collections khutbah Membudayakan Kebaikan Dengan Semangat Ihsan
Membudayakan Kebaikan Dengan Semangat Ihsan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

1 Mac 2024 / 20 Syaaban 1445H


Membudayakan Kebaikan Dengan Semangat Ihsan

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Marilah bersama kita menjiwai tuntutan ihsan dalam kehidupan seharian. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa dikurniakan rahmat Allah. Amin.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Setiap dari kita adalah orang yang beruntung. Kenapa saya katakan demikian? Ini kerana Allah meminjamkan kita nyawa dan roh untuk sehari lagi. Kita diberikan satu hari lagi untuk merasa nikmat dan anugerah Allah, sambil melakukan kebajikan dan ihsan selagi hayat dikandung badan. Oleh itu, khatib menggesa diri sendiri dan sekalian yang hadir untuk merenung sejenak dan bermuhasabah. Apakah amal kebajikan yang telah kita lakukan di sepanjang umur yang dipinjamkan? Adakah setiap amal kebajikan kita disertakan dengan semangat keihsanan? Adakah kita bersyukur atas segala pemberian-Nya, lantas menambah amal kebajikan di jalan-Nya? 

Izinkan saya berkongsi satu janji Allah (s.w.t.) kepada hamba-hamba-Nya yang berbuat kebajikan, sepertimana terakam dalam Surah an-Nahl ayat ke-97. Allah berfirman:

 

Yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik di kalangan lelaki mahupun perempuan (sedang) dia dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan kepada mereka balasan yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.

 

 

Saudara dan Saudari,

Madrasah Ramadan menerima kehadiran sesiapa sahaja yang menginginkan rahmat Allah. Namun, setiap penuntut perlu terlebih dahulu menyucikan hati, nurani dan dirinya daripada dosa dan noda, semampunya. Marilah kita ambil kesempatan yang ada pada hari ini dengan memperbaiki keadaan diri. Kita perhatikan bisikan hati dan niat sebenar dalam amal dan kebajikan yang kita usahakan. Kita awasi lidah dan setiap tutur kata. Sayyiduna Umar Bin al-Khattab pernah berkata:

حَاسِبُوْا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوْا، وَزِنُوْا أَعْمَالَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُوْزَنُوْا

Yang bermaksud: “Perhitungkan dirimu sebelum kamu diperhitungkan nanti (di hari akhirat), dan timbanglah amalanmu sebelum kamu ditimbang nanti.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Muhasabah akan mendorong kita mempertingkatkan amal kebajikan kita disertai dengan nilai keihsanan. Meluruskan status kehambaan kita sehingga kita benar-benar meyakini kewujudan Allah (s.w.t.) dalam kehidupan ini, adalah suatu bentuk keihsanan terhadap diri sendiri.

Manfaatkan peluang untuk menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan, sama ada dalam bentuk sedekah, infaq, mahupun wakaf untuk institusi-institusi keagamaan dan kemasyarakatan kita. Tiada sumbangan yang kecil di sisi Allah (s.w.t.). Sabda nabi (s.a.w.) yang bermaksud: “Jauhkan dirimu dari api neraka, walau sekadar memberi sedekah (dengan) sebesar biji kurma.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Selain itu, perhatikan juga kebajikan saudara mara yang terdekat, atau jiran tetangga dan sahabat handai kita. Apakah mereka mempunyai persiapan yang mencukupi bagi memasuki madrasah Ramadan nanti? Apakah di sana ada ruang untuk kita menghulurkan bantuan kewangan, atau setidaknya sokongan fizikal dan moral? Sesungguhnya ini adalah cerminan ihsan kita sesama manusia. 

Saudara dan Saudari,

Dalam kita menghidupkan nilai keihsanan, kita juga boleh memikirkan tentang keihsanan dalam bentuk sumbangan fi sabilillah (di atas jalan Allah), dengan merancang pengurusan harta kita untuk kebajikan selepas kematian. Dan antara perancangan yang boleh diusahakan adalah dengan kita  meninggalkan wasiat secara rasmi dan bertulis. Ini bersesuaian dengan pesanan junjungan kita, nabi Muhammad (s.a.w.):

مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَىْءٌ يُرِيدُ أَنْ يُوصِيَ فِيهِ يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ إِلاَّ وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ

Yang bermaksud: “Tidak sepatutnya bagi seseorang muslim yang mempunyai sesuatu yang ingin diwasiatkannya tidur selama dua malam, melainkan wasiatnya telah tertulis disisinya.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Marilah kita sama-sama bermuhasabah, menilai dan memperbaiki amalan kita. Ayuh! kita pertingkatkan nilai keihsanan dalam persiapan kita memasuki bulan Ramadan yang mulia. Semoga Allah (s.w.t.) memberkati segala usaha kita. Amin ya Rabbal ‘Alamin. 

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

KHUTBAH KEDUA

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ. 

 

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِين. اللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.  

 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.