collections khutbah Keberkatan Pada Usia Lanjut
Keberkatan Pada Usia Lanjut

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

13 September 2019 / 13 Muharram 1441H

Keberkatan Pada Usia Lanjut

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Pada saat yang penuh dengan keberkatan ini, marilah kita rendahkan hati kita memohon dengan penuh pengharapan agar Allah s.w.t. memperkukuhkan ketakwaan kita. Marilah kita bermohon agar Allah memberkati usia kita dengan membantu kita untuk mendekatkan diri pada Allah serta menjauhi segala tegahanNya. Kita juga bermohon usia kita tidak akan berlalu tanpa diisi dengan kebajikan dan kebaikan.

Renungkanlah firman Allah dalam surah ar-Rum, ayat 54 yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Allah-lah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.

Ayat ini saudara, mengingatkan kita agar jangan lupa akan peredaran zaman serta usia kita yang pasti akan berlaku kepada setiap kita. Bermula dengan zaman kanak-kanak di mana kita bergantung kepada orang tua kepada belia dan dewasa sehinggalah masa di mana kita akan kembali memerlukan bantuan dari masa ke semasa pada usia lanjut apabila kita menua. Meskipun demikian, kita boleh mengambil inspirasi daripada ayat ini agar memastikan setiap saat usia kita yang terbaki di dunia ini diisi dengan amal-amal kebaikan yang bakal mengundang keberkatan daripada Allah s.w.t.

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Kita hari ini menggelarkan mereka yang telah lanjut usianya sebagai warga emas. Ini merupakan suatu gelaran yang amat sesuai kerana pada hakikatnya orang yang telah lanjut usianya mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman tentang kehidupan. Pengalamannya yang berharga itu berpotensi untuk membantu generasi muda seterusnya sama ada anak ataupun cucu-cucunya dan masyarakat agar mengenali perkara yang dielak agar tidak terjerumus dalam kesulitan dan juga mengenal pasti pendekatan yang telah membawa kejayaan dalam kehidupan. Kelanjutan usia tidak seharusnya dilihat sebagai peringkat kehidupan yang penuh dengan kemuraman, kesunyian dan kesedihan. Bahkan ia adalah peringkat kehidupan yang berpotensi membawa makna, ketenangan serta kebahagiaan. Untuk itu saya ingin menyusulkan tiga perkara yang boleh diberi perhatian:

Pertama: Menjaga hubungan dengan Allah dan Rasulullah s.a.w.

Saudara, semestinya mendekatkan diri pada Allah itu adalah suatu yang perlu diusahakan sepanjang hidup kita. Namun, setelah melalui peringkat kehidupan bekerjaya serta membesarkan anak-anak, adalah amat dianjurkan untuk kita ketika meniti usia lanjut untuk mengenepikan lebih waktu mendekatkan diri pada Tuhan yang telah mengurniakan nikmat usia kepada kita sejauh ini.  Sambil mempertingkatkan amal dan ibadah kita, jangan lupa untuk mendalami dan memperluas pengetahuan agama kita. Jika dulu ketika sibuk bekerjaya kita tidak mempunyai waktu luang yang banyak. Mungkin setelah persaraan atau bila kita sudah tidak perlu lagi menjaga anak-anak kecil, akan ada lebih masa untuk kita membaca. Semua yang diraih ini bukan hanya menjadi manfaat buat kita tetapi juga boleh dikongsi dengan anak dan cucu kita.

Mendekatkan diri kepada Allah juga boleh dicapai melalui kerja amal dan kemasyarakatan. Ini tidak kiralah sama ada di badan-badan kebajikan mahupun masjid. Baginda Rasulullah s.a.w. pernah berpesan:

 

Yang bermaksud: Sebaik-baik manusia adalah yang panjang umurnya dan baik amalannya. Dan seburuk-buruk manusia adalah yang panjang umurnya dan buruk amalannya.

[Hadith riwayat Ahmad, Al-Tirmidzi dan Al-Hakim]

Kedua: Berkongsi pengalaman.

Sebagai seorang yang mapan dan berpengalaman dalam berkeluarga, warga emas mempunyai peranan penting dalam berkongsi nasihat, bimbingan dan tunjuk ajar yang positif lagi membina bagi khususnya keluarga terlebih dahulu dan kemudian pada masyarakat. Contohnya terdapat warga emas yang menghabiskan masa sebagai sukarelawan membimbing bekas pesalah; ada juga yang masih menyumbang fikiran sebagai anggota persatuan dan kumpulan-kumpulan sosial. Sungguhpun mereka tidak lagi memegang tampuk kepimpinan kerana memberi peluang pada yang lebih muda untuk menerajuinya, namun mereka kekal sebagai tempat rujukan bagi golongan muda dalam meneruskan usaha-usaha murni membangun masyarakat.

Apa yang diperlukan adalah nasihat dan bimbingan warga emas disampaikan dengan penuh hikmah dan bijaksana, tanpa memaksakannya mahupun merendahkan usaha yang lebih muda. Apabila penghormatan dan keyakinan sedemikian diberikan warga emas kita kepada yang lebih muda, insya-Allah ianya akan diterima dengan baik. Bahkan lebih mengundang penghormatan pada warga emas kita.

Ketiga: Mengekalkan kehidupan yang aktif

Kehidupan yang aktif perlu diteruskan meskipun kita menua. Hari ini alhamdulillah kita menyaksikan sudah mula semakin ramai warga emas yang mengaktifkan dirinya dengan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti beriadah, melakukan kerja-kerja amal dan kemasyarakatan dan sebagainya.

Pada masa yang sama kita sebagai anak-anak juga berperanan untuk mendorong orang tua kita agar kekal aktif. Luangkan masa kita untuk mengisi masa orang tua kita dengan aktiviti luar. Andai terlalu sibuk seringlah hubungi mereka kerana kita punyai pelbagai kemudahan teknologi untuk berkomunikasi. Galakkan warga emas kita untuk terus bertemu teman-teman dan bersenam. Kita harapkan dengan kehidupan yang aktif ini, ia akan mengelakkan seseorang itu semasa usia lanjutnya daripada diselubungi kesunyian sehingga menyebabkan tekanan serta kemurungan.

Saudaraku yang dikasihi,

Penjagaan kesihatan juga adalah sesuatu yang penting semasa usia lanjut. Terdapat pelbagai cara untuk seseorang itu menjaga kesihatannya. Di antaranya adalah dengan bersenam atau beriadah secukupnya sesuai dengan peringkat umur. Badan yang sihat dan akal yang cerdas akan menghasilkan kehidupan yang sejahtera bukan sahaja buat diri kita tetapi juga kepada ahli keluarga kita.

Dengan kehidupan masyarakat Singapura yang semakin menua, terdapat pelbagai subsidi pemeriksaan kesihatan yang boleh dimanfaatkan. Program seperti ‘Screen For Life’ oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), membolehkan seseorang menjalani pemeriksaan kesihatan asas dengan kos dimampui serendah $5 dollar. Selain itu juga, terdapat prosedur pemeriksaan kesihatan lain yang boleh dibayar dengan menggunakan Medisave.

Usahakanlah untuk membuat pemeriksaan kesihatan agar sesuatu penyakit itu dapat dikesan lebih awal lagi dan rawatan yang sesuai dapat diberikan. Sekiranya sesuatu penyakit itu tidak dikesan lebih awal dan berada di peringkat yang lebih lanjut, ia ditakuti boleh memudaratkan diri, memburukkan kesihatan dan sekaligus dapat menjejas kehidupan dirinya dan mereka yang berada di sekelilingnya.

Mudah-mudahan, kita dikurniakan umur yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan. Semoga Allah s.w.t. menambahkan kekuatan keimanan kita, memaafkan kesalahan dan kesilapan kita, mengampuni dosa-dosa kita, mengukuhkan silaturrahim dan persaudaraan kita, menyatukan hati-hati kita dalam melakukan kebaikan, memberikan kita kesihatan zahir dan batin serta menempatkan kita bersama hamba-hambaNya yang soleh di akhirat kelak. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.