collections khutbah Mencontohi Sifat Baginda (s.a.w.): Sifat Bersyukur
Mencontohi Sifat Baginda (s.a.w.): Sifat Bersyukur

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

21 Oktober 2022 / 24 Rabiulawal 1444H

  
Mencontohi Sifat Baginda (s.a.w.): Sifat Bersyukur

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang sentiasa menzahirkan rasa syukur di atas segala nikmat yang diberikan. Amin.

Saudara dan saudari,

Allah (s.w.t) telah berfirman di dalam surah Al-Isra’, ayat ketiga:

Yang bermaksud:(Wahai) keturunan orang-orang yang telah Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh (di dalam bahtera)! Sesungguhnya dia adalah seorang hamba yang bersyukur.”

Lihat dan amati peringatan yang ingin disampaikan di dalam ayat tersebut. Ia mengisahkan tentang peristiwa Nabi Nuh (a.s) dan juga mereka yang menaiki bahtera bersamanya untuk menyelamatkan diri mereka daripada banjir yang melanda. Mereka diberi peringatan untuk mencontohi Nabi Nuh (a.s).

Telah diriwayatkan oleh Imam Al-Tabari bahawa Nabi Nuh (a.s) sentiasa mengucapkan syukur kepada Allah (s.w.t) di atas segala yang dikurniakan kepadanya. Nikmat berpakaian, nikmat makan, nikmat minum dan segala nikmat-nikmat yang Allah (s.w.t) telah berikan kepadanya.

Lihat bagaimana Nabi Muhammad (s.a.w), kekasih Allah (s.w.t) yang mempunyai darjat yang mulia di sisi Allah menzahirkan rasa kesyukurannya. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, bahawa Rasulullah (s.a.w) berdiri untuk melakukan solat sehingga bengkak kedua kakinya, dan apabila ditanya mengapa Baginda melakukan demikian, Baginda (s.a.w) menjawab: “Apakah aku tidak (mahu) menjadi hamba yang bersyukur?”

Begitulah juga yang harus kita lakukan. Seorang hamba kepada yang Esa harus sentiasa berasa syukur dan menzahirkan kesyukurannya dengan setiap pemberian Tuhan.

Saudara dan saudari,

Perhatikan sekeliling kita, daripada tubuh badan kita, hinggalah ke persekitaran kita. Allah (s.w.t) telah mengurniakan kita pelbagai bentuk nikmat. Nikmat pada deria kita, nikmat pada persekitaran kita dan pelbagai bentuk nikmat lain yang ada. Setiap sesuatu di muka bumi ini penuh dengan rahmat dan kasih sayang daripada Allah (s.w.t) untuk kita. Hatta daun yang gugur demi memberi ruang untuk dedaunan yang lebih segar tumbuh juga merupakan nikmat untuk kita dapat terus menghirup udara yang segar.

Jadi apakah peranan kita, sebagai hamba Allah (s.w.t) yang merasai segala nikmat ini? Semestinya kita harus bersyukur dan salurkan rasa kesyukuran kita dengan mencari reda yang Maha Esa.

Saudara dan saudari,

Salah satu cara yang mudah untuk kita bersyukur kepada Allah (s.w.t), adalah dengan menimbulkan sifat berterima kasih kepada sesama manusia.

Dengan menyemai sifat yang murni ini, kita akan sedar bahawa setiap kelebihan yang kita ada, akan membuat kita lebih bersungguh-sungguh mencari reda Allah (s.w.t).

Dalam masa yang sama, untuk mengukuhkan lagi rasa kesyukuran di atas nikmat yang telah kita raih. Janganlah kita berbanding-banding akan kelebihan yang ada pada orang lain.

Namun, jika ia dapat membantu untuk menimbulkan rasa syukur, lihatlah kepada mereka yang kurang bernasib baik berbanding kita.

Sepertimana yang dinasihat oleh Baginda (s.a.w) yang bermaksud, “Lihatlah orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat orang yang berada di atasmu, kerana yang demikian itu lebih patut agar kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang telah diberikan kepadamu” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dengan cara itu, bukan sahaja akan membuat kita menjadi insan yang lebih bersyukur. Akan tetapi ia juga akan membuka pintu hati kita untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Sebagaimana cabaran mereka adalah untuk terus bersabar dan bersyukur di atas kesusahan dan keadaan yang kurang berkemampuan itu, begitu jugalah cabaran bagi mereka yang berkemampuan, bagaimana kelebihan rezeki yang diberi itu dapat menjadi asbab untuk mendapat keredaan Allah (s.w.t), ataupun kemurkaan-Nya.

Maka marilah sama-sama kita mencari reda Allah (s.w.t) dengan memperbanyakkan rasa syukur kita di dalam apa jua keadaan, baik susah mahupun senang. Semoga dengan usaha ini, dapat kita bersama-sama berkumpul di syurga Allah kelak. Amin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.