collections khutbah Seorang Muslim Yang Bersikap Prihatin
Seorang Muslim Yang Bersikap Prihatin

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

6 November 2020 / 20 Rabiulawal 1442H

Seorang Muslim Yang Bersikap Prihatin

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Marilah kita sentiasa berusaha untuk menghiasi diri dengan ketakwaan kepada Allah (s.w.t.). Takwa itu menjaminkan kejayaan di dunia dan akhirat. Semoga kita kekal istiqamah dalam usaha mencapai nilai ketakwaan dalam kehidupan ini. Amin.

Saudaraku,

Rasulullah (s.a.w.) telah meninggalkan dua wasiat agar dijadikan pegangan dalam kehidupan seorang Muslim. Ia adalah al-Quran dan juga sunnah Nabi (s.a.w.). Oleh itu, sepanjang bulan ini, khutbah ingin mengajak kita sama-sama untuk meneliti beberapa pengajaran di sebalik hadis-hadis qudsi yang diriwayatkan.

Apakah itu hadis qudsi? Imam al-Jurjani menjelaskan bahawa hadis qudsi adalah hadis yang maknanya datang daripada Allah, sementara lafaznya disampaikan oleh Nabi Muhammad (s.a.w.).

Di antara keunikan yang terdapat di dalam hadis qudsi, adalah kebiasaannya ia mengandungi susunan kata yang lembut, serta menyentuh perasaan bagi mereka yang mendengar dan membacanya.

Pada kesempatan hari ini, marilah kita merenungkan isi kandung hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: “Wahai anak Adam, Aku (Allah) telah sakit, tetapi engkau tidak menjenguk-Ku. Orang itu bertanya: Wahai Tuhan, bagaimana cara saya menjenguk-Mu, sedangkan Engkau Tuhan penguasa alam semesta? Allah berkata: Apakah engkau tidak mengetahui bahawa seorang hamba-Ku bernama fulan sedang sakit tetapi engkau tidak mahu menjenguknya. Sekiranya engkau mahu menjenguknya, pasti engkau dapati Aku di sisinya

Begitulah bahasa kiasan yang diungkapkan Allah (s.w.t.) melalui Nabi Muhammad (s.a.w.). Ia bertujuan untuk melembutkan hati manusia agar bersikap prihatin terhadap mereka yang sedang menghadapi penderitaan dan kesusahan. Dari itu, kita dianjurkan untuk berusaha membantu dan memberi jalan keluar bagi mereka yang memerlukan.

Sikap sebegini saudaraku, dapat menghasilkan nilai keihsanan dan kebaikan sesama manusia. Tatkala kita bersikap prihatin dan berusaha untuk mempermudahkan urusan seseorang itu, kita sebenarnya turut mewujudkan hubungan yang positif serta mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan sebuah masyarakat. Ingatlah akan firman Allah (s.w.t.) yang berbunyi:

Yang bermaksud, Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Taubah, ayat 71).

Saudaraku,

Setiap di antara kita pastinya tidak terlepas daripada ujian dan cabaran dalam kehidupan. Ada di antara saudara kita yang diuji kesihatannya, ada yang diuji melalui pekerjaan, perniagaan dan kewangan yang terjejas, dan ada juga yang berhadapan dengan cabaran dalam kehidupan keluarganya. Sudah pastinya, kita sebagai individu yang menyaksikan perkembangan tersebut, tidak mampu untuk menyelesaikan segala permasalahan tersebut. Namun sekurang-kurangnya, berikanlah panduan kepada saudara kita itu untuk mendapatkan bantuan dari badan-badan yang bersesuaian. Zahirkan keprihatinan akan situasi dan keadaan mereka.

Saudaraku,

Inilah usaha yang perlu kita semai dalam jiwa kita. Selain daripada keprihatinan akan keadaan orang lain, pastikan juga kebajikan dan penjagaan orang tua kita sendiri turut dijaga dengan sebaiknya. Kasihanilah mereka, sepertimana mereka telah mengasihi kita sejak kecil lagi. Sesungguhnya, Allah (s.w.t.) merahmati hamba-hamba-Nya yang sentiasa mengambil berat serta membantu akan keperluan keluarganya dan saudaranya.

Sama-samalah kita terus berusaha dan berdoa, mudah-mudahan Allah (s.w.t.) terus melindungi kita dan mengurniakan kesejahteraan kembali buat kita semua di dunia dan akhirat. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.