collections khutbah Pengorbanan Kunci Kejayaan
Pengorbanan Kunci Kejayaan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

9 Julai 2021 / 28 Zulkaedah 1442H

Pengorbanan Kunci Kejayaan

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah (s.w.t.) dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan ketakwaan, kita akan terus bersemangat untuk melakukan amal kebaikan. Amin.

Saudara dan Saudari,

Dengarkanlah salah satu kisah pengorbanan Nabi Muhammad (s.a.w.) yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.

Seorang wanita pernah menghadiahkan sehelai kain (burdah) kepada Nabi Muhammad (s.a.w.) kerana Baginda (s.a.w.) memerlukannya. Namun, datang seorang lelaki, yang meminta kain yang dipakai Baginda (s.a.w.) kerana beliau inginkan keberkatan Baginda (s.a.w.). Walaupun berkeperluan, Baginda tetap memberi kain itu kepadanya. Baginda mengorbankan keperluannya sendiri untuk membahagiakan orang lain.

Subhanallah. Lihat sahaja bagaimana Nabi (s.a.w.) tidak ragu walau sesaat pun untuk memenuhi hajat orang lain, walaupun ini bermakna Baginda kehilangan keperluannya sendiri. Inilah sikap ithar yang diajarkan oleh Baginda (s.a.w.). Inilah sifat orang-orang yang berjaya, seperti yang dijelaskan Allah (s.w.t.) di dalam Surah al-Hasyr ayat 9:

Yang bermaksud: “Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

Namun, kita semua mengetahui peritnya pengorbanan. Bukan mudah untuk mendahulukan orang lain. Jika melepaskan keinginan dan keselesaan sahaja sudah amat sukar, bayangkan betapa susahnya untuk mengorbankan keperluan kita demi membantu dan membahagiakan orang lain. Namun, itulah jalan yang menuju kepada kejayaan.

Begitu juga pengorbanan kedua ibu bapa kita. Mereka yang selalu meletakkan keperluan dan hajat anak-anak sebelum diri mereka sendiri. Mereka mengorbankan masa dan tenaga, siang dan malam.  Tiada erti penat lelah ataupun mengalah dalam kamus ibu bapa. Hanya untuk mencapai satu matlamat. Kebaikan serta kejayaan anak-anak.

Muslimin dan Muslimat,

Sikap ini sangat dititikberatkan agama Islam. Ia tidak hanya memberi fokus kepada kejayaan ataupun kebahagian seseorang individu sahaja. Bahkan ia mengajar kita untuk mengajak orang lain juga untuk berjaya bersama. Lebih-lebih lagi dalam kehidupan bermasyarakat, khusus dalam masa-masa yang mencabar. Ramai yang berkeperluan, yang memerlukan bantuan, nasihat, kemahiran dan sebagainya. Jika kita menghayati maksud pengorbanan dan ithar, kita akan berusaha melengkapi kelemahan dan kekurangan sesama kita. Ini agar kita dapat bangkit memajukan masyarakat dan agama bersama.

Ingatlah pesanan Baginda (s.a.w.) dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Tidak (sempurna) iman seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari).

Begitulah peringatan buat kita bahawa kejayaan insan lain juga bermaksud kejayaan kita. Dan ia memerlukan kepada usaha dan pengorbanan. Kerana kejayaan tidak akan datang bergolek begitu sahaja tanpa kita berusaha dengan sungguh-sungguh menuju ke tujuan tersebut.

Tanamlah niat dan tekad untuk sentiasa berusaha mencari ruang dan peluang untuk berjaya. Bukan hanya untuk diri sendiri, bahkan untuk semua orang di sekeliling kita juga.  Nabi (s.a.w.) pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Bersungguh-sungguhlah di dalam melakukan perkara yang bermanfaat untukmu, mintalah bantuan dari Allah, serta janganlah engkau lemah.”

Marilah kita berdoa semoga Allah (s.w.t.) mempermudahkan segala urusan kita dan semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan kita kejayaan di dunia dan di akhirat kelak. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.