collections khutbah Kekuatan Rohani di Bulan Ramadan
Kekuatan Rohani di Bulan Ramadan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

15 Mac 2024 / 4 Ramadan 1445H

Kekuatan Rohani di Bulan Ramadan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, meninggalkan segala larangan-Nya, dan berusaha untuk melaksanakan segala perintah-Nya. Semoga Allah menyuburkan ketakwaan kita hasil daripada ibadah puasa yang kita laksanakan sepanjang Ramadan. Amin.

Saudara dan Saudari,

Dunia ini dijadikan Allah indah dan mempesona. Harum mewangi sepanjang usia. Sehingga membuat ramai insan terlupa hakikat serta tujuan hidup yang sebenarnya.

Namun beruntung sekali insan yang terpilih untuk memiliki iman di dada. Kerana agamanya mengatur pelbagai program untuknya bagi membantunya meluruskan hidupnya, di tengah-tengah pesona dunia yang mudah menipu daya.

Begitulah dengan ibadah puasa yang disusun Allah, yang berulang tiba setiap tahun. Dalam musim Ramadan inilah, kita merasakan betapa hebat hadiah Allah untuk kita. Allah mahu kita berlapar sepanjang siang. Allah mahu kita rasa peritnya dahaga dari subuh sehingga terbenam matahari. Bukan bertujuan untuk menyeksa kita, seperti yang disangka oleh mereka yang tidak memahami. Sebaliknya, Allah hendak kita menjadi hambanya yang punya kekuatan, yang teguh pendirian, yang segar rohaninya dalam apapun keadaan. Supaya apabila dunia kembali menjelma dengan segala perhiasannya yang menggoda, kita yang beriman ini tidak mudah cair dan larut dalam nafsu yang keterlaluan. Kerana mereka yang berpuasa dianugerahkan Allah takwa yang membenteng diri dan jiwa. Sebagaimana firman Allah yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, ayat 183).

Mungkin, ada yang tertanya-tanya, “Apakah kaitannya di antara tidak makan dan tidak minum, dengan ketakwaan terhadap Allah?”.

Para jemaah yang dikasihi,

Madrasah Ramadan menerusi ibadah puasa diatur Allah untuk kita memiliki kemampuan mengawal keinginan diri. Dalam istilah agama, inilah yang dinamakan SABAR.

Seorang Muslim yang mempunyai kekuatan dalaman sehingga mampu menguruskan kemahuan diri dengan baik, biasanya akan menikmati kejayaan dalam hidup. Itulah formula kecemerlangan seorang pelajar, rahsia kejayaan seorang pemimpin, peniaga, pekerja dan sesiapa sahaja. Sebaliknya, orang yang lemah tekad dirinya, sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi menunaikan permintaan nafsunya semata-mata, biasanya akan menghadapi kegagalan dalam mengejar apapun cita-citanya.

Maka begitulah pula keadaan orang yang mengharapkan keredaan Allah dan mengimpikan kebahagiaan di akhirat nanti.  Dia perlu membangunkan kekuatan SABAR dalam dirinya melalui latihan berpuasa yang diperintahkan Allah, terutama sekali sepanjang bulan Ramadan setiap tahun ini. Sabda Rasulullah (s.a.w.):

الصَّومُ نِصْفُ الصَّبرِ، وَالطُهُورُ نِصْفُ الإِيمَانِ

Yang bermaksud: “Puasa itu separuh daripada sabar, dan bersuci pula separuh daripada iman.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Oleh itu, saudaraku, usahakanlah agar puasa ini benar-benar dapat menyegarkan kekuatan sabar di dalam diri. Ini kita lakukan dengan melenturkan keinginan nafsu, supaya kemahuan-kemahuan kita sesuai dengan kemampuan dan keperluan.  Jangan lagi kita lemah bila berhadapan dengan keinginan nafsu, sehingga nafsu itu pula yang beraja di mata dan bersultan di hati.  

Berhati-hatilah dengan selera tekak dan perut kita bila datang waktu untuk berbuka puasa. Pastikan latihan puasa kita tidak sia-sia begitu sahaja, apabila sedikit keperitan lapar dan dahaga kita sepanjang siang ditutup pula dengan kekenyangan yang berlebihan saat matahari melabuhkan tirainya. 

Begitu pula dengan keinginan untuk berbelanja, terutama dalam membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya nanti. Usah berbelanja berlebihan sehingga berlaku pembaziran, terutama jika sampai ke tahap berbelanja di luar kemampuan. 

Tambahan daripada itu, secara umumnya amalan berjimat juga merupakan perintah agama. Sebagai contoh, berjimat dalam penggunaan sumber alam seperti air, penggunaan elektrik dan sebagainya, sekalipun untuk tujuan beribadah. Ingatlah, firman Allah yang menegaskan bahawa orang-orang yang membazir itu ialah saudara-saudara syaitan. 

Kalau begitulah kebiasaan kita, bagaimana mungkin nafsu kita dapat ditakluki dan dijinakkan?  Bagaimana mungkin kita berjaya menjadi insan yang kuat jiwa dengan kesabaran apabila menghadapi pelbagai cabaran sepanjang hidup? Perhatikanlah, saudara, firman Allah (s.w.t.):

Yang bermaksud: “Apa yang ada padamu itu akan hilang lenyap, sedangkan apa yang ada di sisi Allah akan tetap kekal. Dan Kami pasti akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersabar dengan ganjaran pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.”  (Surah Al-Nahl, ayat 96).

Mudah-mudahan, Allah (s.w.t.) mengurniakan kepada kita kemampuan melaksanakan ibadah puasa ini sesuai tujuan dan matlamatnya. Semoga Allah mengurniakan rahmat-Nya serta keamanan buat seluruh Muslimin. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

KHUTBAH KEDUA

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ. 

 

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِين. اللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.  

 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.