collections khutbah Keberkatan di Bulan Ramadan
Keberkatan di Bulan Ramadan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

22 Mac 2024 / 11 Ramadan 1445H

Keberkatan di Bulan Ramadan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar erti takwa, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga Allah s.w.t. terus menyuburkan ketakwaan kita hasil daripada ibadah puasa yang kita laksanakan sepanjang Ramadan ini. Amin.   

Para jemaah yang dikasihi,

Al-Qur’an menceritakan sejarah Bani Israil di bawah pimpinan Nabi Musa a.s., bahawa mereka pernah melakukan kesalahan besar dengan menyembah sebuah patung lembu semasa ketiadaan beliau. Allah s.w.t. lalu menetapkan hukuman yang amat keras, iaitu hukuman mati ke atas mereka yang melakukan perbuatan syirik itu. Nabi Musa kemudian membawa tujuh puluh orang dari kalangan mereka menuju ke satu tempat yang Allah tentukan, dengan tujuan untuk bertaubat kepada Allah s.w.t.  

Namun, dalam perjalanan itu, Allah telah menggegarkan bumi tempat mereka berpijak, sebagai amaran dan peringatan. Kejadian itu telah menimbulkan rasa cemas di dalam hati Nabi Musa a.s., yang lantas berdoa memohon keampunan serta rahmat Allah s.w.t. Antara rayuan Nabi Musa adalah seperti yang terakam di dalam ayat 156 Surah al-A’raf: 

Yang bermaksud: “Dan tetapkanlah untuk kami kebaikan di dunia ini dan di akhirat. Sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepada-Mu.” (Allah) berfirman: “Seksa-Ku akan Aku timpakan ke atas siapa yang Aku kehendaki, sedangkan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu (lebih luas). Maka akan Aku tetapkan rahmat-Ku bagi orang-orang yang bertakwa, yang menunaikan zakat dan mereka yang beriman kepada ayat-ayat Kami. 

Demikianlah saudara dan saudari sekalian, di sebalik besarnya kemurkaan Allah terhadap kejahatan Bani Israil itu, dan kerasnya amaran yang dikeluarkan kepada mereka, Allah tetap bersifat sebagai Tuhan Yang Maha Pengampun.

Allah menegaskan bahawa dengan keadilan-Nya, akan ada balasan seksa yang ditimpakan ke atas orang-orang yang dikehendaki-Nya. Namun kemaafan dan kelembutan-Nya jauh lebih luas daripada kemurkaan-Nya itu. Yakinilah bahawa rahmat dan kasih Allah meliputi segala sesuatu. 

Maka begitulah pula pengharapan kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w., terutama di sepanjang Ramadan ini. Ramadan kembali hadir menjenguk kita dengan selangit keampunan Tuhan, dalam keadaan kita masih membawa dosa sebesar gunung. Tetapi umat ini diajar untuk tidak berputus asa. Selagi kita merendahkan diri mengemis pengampunan-Nya, selagi itu Allah s.w.t. akan menghapuskan segala kesalahan dan dosa kita kepada-Nya. Itulah di antara kejayaan berpuasa Ramadan yang kita dambakan, seperti yang disebut Baginda Nabi Muhammad s.a.w.: 

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا واحْتِسابًا غُفِرَ لَهُ مٓا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Yang bermaksud: “Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu. (Hadis Riwayat Iman Bukhari). 

Kejarlah rahmat Allah, wahai saudara-saudariku sekalian. Bersangka baiklah kepada Allah sepanjang masa. Di masa yang sama, usahakanlah agar kita bersungguh-sungguh untuk melakukan apa yang dituntut Allah demi mendapatkan curahan rahmat-Nya. Apakah itu? Mari kita perhatikan sekali lagi ayat 156 Surah al-A’raf tadi, yang mana Allah menegaskan bahawa rahmat-Nya dikurniakan kepada mereka yang 1) bertakwa, 2) menunaikan zakat dan 3) beriman kepada ayat-ayat Allah. 

Insya-Allah, puasa kita akan menguatkan ketakwaan di dada, dan dengan itu hubungan kita dengan Allah akan bertambah teguh dan segar. Jika diperhatikan ayat ini dengan pandangan yang lebih cermat, terselit juga mesej bahawa menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan masyarakat melalui zakat adalah antara syarat untuk mendapatkan rahmat Allah s.w.t. Dengan lain perkataan, ia adalah peringatan kepada Bani Israil, dan kepada kita semua, bahawa menjaga tali hubungan dengan Allah melalui ketakwaan sahaja tidak mencukupi, jika aspek keperluan masyarakat tidak dipeduli. Kerana itu juga, terdapat lebih 20 ayat di dalam Al-Qur’an yang mana Allah menggabungkan perintah solat dengan perintah zakat.

Saudara dan Saudari, 

Alhamdulillah, telah menjadi amalan kebanyakan masyarakat kita untuk menunaikan zakat di dalam bulan Ramadan kerana mengharapkan keberkatannya. Teruskan amalan mulia ini, saudara. Namun, usahlah zakat dikeluarkan sekadar untuk melepaskan kewajipan. Sebaliknya hayatilah gabungan zakat dengan solat, takwa, dan puasa, sebagai pemurni jiwa yang mendatangkan rahmat Allah yang melimpah ruah untuk kita.

Ayuh! Kita jadikan Ramadan ini penuh bermakna dengan puasa yang menyuburkan takwa di dada, dan dengan sifat peduli dan empati terhadap keperluan masyarakat kita. Semoga dengan itu juga, Allah membersihkan jiwa kita daripada sifat bakhil, sombong, mementingkan diri sendiri, dan tidak bersyukur di atas nikmat kurniaan Allah, yang bilangannya tidak terhitung dan nilainya tidak terperi. Amin ya Rabbal ‘Alamin.  

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Krisis kemanusiaan di Palestin masih belum menunjukkan sebarang tanda titik akhir. Mereka yang dizalimi terus dicengkam ketakutan dan keadaan tidak menentu di tengah-tengah keheningan Ramadan. Pada masa yang sama, mereka juga mendambakan simpati masyarakat dunia. Oleh yang demikian, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) telah memulakan kutipan derma ‘Rayuan Ramadan Untuk Gaza 2024’ pada Rabu 20 Mac. Anda boleh menderma melalui tabung-tabung di masjid ini yang menunjukkan kutipan Ramadan bagi Gaza. Anda juga boleh menyumbang melalui wadah dalam talian seperti PayNow, Interbank Transfer dan menerusi cek. Maklumat lanjut boleh didapati di lelaman web dan media sosial Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin (RLAF). 

Ayuh bersama kita hulurkan bantuan kepada mereka dan sekaligus mengambil kesempatan keberkatan bulan Ramadan yang mulia dengan amal soleh. Ayuh, kita panjatkan doa dalam keadaan kita berpuasa di siang Ramadan ini, agar Allah s.w.t. segera meringankan penderitaan mereka, dan membantu hamba-hamba-Nya di sana. Amin ya Rabbal Alamin. 

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.  

 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.