collections khutbah Bersikap Lemah Lembut Terhadap Keluarga
Bersikap Lemah Lembut Terhadap Keluarga

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

11 Disember 2020 / 26 Rabiulakhir 1442H

Bersikap Lemah Lembut Terhadap Keluarga

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita terus menguatkan ketakwaan kita kepada Allah dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah (s.w.t.) melindungi kita di bawah kelembutan dan kasih sayang-Nya.

Saudaraku,

Kita sentiasa diingatkan untuk terus berusaha memanjatkan doa kepada Tuhan agar dikurniakan hidayah serta rahmat-Nya. Sebagai lanjutan bagi khutbah minggu lalu, marilah sama-sama kita perhatikan satu lagi doa yang diajarkan oleh Baginda (s.a.w.). Doanya berbunyi:

Yang bermaksud: “Ya Allah, bimbinglah aku kepada amalan yang baik dan akhlak yang baik. Tidak ada yang dapat membimbing kepada kebaikan itu kecuali Engkau” (Hadis riwayat Imam an-Nasa’i).

Doa ini merupakan satu pengharapan daripada seorang Mukmin agar dikurniakan kekuatan untuk sentiasa beramal serta berakhlak baik. Malahan, kemuliaan akhlak dan kelembutan budi pekerti Baginda (s.a.w.) merupakan contoh buat kita. Baginda sering berusaha untuk menyumbang kepada kebaikan. Beliau tidak pernah menggunakan sebarang kekerasan atau paksaan, dalam tindakannya mahupun pada ucapannya.  

Saidatina Aisyah (r.a.) pernah meriwayatkan bahawa Baginda tidak pernah mengherdik atau mengangkat suara, apatah lagi mengangkat tangannya untuk mencederakan keluarganya. Apakah Rasulullah (s.a.w.) seorang yang lemah? Apakah Rasulullah (s.a.w.) tidak berkuasa?

Subhanallah! Tidak. Kekuatan dan kekuasaan Rasulullah (s.a.w.) bukan pada kekerasan atau pada tangannya. Tetapi kekuatan Baginda adalah pada hatinya, pada sifatnya, pada akhlaknya, pada kelembutan dan kemaafan Baginda. Kerana sifat-sifat ini, Baginda disayangi dan dihormati keluarga, teman dan kawan. Segala sifat-sifat ini perlu dipupuk, bermula dari rumah. Kerana di rumah lah sifat-sifat sebenar seseorang akan terzahir kelihatan.

Saudaraku yang dikasihi Allah,

Saya faham cabaran yang kita lalui pada saat ini. Terbatasnya pergerakan sosial kita sehingga banyaknya masa kita berada di rumah. Ia telah meninggalkan keresahan kepada sebahagian daripada kita. Kadangkala kita perlu meluahkan keresahan ini. Namun, bukanlah meluahkan rasa marah atau kekerasan pada keluarga kita. Sebaliknya, inilah masanya untuk kita saling menguatkan dan menyokong antara satu sama lain.

Berikan masa kita untuk saling mendengar antara satu sama lain. Tentunya kita tidak berada dalam keadaan yang ideal.

Pasangan dan ahli keluarga kita tidak sempurna, sebagaimana kita sendiri tidak sempurna. Di sinilah kekuatan sebenar kita diuji. Kekuatan pada hati dan akhlak kita. Kesabaran dan kesediaan untuk memaafkan, sebagaimana kita juga mengharapkan orang lain untuk sabar dan memaafkan kita.

Saudaraku,

Di rumah lah sebenarnya kita mendapatkan ketenangan. Di rumah lah sebenarnya merupakan peluang untuk menyuburkan rasa kasih sayang dan rahmat antara kita. Di rumah lah Allah mencampakkan benih kasih sayang dan rahmat untuk kita menyuburkan dan meraihnya. Allah (s.w.t.) berfirman:

Yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan diantaramu rasa kasih dan sayang dan belas kasihan. Sesungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.” (Surah al-Rum, ayat 21).

Marilah sama-sama kita menyuburkan benih-benih rahmat dan kasih sayang dalam kehidupan kekeluargaan kita. Siramilah benih kesabaran dan kemaafan. Kita akan pasti meraih hasilnya, iaitu ketenteraman dan ketenangan dalam kehidupan. Kekuatan bukan pada tangan ataupun kekuatan fizikal. Kekuatan adalah pada hati kita. Semoga Allah (s.w.t.) sentiasa memelihara diri, serta keluarga kita dari sebarang keganasan dan kemudaratan. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.