collections khutbah Al-Hadi: Petunjuk dari Kesesatan
Al-Hadi: Petunjuk dari Kesesatan

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

10 Disember 2021 / 5 Jamadilawal

Al-Hadi: Petunjuk dari Kesesatan

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita terus meningkatkan ketakwaan kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan takwa, kita dapat terus mengharungi cabaran hidup dengan tabah dan sabar.

 

Saudara dan saudari,

Sebagai kesinambungan bagi tema khutbah bulan ini yang memberi penumpuan kepada nama-nama Allah, pada hari ini, kita akan memerhatikan satu lagi nama Tuhan yang mulia agar kita dapat mengenali-Nya. 

 

Saudara dan saudari,

Setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan kita merupakan satu peluang untuk kita dekatkan diri kepada Allah serta menyedari akan kebesaran-Nya. Renungkan sahaja apabila Tuhan mengurniakan kebaikan buat diri kita. Apakah kita berasa syukur lalu terus mempertingkatkan amal ibadah? Begitu juga apabila Tuhan menguji kita dengan cabaran dan dugaan. Apakah kita terus beriman dan yakin akan rahmat-Nya? Ataupun kita memilih untuk berpaling jauh daripada-Nya. 

Maka agama ini mengingatkan kita untuk sentiasa kembali kepada Allah pada setiap keadaan dan ketika. Ini kerana Allah sahaja yang memahami keperluan kita. Dia mengetahui apa yang terbaik buat diri kita. Dialah yang sentiasa sedia untuk memberi petunjuk. Dialah al-Hadi, Tuhan yang Maha Memberi Petunjuk. Allah (s.w.t,) menyebut nama-Nya al-Hadi di dalam al-Quran yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Allah sentiasa memberi petunjuk bagi orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.” (Al-Hajj:54)

 

Saudara dan saudari,

Setiap insan memerlukan kepada petunjuk serta hidayah daripada Tuhan dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Jangan pernah sesekali kita merasa sombong dan merasa diri sendiri cukup baik. Tambahan dari itu, janganlah kita memperolokkan mereka yang sedang mencari hidayah Allah. Namun sebaiknya kita membantu serta menyokong mereka. Kerana kita juga perlu sedari bahawa setiap kebaikan yang kita dapat lakukan merupakan petunjuk Allah. Malah kita sendiri tidak tahu jika Allah akan menarik balik hidayah yang diberikan kepada kita. 

 

Saudara dan saudari,

Perhatikan setiap kali apabila kita menunaikan solat, berapa kali kita membaca surah al-Fatihah, yang merupakan doa seorang insan agar Allah memberi kepadanya petunjuk? Kita berdoa kepada Allah: 

Yang bermaksud: “Berilah kepada kami petunjuk kepada jalan-Mu yang lurus.” (Al-Fatihah: 6)

Begitulah insan, kita sentiasa memerlukan kepada Allah dalam segenap aspek kehidupan kita. Sentiasa memerlukan kepada panduan dan petunjukNya.

 

Saudara dan saudari,

Tambahan dari berdoa, kita juga perlu berusaha untuk memastikan bahawa diri kita sentiasa berada pada jalan yang lurus, serta tidak terpesong dalam kesesatan. Tiada jalan lain, melainkan dengan kita berusaha untuk mendalami pemahaman kita tentang ilmu agama. Kuatkan kefahaman agama kita dari guru yang muktabar. 

Bayangkan saudaraku, sekiranya kita ingin mempelajari tentang ilmu sains dan perubatan, ia melalui satu proses yang lama, serta mempelajari bidang-bidang tersebut pada institut yang diiktiraf serta rasmi. Kerana sesiapa yang bakal menjadi pakar perubatan, beliau berurusan dengan kesihatan serta nyawa insan lain. Tersalah bagi ubat, nyawa insan lain yang terancam.

Begitu juga ilmu agama. Ia berkaitan ibadah kita, solat dan haji. Ia berkaitan akhirat kita. Bagaimana darjat seseorang di sisi Tuhan. Seharusnya kita juga berhati-hati dari sumber mana kita menuntut ilmu agama. 

Di zaman digital ini, ilmu agama boleh didapati dengan mudah dalam talian. Ia merupakan satu peluang bagi kita untuk memperolehi ilmu agama. Namun pada masa yang sama, ia juga merupakan satu cabaran buat kita untuk memastikan kesahihan maklumat yang kita terima. 

 

Saudara dan saudari,

Di sini ingin saya menegaskan, kepentingan untuk kita sentiasa berjaga-jaga dalam memperolehi maklumat agama. Rujuklah kepada ahli agama yang bertauliah dan boleh dipercayai sekiranya kita tidak pasti ataupun meragui akan sesuatu maklumat yang kita perolehi. Berhati-hatilah apabila terdapat individu yang menyebarkan maklumat agama yang diragui. Yang menjadi kayu ukur kita adalah al-Quran dan Sunnah Nabi (s.a.w.), serta kita sentiasa merujuk kepada para ulama yang muktabar serta penjelasan mereka. 

Tambahan dari ini, antara ciri ajaran sesat serta yang diragui adalah apabila ajaran tersebut dikendalikan secara bersembunyi dan tidak terbuka kepada orang ramai. Ia merupakan antara ciri yang paling ketara. Kerana ia bercanggah dengan cara yang diajarkan Nabi (s.a.w.). Segalanya telah dijelaskan Baginda (s.a.w.). Sehinggakan untuk belajar tentang agama ini, tidak memerlukan untuk bersembunyi.   

Kita berdoa kepada Allah agar Allah sentiasa memberi kepada kita petunjuk serta hidayah-Nya. Semoga Dia tunjukkan kepada kita jalan-Nya yang lurus untuk menuju rahmat-Nya. Semoga Allah (s.w.t.) melindungi kita semua dari kebatilan dan segala jenis kesesatan. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.