collections khutbah Kecemerlangan Seorang Muslim
Kecemerlangan Seorang Muslim

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

3 Januari 2020 / 7 Jamadilawal 1441H

Kecemerlangan Seorang Muslim

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah dengan melaksanakan segala perintahNya serta meninggalkan segala laranganNya. Bersyukurlah kita kepadaNya atas limpahan nikmat yang tidak pernah berhenti diberikan kepada kita. Mudah-mudahan, kita semua akan perolehi kebahagiaan, kecemerlangan dan keredhaanNya di dunia dan di akhirat. Amin.

 

Saudaraku,

Alhamdulillah atas nikmat kesihatan serta anugerahNya yang telah memanjangkan usia kita sehingga kita dapat bertemu dalam tahun baru 2020 ini. Maka sempena tahun baru ini, marilah kita berazam untuk mendekatkan diri kepada Allah serta meningkatkan lagi usaha untuk mencapai kecemerlangan bukan sahaja sebagai individu, tetapi juga sebagai seorang ahli keluarga dan anggota masyarakat negara Singapura.

Khutbah pada tahun baru ini, ingin mengajak kita sama-sama untuk menghayati firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat 143:

 

Yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami menjadikan kamu umat pertengahan agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia, dan Rasulullah pula menjadi saksi atas perbuatan kamu.

 

Saudaraku,

Perkataan ‘أمة وسطا’ (ummatan wasatan) dalam bahasa arab terdapat beberapa penafsiran. Antara penafsiran para mufassir, seperti Imam ibn Kathir, telah memberikan penafsirannya bahawa ia bererti, masyarakat yang terpilih, yang terbaik dan yang cemerlang. Dengan penafsiran ini, kita dapat mengambil faedah bahawa Islam mengajar kita untuk terus mengejarkan kecemerlangan di dunia ini. Ia tidak hanya memberikan penumpuan kepada amal ibadah kita sahaja, lalu mengabaikan urusan-urusan dunia ini, bahkan ia mendidik kita untuk menjadi seorang Muslim yang terbaik dalam apa jua urusan ataupun kerjaya. Sebagai contoh, para ulama kita yang dahulu seperti Abbas ibn Firnas, merupakan individu yang pertama yang berusaha untuk mencipta penerbangan, dan juga Ibn Haytham, yang merupakan antara individu yang pertama yang menyumbang kepada asas-asas utama dalam penciptaan kamera.

Maka saudaraku, marilah kita menyalakan semangat di dalam diri kita untuk menuju ke arah kecemerlangan yang akan memberikan manfaat kepada orang sekeliling kita. Namun begitu, terdapat beberapa cara-cara yang kita boleh amalkan dalam usaha kita untuk meraih kecemerlangan.

 

Yang pertama: Memperbaiki keperibadian kita sebagai seorang Muslim

Dalam usaha kita menuju ke arah kecemerlangan, ia bukan hanya bergantung kepada kecemerlangan dari sudut perkembangan intelektual, sains, ekonomi dan teknologi, bahkan yang lebih penting dan utama dari itu, ialah dari aspek kualiti rohani, budi pekerti yang tinggi, serta akhlak mulia dalam diri seseorang insan. Ini juga sejajar dengan ajaran Islam untuk berkelakuan baik bersama orang sekeliling kita. Perhatikan sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Yang paling banyak yang dimasukkan ke Syurga adalah taqwa kepada Allah dan akhlaq yang mulia” (Hadith Riwayat Imam At-Tirmidhi)

 

Nah, hadith ini merupakan panduan bagi kita semua untuk mengamati dan mencontohi, untuk sentiasa berusaha untuk menyempurnakan akhlaq dan budi pekerti kita sebagai seorang Muslim. Apalah erti kecemerlangan atau kemajuan sekiranya ianya menggadaikan moral, nilai-nilai murni dan akhlak mulia? Marilah saudaraku, kita memperkukuhkan keperibadian kita, lalu menghiasinya dengan daya tahan keimanan dan berkelakuan baik terhadap keluarga, masyarakat dan negara. Sinarilah usaha kita dalam memperbaiki keperibadian kita dengan bermuhasabah diri, lebih-lebih lagi pada awal tahun ini agar kita menjadi insan yang lebih baik dari tahun yang sebelum ini.

 

Yang kedua: Semangat kekitaan dan kehidupan bersama

Seorang Muslim yang ingin meraih kecemerlangan di dunia ini juga harus melihat kepada aspek sosial. Sebagai contoh, adalah apabila seorang Muslim yang peka terhadap keperluan masyarakat lalu memperbaikinya, dan bukan hanya mementingkan keperluan diri sendiri. Kita juga harus memupuk semangat di dalam diri kita untuk terus menyumbang kepada kemanfaatan dan kesejahteraan masyarakat kita. Begitulah indahnya agama Islam. Ia menitikberatkan sikap rahmah dan ihsan terhadap orang lain. Malahan, kehidupan kita akan menjadi lebih bermakna ketika kita dapat menghulurkan sumbangan serta bantuan, demi memperbaiki kehidupan insan lain tanpa mengira latarbelakang, bangsa dan agama seseorang itu. Perhatikan sabda Nabi s.a.w yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi insan yang lain.” (Hadith Riwayat Imam al-Baihaqi)

 

Yang terakhir: Mempertingkatkan kemahiran

Untuk merealisasikan dan membentuk masyarakat yang terus memberi sumbangan dan membawa manfaat, ia memerlukan kepada pembangunan diri serta kemahiran. Dengan kita menyempurnakan diri melalui peningkatan kemahiran, – tidak kira pada apa jua usia kita – ia bakal menjadikan kita lebih yakin dan lebih berupaya untuk memainkan peranan dalam menyumbang kepakaran kita kepada pembangunan masyarakat dan negara. Antara cara-cara untuk kita mempertingkatkan kemahiran diri kita adalah dengan menyertai program, “MySkillsFuture” yang telah ditubuhkan oleh kerajaan untuk kita meraih manfaat dan mempertingkatkan diri darinya. Terdapat banyak kemahiran yang kita boleh perolehi olehnya seperti, kursus menaip, kursus kaunseling dan lain-lain lagi. Maka dengan itu, marilah kita mengambil manfaat dari program ini untuk terus meningkatkan diri kita. Perhatikan firman Allah s.w.t. di dalam surah Az-Zumar, ayat 9 yang berbunyi:

 

Yang bermaksud “(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah kepadanya: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

 

Maka dengan itu, dalam kita terus gigih beribadah kepada Allah s.w.t. serta memperkukuhkan iman dan mempertingkatkan ilmu, marilah sama-sama kita menerapkan dalam diri kita nilai-nilai kecemerlangan, agar kita dapat terus memberi sumbangan yang bermanfaat yang dapat membentuk masyarakat yang cemerlang, berakhlak dan berkeperibadian mulia. Amin ya Rabbal ‘Alamin.