collections khutbah Kepentingan Mengamalkan Ajaran Islam Secara Keseluruhan
Kepentingan Mengamalkan Ajaran Islam Secara Keseluruhan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

13 Januari 2023 / 20 Jamadilakhir 1444H


Kepentingan Mengamalkan Ajaran Islam Secara Keseluruhan

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t) dengan sebenar-benar ketakwaan. Dengan mematuhi segala suruhan-Nya dan menghindari segala larangan-Nya. Semoga dengan itu kita dapat mengecapi kemanisan beriman dan meraih ganjaran-Nya. Amin.

Saudara dan saudari,

Allah (s.w.t) berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 208 yang berbunyi:

Yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang nyata.”

Saudara dan Saudari,

Islam adalah agama yang menyeluruh. Ia ibarat payung yang melindungi diri bagi yang berpegang kepadanya. Perlindungan daripada segala bentuk kejahatan, kesesatan, penyelewengan dan keburukan.

Saudaraku. Di sini terdapat keperluan untuk kita memahami maksud di sebalik kalimah ‘keseluruhan’ pada ayat tersebut. Adakah ia bermaksud untuk melakukan segala amalan-amalan yang terhubung kait dengan Allah sahaja? Ataupun ia terikat dengan segala yang berkaitan dengan kehidupan kita?

Perhatikan wahai Jemaah yang dikasihi. Sebagaimana Allah (s.w.t) menitikberatkan ibadah bagi hamba-Nya demi menjaga hubungan kehambaan kepada-Nya. Akan tetapi, maksud ibadah itu begitu luas. Ibadah bukan hanya sekadar menjaga puasa, menjaga solat, menjaga zakat dan sebagainya. Akan tetapi ibadah bagi kita kaum muslimin adalah segala bentuk kebaikan. Ibadah merangkumi percakapan atau kelakuan kita, menuruti apa yang dicintai dan diredai Allah (s.w.t)

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Baginda bersabda:

"‏ أَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِأَفْضَلَ مِنْ دَرَجَةِ الصِّيَامِ وَالصَّلاَةِ وَالصَّدَقَةِ ‏"‏ ‏.‏ قَالُوا بَلَى ‏.‏ قَالَ ‏"‏ إِصْلاَحُ ذَاتِ الْبَيْنِ وَفَسَادُ ذَاتِ الْبَيْنِ الْحَالِقَةُ ‏"‏

Yang bermaksud: “Adakah kalian inginkan aku beritahu dengan amalan yang lebih baik daripada darjat berpuasa, solat dan sedekah? (Sahabat) pun berkata: Bahkan. Baginda bersabda: mendamaikan perselisihan, kerana peribadi perselisihan itu membinasakan”

Saudara dan Saudari,

Lihat dan amati maksud daripada hadis ini. Bagaimana Rasulullah (s.a.w) berkongsi kepada sahabat-sahabatnya tentang keutamaan menjaga hubungan sesama insan. Ia juga merupakan sebahagian daripada ibadah. Maka keislaman kita, bukan hanya terbatas di masjid sahaja. Bukan hanya pada rupa dan pakaian sahaja. Akan tetapi, keislaman kita, seharusnya diterjemahkan pada kehidupan kita seharian. Bagaimana kita berjual beli, dengan penuh amanah. Pada hubungan kita dengan jiran tetangga. Pada akhlak dan pekerti.

Maka seorang mukmin yang menjaga ibadah solat dan puasanya, kesan-kesan daripada ibadah tersebut terzahir pada kehidupannya. Beliau tidak berkelakuan buruk.

Sebagaimana minyak dan air tidak akan bersatu di dalam satu bekas. Begitu juga kebaikan dan juga kemungkaran tidak mungkin dapat bersatu. Maksiat ataupun kemungkaran, hanya akan merosakkan ibadah kita. Ia akan menjadikan ibadah kita sia-sia belaka.

Saudara dan Saudari,

Ingatlah dua perkara yang telah dikongsikan oleh mimbar pada minggu ini. Perkara yang pertama, adalah menjaga hubungan kemanusiaan di samping dengan hubungan kita bersama Tuhan Pencipta Alam.

Perkara yang kedua pula, untuk memastikan bahawa kesan daripada ibadah kita, seharusnya diterjemahkan dalam kehidupan kita seharian. Jangan sesekali kita merosakkan pahala amalan ibadah kita dengan kemaksiatan.

Maka ingatlah para Jemaah sekalian, pada tiap-tiap masa kita sedang berusaha mencari reda dan cinta Allah. Pastikanlah kita menjaga kedua-dua perkara ini. Pastikan, hubungan sesama insan terjaga dan pastikan ia tidak dicemari dengan kemaksiatan.

Marilah sama-sama kita menjadi hamba-hamba Allah (s.w.t) yang bertanggungjawab. Yang menerapkan nilai-nilai keislaman dengan menyuluruh. Semoga dengan usaha kita ini, akan membuat kita berjaya menggapai cinta dan keredaan illahi, dan pada akhirnya dapat kita sama-sama berkumpul di dalam syurga-Nya kelak. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.