collections khutbah Menghayati Nama Tuhan Al-Wahhab
Menghayati Nama Tuhan Al-Wahhab

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

17 Disember 2021 / 12 Jamadilawal 1443H

Menghayati Nama Tuhan Al-Wahhab

Saudara dan saudari yang dirahmati Allah,

Marilah kita terus meningkatkan ketakwaan kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan takwa, kita dapat terus meraih petunjuk dan pertolongan Allah di dunia dan di akhirat.

Saudara dan saudari,

Pada khutbah minggu ini, marilah sama-sama kita memerhatikan satu lagi nama Allah iaitu Al-Wahhab, Tuhan yang Maha Memberi.

Allah adalah Tuhan yang sentiasa sedia memberi. Dialah Tuhan yang mencurahkan rahmat, kemaafan serta nikmat-Nya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Tidak ada yang dapat menghalang apa yang Allah berikan. Malah Dia terus memberi nikmat-Nya meskipun kadangkala kita melakukan kesalahan, berdosa, lalai dan leka dalam melaksanakan tuntutan-Nya. Inilah kebesaran dan kemuliaan Tuhan al-Wahhab.

Saudara dan saudari,

Meskipun ada kalanya kita rasa tidak layak untuk mendapat nikmat Allah kerana dosa-dosa yang kita lakukan. Namun Allah (s.w.t.) tidak pernah putus dan sentiasa memberi. Allah terus memberikan kepada kita nikmat-Nya yang banyak. Seperti nikmat penglihatan, pendengaran, kebahagiaan, nikmat beribadah di rumah Allah walaupun dalam keadaan wabak sekarang ini dan lain-lain lagi. Kadangkala kita tidak sedari akan nikmat yang Allah kurniakan. Kita menginginkan sesuatu yang lebih. Dan kita merasa sedih ketika tidak perolehi apa yang kita dambakan. Sedangkan kita terlupa, seribu satu lagi pemberian Allah yang pelbagai yang sedang kita kecapi.

Saudara dan saudari,

Dalam keadaan kita menginginkan sesuatu, kita juga perlu menyedari bahawa Allah (s.w.t.) memberi berdasarkan apa yang kita perlukan. Bukan menurut apa yang kita mahukan. Ini kerana Allah Maha Mengetahui apa yang sesuai dan yang terbaik buat kita. Perhatikan firman Allah yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.” (Surah Asy-Syura: 49).

Saudara dan saudari,

Bagi seorang Mukmin yang menghayati nama Allah al-Wahhab, akan timbul kesedaran di dalam dirinya untuk berusaha menterjemahkan sifat ini dalam kehidupannya seharian. Dengan itu, izinkan saya untuk kongsikan tiga perkara yang kita dapat lakukan bersama.

Yang pertama: Menghargai nikmat pemberian Tuhan dengan melaksanakan ketaatan.

Seorang Mukmin apabila dikurniakan rezeki serta nikmat daripada Tuhan, dia tidak akan bersikap tamak dan hanya mementingkan diri sendiri. Bahkan, dia akan terus mencari peluang untuk memberi kesan positif serta baik dalam kehidupan seseorang. Ini kerana nikmat pemberian Tuhan perlu disalurkan ke arah kebaikan dan bukan sebaliknya.  

Yang kedua: Berusaha untuk mendapatkan keberkatan dalam pemberian Allah.

Sebagai contoh, seorang bapa yang sedang mencari rezeki buat keluarga, dia perlu memastikan bahawa usahanya adalah dengan cara yang jujur dan betul. Jauh daripada sebarang keburukan mahupun penipuan. Ini kerana kekayaan dan kemewahan bukanlah kayu ukur rahmat Tuhan buat seorang hamba. Namun yang penting adalah rezeki yang diberkati Tuhan.

Yang ketiga: Melahirkan rasa kesyukuran dalam diri.

Nikmat yang Allah (s.w.t.) kurniakan kepada kita seharusnya menambahkan lagi rasa syukur dalam diri kita. Syukur kerana Tuhan sentiasa memelihara kita. Syukur kerana Tuhan tidak akan pernah biarkan kita bersendirian dalam kesusahan. Ingatlah janji Tuhan apabila kita bersyukur, Dia pasti akan tambahkan lagi pemberian dan rahmat-Nya.

Marilah sama-sama kita terus menghargai nikmat yang telah diberikan kepada kita dengan menambahkan rasa kesyukuran kita pada-Nya.

Semoga kita terus menjadi seorang muslim yang suka memberi, saling bantu membantu, dan sentiasa bersyukur di atas pemberian serta nikmat yang Allah berikan kepada kita. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

 

 

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.