya ‘Ulumuddin, “kejujuran merangkumi kebenaran dalam percakapan, perbuatan serta niat seseorang itu”. Ini bererti, seorang yang jujur, kata-katanya mengandungi kebenaran. Perbuatannya pula seiring dan mencerminkan kata-katanya. Manakala niatnya suci dan tidak terpesong.

Sebagai contoh saudaraku, seorang Mukmin yang jujur dalam memberi nasihat adalah seorang yang menyampaikan kebenaran. Dia turut berusaha mengamalkan nasihat tersebut, walaupun mungkin belum sempurna. Niatnya pula adalah untuk menyampaikan kebaikan, dan bukan kerana merasa dirinya lebih baik atau ingin merendahkan sesiapa, menyebarkan fitnah ataupun memalukan insan lain.

Saudaraku yang dikasihi,

Kejujuran membawa segala jenis kebaikan buat setiap individu. Rasulullah (s.a.w.) bersabda:

علَيْكُمْ بِالصِّدْقِ فَإِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِى إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِى إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَصْدُقُ وَيَتَحَرَّى الصِّدْقَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ صِدِّيقًا

Ertinya: Diwajibkan atas kamu untuk jujur, kerana kejujuran akan membawa kepada kebaikan. Dan kebaikan itu akan membawa masuk syurga. Senantiasa seseorang itu jujur dan benar-benar berusaha untuk selalu jujur, sehingga ia dicatatat di sisi Allah sebagai orang yang paling jujur. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Oleh itu saudaraku, marilah kita mengamalkan sikap jujur dalam setiap aspek kehidupan kita, sama ada dalam kehidupan berkeluarga, bekerja mahupun bermasyarakat. Jagalah kata-kata, perbuatan dan niat kita, sama ada secara zahir mahupun di alam maya. Semoga Allah (s.w.t.) menggolongkan kita di antara orang-orang yang sentiasa benar dan ikhlas mengharapkan rahmat-Nya. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.