collections khutbah Al-Qur’an: Sumber Ketenangan dan Pendoman Kehidupan
Al-Qur’an: Sumber Ketenangan dan Pendoman Kehidupan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

29 Mac 2024 / 18 Ramadan 1445H

Al-Qur’an: Sumber Ketenangan Dan Pendoman Kehidupan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dengan meninggalkan segala larangan-Nya, dan melaksanakan segala perintah-Nya. Semoga Allah s.w.t. terus menyuburkan ketakwaan kita hasil daripada ibadah yang kita laksanakan sepanjang bulan Ramadan ini. Amin. 

Para jemaah sekalian,

Sebagai hamba Allah s.w.t. yang hidup atas kehendak dan izin-Nya, kita diciptakan untuk mengabdikan diri dan beribadah kepada-Nya. Kita diamanahkan menjadi khalifah untuk menguruskan kehidupan bumi tempat tinggal kita ini. Kita juga diuji bagi mempersiapkan diri dengan amal soleh untuk bekalan akhirat kita nanti.

Maka, perjalanan hidup ini penuh dengan dugaan. Ada kalanya kita merasakan betapa ujian yang perlu kita tempuh amat memeritkan. Ada ketikanya kita buntu, tidak pasti arah mana hendak dituju. Namun, ketahuilah, bahawa Allah s.w.t. tidak membiarkan kita begitu sahaja. Dengan kasih sayang-Nya yang agung, Allah bantu kita dengan pelbagai cara. Di antaranya adalah dengan diturunkan panduan lengkap sebagai pedoman kita, iaitu kitab al-Qur’anul Karim. Perhatikan saudara saudari, firman Allah di dalam Surah Yunus, ayat 57:

Yang bermaksud: “Wahai manusia! Sungguh, telah datang kepadamu peringatan (al-Qur’an) daripada Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada di dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Saudara dan Saudari yang dikasihi,

Ayat ini menjelaskan kepada kita akan keunggulan al-Qur’an dengan ciri-ciri serta peranannya. Pertama, al-Qur’an ialah kitab peringatan, agar kita tidak leka dalam melayari pelayaran hidup di dunia ini. Jangan sampai kita hanyut dibawa arus kelalaian dan keseronokan, sehingga terlupa matlamat sebenar kita di hujung kehidupan.

Kedua, al-Qur’an ini ialah penawar untuk penyakit dan luka, khususnya penyakit di hati, dan luka akibat dosa yang mengotori dada manusia. Ia menghembuskan ketenangan ke dalam jiwa, tatkala resah dan gelisah datang melanda.

Ketiga, al-Qur’an ini ialah petunjuk, yang Allah jadikan sebagai cahaya menerangi kegelapan, yang seringkali menyebabkan manusia terkapai-kapai tidak mengetahui arah dan tujuan. Dengan al-Qur’an, insan mengetahui apa yang perlu dilakukan, bagaimana membuat keputusan, dan prinsip hidup yang mana satu perlu menjadi pegangan.

Keempat, al-Qur’an ialah rahmat daripada Allah untuk hamba-Nya. Apabila dibaca ayat-ayatnya, diri tidak terasa terpinggir mahupun dilupakan. Sebaliknya, mendampingi al-Qur’an membuat insan merasakan betapa dia disayangi Tuhan. Dan itu menjadi sumber keteguhan dalam mengharungi ujian.

Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan sepotong hadis bahawa pernah seorang sahabat Nabi membaca Surah al-Kahfi di samping kudanya yang sedang diikat. Lalu muncul seakan-akan gumpalan awan menghampiri dan menaunginya sedikit demi sedikit. Keesokan harinya, lelaki tersebut menceritakan pengalamannya kepada Nabi s.a.w., lalu baginda menjelaskan dengan sabdanya:

تِلكَ السَّكِينَةُ تَنَزَّلَتْ بِالقُرْآنِ

Yang bermaksud: “Itu ialah al-Sakinah, atau ketenangan, yang turun dengan sebab al-Qur’an.

Subhanallah! Perhatikan, saudara! Alangkah beruntungnya orang yang mendampingi al-Qur’an: dibaca ayat-ayatnya, dijaga kemuliaannya, dipelajari kandungannya, dipegang panduannya, ditaati arahannya. Akhirnya, Allah menurunkan rasa ketenangan memenuhi hati. Rasa ketenangan dan kedamaian yang membuat kita mampu meneruskan langkah dalam kehidupan dengan yakin dan berani. Hari esok yang perlu dihadapi, diyakini penuh membawa harapan dan peluang, bukan mendung hitam yang membuat kita risau memanjang. Apa yang telah berlalu pula dapat diterima dengan penuh rasa syukur dan reda, tanpa sedikitpun keinginan untuk mengeluh menyesali nasib dan takdir.

Oleh itu, saudara-saudari sekalian, ambillah kesempatan daripada bulan Ramadan ini, bulan diturunkan al-Qur’an, untuk terus berusaha menyegarkan hubungan kita dengan kitab Allah yang suci ini. Mulalah dengan belajar membaca al-Qur’an, bagi sesiapa yang belum boleh membacanya. Tidak perlu berasa malu kalau baru mula hendak mempelajarinya, kerana orang yang benar-benar ingin mengejar cinta Tuhan, tidak akan terkesan dengan pandangan mahupun kata-kata sang insan. Bagi yang sudah boleh membaca al-Qur’an, jangan sampai lidah kita lama gersang, tidak mengalunkan ayat-ayatnya. Bagi yang membasahi lidahnya dengan al-Qur’an setiap hari pula, usahlah cepat berasa cukup sehingga tidak merasa perlu untuk mempelajari dan menghayati isi kandungannya. 

Begitulah seterusnya, saudaraku, pertingkatkan dan pertingkatkanlah lagi komitmen kita dengan kitab Allah ini.  Tidak perlu dikasihani al-Qur’an itu kalau ia dipinggirkan dan tidak diendahkan. Kerana al-Qur’an tetap kekal di bawah pemeliharaan Allah sehingga hari kiamat nanti. Tetapi diri kita inilah yang patut dikasihani, jika keberkatan al-Qur’an tidak kita perolehi, dan keindahannya tidak mampu kita nikmati.

Semoga Ramadan ini berjaya melembutkan hati sehingga ayat-ayat Allah lebih kita hargai. Amin ya Rabbal ‘Alamin.  

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.  

 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.