collections khutbah Berkongsi Kenikmatan Ramadan
Berkongsi Kenikmatan Ramadan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

16 April 2021 / 4 Ramadan 1442H

Berkongsi Kenikmatan Ramadan

 

الحَمدُ لِلّهِ الَّذِي فَتَحَ فِي رَمَضَانَ أَبْوَابَ جَنَّتِهِ وَأَغْلَقَ أَبْوَابَ نَارِهِ. وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا محمدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعدُ، فَيَا أَيُّهَا الـمُسلِمُونَ، أُوصِيكُم وَنَفسِي بِتَقوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، فَقَد فَازَ الـمُتَّقُونَ.

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Semoga Ramadan sejauh ini telah mula membangkitkan serta meningkatkan ketakwaan kita pada Allah. Teruslah berusaha untuk menyuburkan ketakwaan kita sepanjang bulan Ramadan ini. Mudah-mudahan, ia menjadi bekal buat kita sepanjang tahun yang mendatang.

Saudaraku,

Pada minggu yang lalu, kita telah diingatkan akan hadis riwayat Imam Muslim, bagaimana Rasulullah (s.a.w.) yang sudah sememangnya pemurah sepanjang hidupnya. Namun, Baginda akan lebih-lebih pemurah lagi tatkala Ramadan tiba setiap kali. Inilah Sunnah Baginda Nabi (s.a.w.) di bulan Ramadan. Ia mendidik kita bahawa bulan ini seharusnya menjadi bulan perkongsian antara yang ada dan kurang berada. Yang mendapat nikmat dengan yang belum ditakdirkan Allah berada.

Berpisah dan berkongsi sesuatu yang kita suka dan dikira berharga pada kita itu, merupakan bukti kesanggupan kita mempersembahkan yang terbaik untuk Allah. Allah telah berfirman di dalam Surah Ali Imran, ayat 92 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Kamu tidak akan sekali-kali meraih ganjaran kebajikan yang sempurna sehinggalah kamu sanggup menginfakkan daripada apa yang kamu sukai. Dan apa sahaja yang kamu infakkan itu maka Allah Maha Mengetahuinya.”

Satu perkara yang ditekankan dalam ayat ini adalah kesanggupan kita untuk mengorbankan keinginan kita sendiri demi orang lain. Ia merupakan salah satu hikmah yang juga ingin dicapai daripada ibadah puasa kita juga.

Sebagai manusia, pastinya kita suka makanan yang lazat. Kita akan merancang makanan yang ingin kita jamu. Namun pada siang Ramadan kita diperintahkan untuk meninggalkan dan mengorbankan keinginan serta kebiasaan kita, sama ada makan ataupun minum, demi Allah (s.w.t.). Bukan itu sahaja, bahkan di bulan Ramadan kita dianjurkan untuk berkongsi makanan khususnya dengan mereka yang berpuasa sehingga kita kemudian akan meraih pahala mereka yang sedang berpuasa. Ia berdasarkan hadis Nabi (s.a.w.) yang bermaksud: “Barangsiapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Oleh itu saudara, kerana kita masih berada di awal bulan Ramadan ini, saya rasa ia merupakan peluang keemasan untuk kita melatih diri, memberi dan berkongsi kelebihan yang ada. Kita selalu diingatkan atas setiap nikmat dan peluang yang Allah kurniakan, bagaimanakah telah kita kongsikan dan manfaatkannya bukan sahaja untuk diri kita sendiri tetapi juga untuk semua yang kita kasihi.

Saudaraku,

Ramadan kali ini, suburkan terus budaya ingin suka berkongsi kegembiraan dan harapan dengan mereka di sekeliling kita. Badan-badan kebajikan, masjid-masjid seluruh negara dan mereka yang memerlukan, menanti sokongan dan sumbangan kebajikan kita melalui sumbangan zakat dan sedekah. Tiada sumbangan yang terlalu kecil pada Allah (s.w.t.). Ini kerana yang dinilai adalah keikhlasan kita saudara.

Bahkan, Ramadan kali ini menyediakan kita peluang untuk berkongsi lebih daripada wang dan harta. Seperti yang kita maklumi, ruang-ruang untuk solat terawih juga agak terhad, kerana kita masih lagi mengambil langkah-langkah keselamatan mengawal jumlah jemaah ke masjid. Namun kita tetap bersyukur masjid-masjid pada Ramadan kali ini kekal dibuka.

Untuk itu saudara, seandainya kita telah mendapat satu atau dua kali peluang melaksanakan solat terawih, apa kata kita berikan laluan pada jemaah lain pun untuk dapat merasakan kemanisan beribadah di masjid Ramadan ini. Sesuai dengan ayat yang saya bacakan tadi. Meskipun kita lebih suka bersolat terawih di masjid, namun kita korbankan apa yang kita suka demi memberi peluang pada orang lain. Ketahuilah saudara, Rasulullah (s.a.w.) pernah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik amal soleh adalah untuk memasukkan kegembiraan kepada saudaramu yang beriman”. (Hadis riwayat Ibnu Abi Dunya).

Tatkala kita membuat keputusan untuk tidak menempah tempat untuk berterawih di masjid, niatkan ia sebagai satu pengorbanan agar orang lain juga dapat ikut merasakan kebahagiaan beribadah. Dengan niat tersebut, bakal terhimpun dalam satu amalan beberapa ganjaran, seperti membantu orang, membahagiakan insan lain serta mengorbankan yang kita suka demi kebaikan.

Ingatlah firman Allah (s.w.t.) dalam Surah An-Nisa’ ayat 122:

Yang bermaksud: “Orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh, akan Kami masukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah telah membuat suatu janji yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?”

Saudaraku,

Apa yang kita dambakan setiap Ramadan adalah cinta Allah dan rahmat-Nya. Apa yang kita harapkan adalah pengampunan-Nya. Maka niatkan setiap yang kita lakukan, demi meraih keredaan Allah secara khusus. Semoga segala pengorbanan kita demi kebahagiaan dan keselamatan orang ramai, bakal menjadi kunci-kunci syurga buat diri ini. Mudah-mudahan dengan kita memberi peluang pada orang lain untuk juga turut merasakan nikmat ibadah serta kebahagiaan, Allah akan gantikan bagi kita kebahagiaan yang abadi di syurga kelak. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.