collections khutbah Dedikasi Seorang Ayah Dalam Pendidikan dan Pembangunan Anak
Dedikasi Seorang Ayah Dalam Pendidikan dan Pembangunan Anak

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

9 September 2022 / 12 Safar 1444H

 
Dedikasi Seorang Ayah Dalam Pendidikan dan Pembangunan Anak

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah, kita mengukuhkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhkan diri daripada segala tegahan-Nya. Semoga dengan ketakwaan yang kukuh, dapat mengangkat darjat kita di sisi Allah (s.w.t) Amin.

Saudara dan saudari,

Seorang ayah berperanan sebagai peneraju utama dalam melakar hala tuju sebuah keluarga, demi menggapai bahagia, rasa cinta dan kasih sayang yang mendalam dalam keluarga. Dia bukan sahaja bertanggungjawab memberikan nafkah kepada keluarganya. Bahkan peranan yang lebih penting lagi, adalah memberikan pendidikan seutuhnya kepada anak-anak. Merangkumi aspek-aspek jasmani, rohani, intelek dan jiwa. Ketinggian peribadi seorang ayah akan menjadi cerminan dan ikutan bagi anak-anak.  

Marilah, kita menyemak dan merenungi serta mengambil iktibar kisah terindah yang dirakamkan oleh Allah (s.w.t.) dalam al-Quran, mengenai kisah Nabi Nuh (a.s.) dan anaknya.

Nabi Nuh (a.s.) telah menyampaikan dakwah kepada kaumnya dalam jangka masa yang sangat lama. Segelintir sahaja daripada mereka yang menyahut seruannya. Ramai yang ingkar terhadapnya. Termasuk anaknya yang menolak dakwahnya dengan terang-terangan.

  
Lihatlah bagaimana Nabi Nuh (a.s.) mengajak dan menasihati anaknya kepada kebaikan walaupun pada saat-saat terakhir ketika anak beliau hampir ditenggelam oleh banjir. Allah (s.w.t.) berfirman:

Yang bermaksud: “Dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: "Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau bersama orang-orang yang kafir". (Surah Hud, ayat 42)
 

Saudara dan saudari,

Apakah pelajaran dan manfaat yang boleh diraih dari kisah Nabi Nuh (a.s.) bersama anaknya?

Dedikasi dan keprihatinan beliau terhadap pembangunan dan pendidikan anaknya merupakan ciri utama yang wajar dicontohi.

Saudara dan saudari,

Pendidikan keagamaan dengan menanamkan nilai-nilai mulia dalam diri anak-anak seharusnya dimulakan sejak kecil lagi. Apabila besar nanti, pengamalan keagamaannya semakin mantap, mempunyai daya tahan yang kuat, tidak mudah terpengaruh dengan amalan-amalan buruk dan gaya hidup songsang yang bertentangan dengan lunas-lunas agama.  Bak kata pepatah Arab: “Belajar di waktu kecil bagai mengukir di atas batu”.

Sebagai seorang ayah, sewajarnya dapat mengenali dan mengesan bakat dan kelebihan anak-anak secara tersendiri. Peranannya bagi memberi sokongan padu dan bimbingan, agar anak-anak terus maju dan dapat mengembangkan bakat untuk mencapai cita-cita dan mencorak masa depan yang lebih bermakna untuk keluarga dan masyarakat. Hal sedemikian akan terwujud, apabila seorang ayah dapat berkomunikasi dengan baik. Memantau perkembangan anak-anak dengan teliti serta bertindak sesuai dengan kemaslahatan mereka.

Dengan kesabaran, teguran positif dan pendekatan yang lemah-lembut akan dapat memelihara perhubungan yang baik dan harmoni antara ayah dengan anak-anaknya. Sepertimana yang dicontohkan oleh Nabi Nuh (a.s.).

Renungkan sabda Nabi (s.a.w.) yang bermaksud: “Sesungguhnya segala sesuatu yang dihiasi kelembutan akan nampak indah. Sebaliknya, tanpa kelembutan segala sesuatu akan nampak buruk” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Anak-anak kita dalam menjalani kehidupan ini kadang-kadang tersilap langkah dan tindakan. Maka janganlah kita terburu-buru memberikan hukuman dan menyingkirkan mereka. Sebaiknya diajak berbincang dan menunjukkan kesilapan atau kesalahan yang dilakukan. Berikan jalan keluar yang dapat memperbaiki keadaan serta iringilah dengan doa untuk kebaikan mereka.

Kemungkinan anak itu belum sedia untuk menerima nasihat dan panduan yang diajar. Itu tidak menjadi alasan sebagai seorang ayah untuk berhenti menasihatinya. Bukankah itu tanda kasih sayang dan keprihatinan seorang ayah terhadap kemaslahatan dan keselamatan anaknya?

Marilah, kita berdoa semoga Allah (s.w.t.) menjadikan anak-anak kita sebagai permata hati dan aset kita yang menggembirakan di dunia dan akhirat serta mempermudahkan bagi kita segala urusan kita, dalam membimbing keluarga ke arah yang diredai-Nya. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

Saudara saudari yang dirahmati Allah,

Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin (RLAF) sedang mengadakan kutipan derma untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan bagi banjir dahsyat yang melanda Pakistan.

Antara banjir yang terburuk di Pakistan dalam jangka masa lebih sedekad, bencana itu telah meragut lebih 1,000 jiwa dan menjejas lebih 33 juta orang.

Sumbangan anda akan menyokong keperluan segera mereka yang terjejas termasuk makanan, tempat perlindungan kecemasan, air dan kemudahan untuk pembersihan atau sanitasi.

Anda boleh menderma melalui tabung-tabung di masjid ini yang menunjukkan kutipan bagi banjir di Pakistan. Maklumat lanjut juga boleh didapati di lelaman web Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin (RLAF).

Semoga Allah s.w.t. meringankan beban yang dihadapi mereka, dan memberikan kekuatan dan ketabahan kepada mereka dalam menghadapi ujian ini. Amin.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.