collections khutbah Agama Mendekatkan diri Kepada Tuhan
Agama Mendekatkan diri Kepada Tuhan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

19 Mac 2021 / 5 Syaaban 1442H

Agama Mendekatkan diri Kepada Tuhan

 

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Marilah kita terus menyuburkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga yang demikian itu mendekatkan kita kepada Allah (s.w.t.). Amin.

Saudaraku,

Pada beberapa minggu yang lalu, khutbah telah menekankan bagaimana agama kita ini, adalah agama yang tidak pernah terpisah daripada realiti kehidupan. Islam adalah agama yang bertujuan untuk memastikan bahawa pengikutnya tidak menjadi individu yang apabila beragama, terhakis kemanusiaannya.

 

Sebab itulah kita dapati amat menarik sekali firman Allah (s.w.t.) di dalam Surah al-Maun ayat 1-7:

Yang bermaksud: “Tahukah kamu siapa mereka yang mendustakan agama? Mereka itu adalah orang yang menindas anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin; Maka kecelakaan bagi orang-orang yang solat dalam keadaan lalai akan solatnya; begitu juga orang-orang yang berbuat riya (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya), dan mereka yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).”

Lihatlah saudara bagaimana amat menakjubkan apabila Allah menyifatkan orang-orang yang mendustakan, bukan dengan sifat-sifat yang sering kita dengarkan, seperti mengingkari kewujudan Allah serta mencabar ajaran Allah dan Nabi.

Namun sifat yang dijadikan sebagai tanda orang mendustakan agama adalah mereka yang menindas atau menzalimi anak yatim, tidak mempedulikan keperluan orang-orang yang susah, bahkan tidak mahu menolong dengan perkara yang baik. Semua ini menunjukkan bahawa ia adalah mustahil sekiranya seseorang yang sempurna imannya, akan sanggup melakukan perkara yang boleh menyakiti orang lain. Sebab itu juga kita temui pesan Nabi Muhammad (s.a.w.) yang bermaksud: "Ketahuilah, barangsiapa menipu maka dia bukan daripada golongan kami." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Saudaraku,

Ia merupakan suatu peringatan bahawa agama kita ini menekankan aspek kemanusiaan dalam pelaksanaan ajarannya. Sebab itulah apabila seseorang melakukan amalan yang menyakiti orang lain, sedangkan kita selesa terus dan hanya mementingkan diri sendiri, perkara ini ditegah agama. Kerana ia bukan antara ajarannya.

Sebagai contoh, buat sekian lama ini, alhamdulillah, kita telah pun dapat melaksanakan solat di masjid-masjid dengan sistem tempahan tempat solat. Ruang-ruang solat juga ditambahkan berbanding sebelumnya. Namun malangnya, kita juga mendapati sebahagian individu yang menyalahgunakan sistem tersebut. Hanya semata-mata kerana ingin mendapatkan tempat untuk solat Jumaat secara lebih kerap atau berturut-turut.

Saudara, perbuatan ini menunjukkan seolah-olah pelakunya tidak mengendahkan sebahagian Jemaah lain yang mungkin belum lagi berkesempatan untuk menunaikan solat di masjid. Bagaimanakah kita mengharapkan pengampunan Allah seandainya cara mendapatkannya tidak sesuai dengan etika agama-Nya?

Meskipun berniat baik untuk selalu hadir ke masjid, namun matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Ajaran agama Islam adalah ajaran yang mengajar kebaikan dalam semua aspek kehidupan, termasuk kesediaan kita untuk berkongsi kebaikan dengan yang lain.

Saudaraku,

Ingatlah bahawa peluang untuk terus beribadah bersama di rumah-rumah Allah adalah antara nikmat besar yang tidak harus kita ambil ringan. Kita tidak mahu keikhlasan ibadah kita dicemari sikap mementingkan diri sendiri sehingga mengambil hak dan peluang orang lain.

Apabila kita tidak memperolehi tempat ibadah di masjid, ketahuilah ada saudara kita yang bakal melaksanakan solat di tempat tersebut.

Dengan itu, kita berkongsi kebaikan sesama kita. Bersyukur di atas nikmat Allah ini. Nescaya ia akan terus dikembangkan oleh Allah (s.w.t.). Ia adalah lambang kesyukuran kita. Ini sesuai dengan firman-Nya di dalam surah Ibrahim ayat ke-7 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”

Saudaraku,

Alhamdulillah, kita juga sekarang ini telah memasuki bulan Syaaban yang penuh keberkatan. Ia menandakan bahawa Ramadan menjelang tiba. Lalu apakah langkah-langkah yang telah kita ambil untuk mempersiapkan diri bagi kedatangan bulan yang mulia ini? Sudahkah kita bersedia untuk bertemu dengan bulan Ramadan?

Justeru itu, saya ingin mengajak setiap di antara kita untuk bermula dari sekarang. Hidupkanlah semangat dalam diri kita serta keluarga, untuk terus mempertingkatkan amal ibadah dan kebaikan. Tidak kira sama ada di masjid-masjid, mahupun di rumah masing-masing bersama keluarga. Kongsikanlah nikmat yang diberikan Tuhan, bersama insan sekeliling kita. Amalkanlah doa yang saya turut akan bacakan pada bulan Syaaban ini. Semoga kita diberkati pada bulan Syaaban ini, serta diberikan peluang untuk bertemu bulan Ramadan. Doanya berbunyi:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ شَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

Yang bermaksud: “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Syaaban dan pertemukanlah kami dengan bulan Ramadan.”

Semoga Allah (s.w.t.) terus mengurniakan kita peluang untuk berkongsi nikmat-Nya dengan orang di sekeliling kita, dan dengannya memperolehi redha dan kasih sayang Allah (s.w.t.). Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.