collections khutbah Mencontohi Baginda s.a.w.: Sifat Membantu dan Memberi
Mencontohi Baginda s.a.w.: Sifat Membantu dan Memberi

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

23 Oktober 2020 / 6 Rabiulawal 1442H

Mencontohi Baginda s.a.w.: Sifat Membantu dan Memberi

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah mengurniakan kepada kita semangat untuk sentiasa menghidupkan ajaran Nabi Muhammad s.a.w.

Saudaraku,

Alhamdulillah, kita sekarang telah memasuki bulan Rabiulawal yang mulia. Bulan yang sering mengingatkan kita akan kekasih kita, Nabi Muhammad s.a.w. serta menyuburkan kembali rasa cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w. Cinta yang mendorong kita untuk sentiasa mempelajari dan menghayati akan keperibadian Rasulullah s.a.w. Oleh itu, khutbah pada hari ini mengajak kita untuk memerhatikan akan salah satu dari keperibadian Nabi s.a.w. agar untuk kita terapkan dalam kehidupan seharian kita. Yang saya maksudkan adalah sifat memberi dan membantu yang dipaparkan Nabi s.a.w.

Saudaraku,

Rasulullah s.a.w. terkenal dengan sikap yang suka membantu dan memberi pertolongan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Baginda s.a.w. sentiasa sedia untuk membantu dan tidak pernah menolak permohonan bantuan daripada sesiapa pun.

Imam Abu Daud pernah meriwayatkan bahawa Baginda s.a.w. pernah didatangi seorang peminta sedekah, Baginda pun menanyakan sekiranya beliau mempunyai sesuatu bersamanya. Lalu Baginda membantunya dengan menjual barang yang dimilikinya. Dan hasil jualan tersebut telah mengubah kehidupan peminta sedekah itu, sehinggakan beliau dapat hidup berdikari dalam mencari rezeki serta tidak meminta-minta lagi.

Inilah panduan dari kehidupan Nabi s.a.w. Baginda berusaha untuk membantu sejauh kemampuannya bagi memberi kesan positif dalam kehidupan mereka yang berinteraksi dengan Baginda.

Saudaraku,

Semangat menghulurkan bantuan sebegini perlu disemai dalam diri kita. Kerana melalui bantuan yang dihulurkan ia sebenarnya membuka pelbagai pintu kebaikan bukan sahaja buat individu tersebut, bahkan ia sebenarnya memberi kebaikan bagi masyarakat. Perhatikan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Seorang mukmin terhadap mukmin lainnya adalah seperti satu bangunan, sebahagiannya menguatkan yang lainnya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Ia bermaksud, ketika anda membantu seorang insan, ia sebenarnya meninggalkan kesan bukan sahaja terhadap individu tersebut, akan tetapi bagi kehidupan masyarakat secara keseluruhannya. Tambahan dari itu, Tuhan menjanjikan kebaikan untuk mereka yang membantu serta sentiasa berusaha untuk melakukan kebaikan. Perhatikan firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Nahl ayat ke-97 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Barangsiapa yang beramal soleh daripada lelaki ataupun wanita, dan dia beriman, maka akan Kami menghidupkannya dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”

Saudaraku,

Semangat membantu tidak hanya terbatas pada aspek kewangan. Sifat memberi merangkumi segala bentuk kebaikan, sama ada mendoakan kesejahteraan saudara kita, menyiapkan keperluan mereka yang memerlukan, dan sebagainya. Allah tidak melihat besar atau kecil sumbangan kita itu, yang paling utama adalah keikhlasan kita dalam menyumbang kebaikan.

Sedarilah saudaraku, kita saling memerlukan antara satu sama lain. Tiada siapa pun yang dapat menjalani kehidupan ini secara bersendirian. Lebih-lebih lagi berhadapan dengan cabaran kehidupan sekarang ini. Apabila kita berusaha untuk meringankan keperitan kehidupan insan lain, Allah s.w.t. pasti akan mempermudahkan kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat.

Semoga Allah s.w.t. memberkati segala usaha kita dan mengekalkan kita dalam kebaikan. Mudah-mudahan, kita memperoleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.