collections khutbah Kemanisan Bulan Ramadan
Kemanisan Bulan Ramadan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

8 Mac 2024 / 27 Syaaban 1445H

Kemanisan Bulan Ramadan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah (s.w.t.). Laksanakan segala perintah-Nya, dan tinggalkan segala larangan-Nya. Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan peluang kepada kita semua untuk bertemu dengan bulan Ramadan yang mulia nanti. Amin.

Para jemaah yang dikasihi,

Segala puji bagi Allah (s.w.t.) yang mana dengan rahmat-Nya, kita sebagai umat Nabi Muhammad (s.a.w.), dikurniakan bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan peluang ganjaran dan pengampunan, dan bulan yang tidak pernah diberikan kepada umat yang terdahulu. Marilah bersama kita perhatikan sabda Nabi Muhammad (s.a.w.):

إِنَّ للهِ عُتَقَاءَ فِي كُلِّ يَومٍ وَلَيْلَةٍ، لكلِّ عبد مِنهُم دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mempunyai sekumpulan manusia yang akan dibebaskan (dari api neraka) pada setiap siang dan malam (bulan Ramadan), dan bagi setiap hamba daripada mereka itu yang berdoa akan dikabulkan.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Hadis ini menjadi satu motivasi agar kita menanamkan niat yang lurus ketika beramal khususnya di bulan Ramadan. Kita semaikan azam untuk menjadikan Ramadan kali ini lebih berkualiti dari Ramadan sebelumnya. Ayuh, kita lakarkan perancangan yang rapi, agar tidak terkecuali daripada mendapatkan rahmat serta pengampunan daripada Allah (s.w.t.). 

Saudara dan saudari,

Dalam mempersiapkan diri menyambut Ramadan, elok rasanya kita berhenti sejenak dan menilai semula keikhlasan kita dalam beribadah. Ini antara teknik bermuhasabah yang dapat membantu kita kekal lurus dan ikhlas dalam pengabdian diri kepada Allah.  Kita juga boleh memikirkan apa yang ingin dicapai pada Ramadan kali ini? Taubat nasuha, keinsafan atau ganjaran? 

Dan jika kita luaskan skop muhasabah diri, mungkin kita boleh beralih kepada soalan-soalan seperti, bagaimana kita boleh mencerna perubahan positif pada kehidupan kita dan mereka yang berada di sekeliling? Bagaimana boleh kita membantu ahli keluarga dalam persiapan Ramadan? Sebenarnya saudara-saudara sekalian, terdapat beberapa ruang yang boleh difikirkan dalam hal ini seperti menjaga diet pemakanan, perubatan, atau berkongsi panduan Islam ketika berpuasa dan sebagainya.

Sidang Jemaah sekalian,

Dalam keghairahan kita menyambut kehadiran Ramadan, usahakanlah untuk mendapatkan bimbingan daripada para asatizah bertauliah berkaitan hukum-hakam dan cara melaksanakan ibadah sepanjang bulan Ramadan. Bagi mereka yang berhadapan dengan situasi atau cabaran tertentu, seperti menghidapi penyakit yang memerlukan rawatan pada siang hari, atau berhadapan dengan bidang tugasan yang mencabar, dapatkanlah nasihat daripada pakar. Semoga dengan ini amal ibadah kita dapat dilaksanakan dengan tenang, sesuai dengan kemampuan dan kesihatan kita. Ini merupakan sebahagian daripada tanda kesungguhan kita dalam mencari keredhaan Allah (s.w.t.). Marilah kita hayati firman Allah dalam surah al-Ankabut, ayat 69 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

Saudari dan saudari yang dikasihi,

Ayuh lakarkan perancangan peribadatan yang rapi dan tersusun, agar kita dapat mengecap kemanisan Ramadan.  Niat yang jelas dan perancangan yang teratur adalah asas utama bagi meraih Ramadan yang lebih bermakna dan berkesan.

Akhir sekali, sama-samalah kita mengikhlaskan niat, kita bertawassul kepada Allah menerusi amal-amal soleh yang pernah kita lakukan, kita mengemis belas ihsan, rahmat dan kuasa Allah agar saudara-saudara kita di Palestin secara khusus dan di Timur Tengah secara amnya, diberikan jalan keluar daripada kemelut konflik dan kezaliman yang berterusan. Ya Allah Ya Latiff Ya Qadir, bantulah hamba-hamba-Mu di sana, lembutkanlah hati-hati yang keras, hembuskanlah nilai kemanusiaan yang mungkin telah hilang dalam diri manusia yang sering alpa pada kuasa-Mu, dan kau hadirkan kembali keamanan yang berpanjangan buat mereka. 

Mudah-mudahan, Allah (s.w.t.) menerima kesungguhan kita dalam beramal dan berdoa, dan mengampunkan segala dosa kita. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

KHUTBAH KEDUA

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ. 

 

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِين. اللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.  

 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.