collections khutbah Agama Memartabatkan Wanita
Agama Memartabatkan Wanita

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

17 September 2021 / 10 Safar 1443H

Agama Memartabatkan Wanita

Saudara dan Saudari yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Muslimin dan Muslimat,

Agama ini menitikberatkan setiap insan untuk mencari teladan yang baik. Dari itu, kita mendapati bagaimana al-Quran dipenuhi dengan kisah teladan yang pelbagai. Sama ada kisah mereka yang alpa serta dimurkai, agar dijadikan insan sebagai pengajaran untuk dijauhi. Begitu juga kisah-kisah para nabi, kisah insan-insan soleh dan sebagainya, untuk dicontohi.

Apabila Allah (s.w.t.) mendorong insan untuk menjadikan sebahagian individu sebagai contoh teladan, maka seharusnya kita mengkaji, dan meneliti apakah ciri-ciri yang mengakibatkan insan tersebut berjaya meraih darjat yang begitu tinggi di sisi Tuhan.

Pada kesempatan ini, ingin saya berkongsi pengajaran disebalik satu ayat, yang padanya terdapat perintah Tuhan untuk kita menjadikan individu-individu tersebut sebagai teladan. Firman-Nya yang berbunyi:

Yang bermaksud: ”Allah memberi suatu perumpamaan buat mereka yang beriman, pada diri isteri Firaun, ketika dia berkata Ya tuhanku, binakanlah bagi ku rumah di Syurga-Mu, dan lindungilah aku daripada Firaun dan perbuatannya, dan lindungilah aku daripada kaum yang zalim. Dan Maryam anak kepada Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami meniup padanya daripada ruh Kami, dan dia membenarkan kalimat tuhan-Nya dan kitab-kitab-Nya, dan dia termasuk daripada orang-orang yang taat.” (Surah Al-Tahrim: 11-12).

Saudara dan Saudari,

Pada saat dan ketika ini, perlu untuk kita berhenti seketika lalu memerhatikan pengajaran yang begitu penting di sebalik ayat-ayat ini. Bayangkan saudaraku, Allah (s.w.t.) memerintahkan setiap individu Mukmin, untuk menjadikan kedua wanita ini sebagai contoh teladan. Sekiranya kita mengkaji sejarah kehidupan kedua-dua individu mulia ini, kita akan mendapati beberapa sifat dan ciri yang luar biasa pada diri mereka. Isteri Firaun dikurniakan kecekalan hati, walaupun berhadapan dengan cabaran hidup beragama dalam suasana yang mencabar. Begitu juga Saidatina Maryam – ibu kepada Nabi Isa (a.s.) – yang kekal beristiqamah mentaati Allah (s.w.t.). Kedua-duanya merupakan contoh teladan berkaitan ciri kesabaran dan ketabahan.

Saudara dan Saudari,

Inilah ajaran Islam. Agama yang memberikan kepada kedua-dua lelaki dan wanita peluang yang sama untuk meraih darjat yang tinggi di sisi Tuhan.

Ketika Nabi (s.a.w.) diutuskan Tuhan, Baginda menghapuskan segala bentuk kekejaman, ketidakadilan dan penderitan terhadap wanita. Kedudukan serta martabat mereka dimuliakan. Sehinggakan Baginda mengingatkan umatnya agar sentiasa berlaku baik terhadap kaum wanita.

Namun, malangnya terdapat sebahagian individu yang mengabaikan pesanan Nabi (s.a.w.) ini. Lalu menyalahertikan beberaka teks agama. Maka disebabkan kekeliruan yang berlaku, mereka menindas ataupun merasakan bahawa dirinya lebih mulia dan lebih baik daripada kaum wanita. 

Sebagai contoh, kekeliruan yang berlaku di sisi sebahagian individu ketika membaca ayat-ayat ataupun hadis berkaitan penyaksian seorang wanita, ataupun berkaitan kepimpinan seorang wanita dan sebagainya.

Saudara dan Saudari,

Di sini letaknya kepentingan setiap individu Mukmin untuk mempelajari ilmu agama dan memahaminya dengan betul daripada seorang guru yang bertauliah. Agar kefahaman agama kita kekal di jalan yang benar dan selamat daripada sebarang salah faham. Maka bagaimana sekalipun penafsiran sesuatu teks agama, setentunya ia perlu kembali kepada prinsip utama agama ini. Iaitu, tiada penindasan, kekerasan dan ketidakadilan pada ajaran Islam.

Marilah kita kenang kembali pesanan yang disampaikan oleh Baginda (s.a.w.) melalui khutbah wada’ tentang amanah suami isteri dalam rumahtangga. Sabda Rasulullah (s.a.w.) yang bermaksud: “Bertakwalah kamu kepada Allah demi melaksanakan hak kaum wanita, lantaran kamu telah mengambil mereka sebagai isteri dalam bentuk amanah Allah.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Ayuh sama-sama kita terus berusaha untuk mendalami ilmu agama berpandukan seorang guru. Sekiranya kita ingin dapatkan pencerahan yang lebih lanjut berkenaan agama, maka rujuklah kepada mereka yang pakar daripada para Asatizah yang bertauliah. Ingatlah firman Allah (s.w.t.) di dalam surah al-Nahl ayat 43:

Yang bermaksud: “Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan kepada kita kefahaman yang sebenar akan agama ini. Serta menjauhkan diri kita daripada segala kekeliruan dan pekerti yang buruk. Mudah-mudahan, Allah (s.w.t.) terus melimpahkan kurniaan hidayah dan petunjuk-Nya kepada kita semua. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

Saudara Saudari yang saya muliakan,

Hari ini, Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin (RLAF) akan mengadakan kutipan derma untuk membantu badan-badan yang menyokong mereka yang kurang berupaya (Persons with Disabilities) yang mana kehidupannya terjejas akibat COVID-19. Sumbangan yang kita hulurkan akan membantu mereka menghadapi masa-masa yang mencabar ini.

Maklumat lanjut untuk menderma boleh didapati di lelaman web MUIS dan juga lelaman Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin (RLAF). Marilah sama-sama kita menghulurkan bantuan kepada usaha baik ini. Semoga Allah (s.w.t.) menerima segala sumbangan kita ini dan kurniakan kita tempat di syurga-Nya. Amin.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.