collections khutbah Islam dan Nilai Keinsanan
Islam dan Nilai Keinsanan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

11 Jun 2021 / 30 Syawal 1442H

Islam dan Nilai Keinsanan

 

Muslimin Muslimat yang saya muliakan,  

Marilah bertakwa kepada Allah dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah (s.w.t.) sentiasa memberi kepada kita petunjuk-Nya dan rahmat-Nya insya-Allah. Amin.

Saudaraku,

Agama kita membawa nilai-nilai yang sangat murni ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan kehidupan. Ia memupuk sikap kesaksamaan di antara kita, bahawa tiada manusia yang lebih mulia dari yang lain kecuali dengan takwanya. Ia mengajak yang kuat membantu yang lemah, yang kaya menolong yang miskin, yang sihat merawat yang sakit. Ia menanam sikap rahmah dan ihsan di dalam setiap jiwa, agar kita tidak menyakiti saudara kita dengan kata-kata mahupun perbuatan yang melukakan hati mereka. Ia memadam api kebencian dan permusuhan, serta menggantikannya dengan cahaya persaudaraan dan kesatuan umat manusia.

Di dalam suasana di mana nyawa, kehormatan dan maruah manusia mudah terancam dek pelbagai cabaran kehidupan, ingatlah pesanan agama ini. Di dalam era di mana perbezaan yang tampak zahir di mata kita dijadikan alasan penindasan dan penghinaan, ingatlah teguran agama ini.

Muslimin Muslimat yang dikasihi,

Perhatikan bagaimana sahabat Baginda Nabi (s.a.w.) sangat prihatin akan kedudukan wanita di sisi Allah (s.w.t.). Pernah diriwayatkan oleh Imam al-Nasa’i, Ummu Salamah r.a. telah bertanya kepada Nabi (s.a.w.): Mengapakah kami (kaum wanita) tidak disebut di dalam al-Qur’an sepertimana disebut mengenai kaum lelaki? Ketika itu, mereka mendengar Baginda Nabi (s.a.w.) menyampaikan ayat yang turun di dalam surah al-Ahzab ayat 35 dari mimbar Baginda (s.a.w.):

إِنَّ الۡمُسۡلِمِيۡنَ وَالۡمُسۡلِمٰتِ وَالۡمُؤۡمِنِيۡنَ وَالۡمُؤۡمِنٰتِ وَالۡقٰنِتِيۡنَ وَالۡقٰنِتٰتِ وَالصّٰدِقِيۡنَ وَالصّٰدِقٰتِ وَالصّٰبِرِيۡنَ وَالصّٰبِرٰتِ وَالۡخٰشِعِيۡنَ وَالۡخٰشِعٰتِ وَالۡمُتَصَدِّقِيۡنَ وَالۡمُتَصَدِّقٰتِ وَالصَّآئِمِيۡنَ وَالصّٰٓـئِمٰتِ وَالۡحٰفِظِيۡنَ فُرُوۡجَهُمۡ وَالۡحٰـفِظٰتِ وَالذّٰكِرِيۡنَ اللّٰهَ كَثِيۡرًا وَالذّٰكِرٰتِ أَعَدَّ اللّٰهُ لَهُمۡ مَّغۡفِرَةً وَأَجۡرًا عَظِيۡمًا‏

Yang bermaksud: “Sesungguhnya lelaki yang Islam serta wanita yang Islam, dan lelaki yang beriman serta wanita yang beriman, dan lelaki yang taat serta wanita yang taat, dan lelaki yang benar serta wanita yang benar, dan lelaki yang sabar serta wanita yang sabar, dan lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta wanita yang merendah diri (kepada Allah), dan lelaki yang bersedekah serta wanita yang bersedekah, dan lelaki yang berpuasa serta wanita yang berpuasa, dan lelaki yang memelihara kehormatannya serta wanita yang memelihara kehormatannya, dan lelaki yang menyebut nama Allah dengan banyak serta wanita yang menyebut nama Allah dengan banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”

Mesej Islam pada ayat tadi amatlah jelas. Allah (s.w.t.) menyebutkan beberapa sifat yang terpuji yang dibalas-Nya dengan keampunan serta pahala yang besar. Di antaranya adalah sifat kesabaran, sifat merendah diri kepada Allah dan sifat seorang yang banyak mengingati Allah (s.w.t.).

Setiap sifat tersebut boleh di dapati pada lelaki mahupun wanita, keampunan Allah serta ganjaran-Nya juga diraih lelaki mahupun wanita, selagimana mereka mempunyai ciri-ciri tersebut. Mengapa saudara?

Agar jangan sampai terlintas di benak kita, walaupun untuk sesaat, bahawa kita mulia kerana kita lelaki, dan wanita hina kerana dia wanita. Itu bukan Islam. Allah (s.w.t.) tidak membezakan kedudukan manusia hanya kerana jantinanya. Setiap insan, wanita atau lelaki, mulia atau hina di sisi Tuhan adalah kerana perbuatannya, bukan kerana sifat zahirnya. Sejauh mana tahap ketakwaan itu berjaya dipupuk di dalam hati, sejauh itu darjat dan nilai seseorang di sisi Tuhan.

Saudara saudari sekalian,

Begitulah kitab suci Al-Qur’an menjelaskan dengan sebaik-baik penjelasan kedudukan manusia di sisi Tuhan. Kemuliaan yang diraih adalah dengan keimanan dan akhlak serta budi pekerti yang mulia.

Perkara ini perlu kita hayati dengan lebih mendalam lagi. Lebih-lebih lagi di zaman ini, di mana kita menyaksikan peningkatan kesedaran dan semangat keagamaan di kalangan sebahagian anggota masyarakat.

Kesedaran dan semangat keagamaan, di dalam wawasan dan garispandu Al-Qur’an, bukan terletak pada apa yang biasa kita kenali dengan ibadat, ataupun penampilan luaran kita sahaja. Namun, ia sangat berkait rapat dengan keluhuran budi pekerti dan kesucian rohani kita.

Maka berwaspadalah saudara-saudari sekalian, jika jiwa dan hati kita masih rasa tenang dan senang menyebarkan fitnah, mengumpat, menjatuhkan maruah orang lain.

Saudaraku,

Keagamaan yang sempurna, adalah apabila tambahan daripada menjaga amalan, kita berjaya menjaga adab serta pekerti dalam pergaulan seharian. Keagamaan yang sempurna adalah apabila kita mampu untuk melihat nilai setiap insan di sisi Tuhan dan menghormatinya, tanpa melihat kepada perbezaan pangkat serta jawatannya, ataupun perbezaan bangsa serta agamanya.

Dan ingatlah, tiada perkara yang lebih berat nilainya di sisi Tuhan di neraca timbangan seseorang, melebihi akhlak yang baik. (Hadis riwayat Abu Dawud).

Kita berdoa kepada Allah (s.w.t.) agar Dia mengurniakan kepada kita kefahaman yang sebenar akan agama ini. Serta menjauhi diri kita daripada segala kekeliruan, serta daripada pekerti yang buruk. Dan semoga Dia sentiasa memelihara negara serta masyarakat yang kita sayangi ini. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.