collections khutbah Merancang Pengurusan Harta Untuk Kebajikan
Merancang Pengurusan Harta Untuk Kebajikan

 


Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

3 Mei 2024 / 24 Syawal 1445H

Merancang Pengurusan Harta Untuk Kebajikan

Muslimin Dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar ketakwaan, taati segala perintah-Nya dan jauhi segala tegahan-Nya. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita ruang dan peluang untuk menyumbang kepada kemanfaatan manusia. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang Jumaat sekalian,

Islam menganjurkan kita untuk berusaha sebelum bertawakal. Usaha bererti kita membuat perancangan dengan sebaiknya sebelum menyerahkan segala ketentuan dan hasil usaha kita kepada Allah s.w.t.

Prinsip yang sama juga boleh dipraktikkan dalam perancangan pengurusan harta. Perancangan yang rapi boleh membantu mereka yang diamanahkan untuk menguruskan harta dengan sebaik mungkin, bersesuaian hasrat pemilik harta setelah ketiadaannya. Tawakal pula menyusul dengan harapan semoga usaha tersebut dipermudahkan oleh Allah. 

Perhatikan juga nilai pengurusan harta yang disalurkan pada jalan Allah seperti yang terakam dalam surah al-Baqarah ayat 261:

Yang bermaksud: “Perbandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, adalah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai; pada setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Maha Mengetahui.

Subhanallah, Allah s.w.t. menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda sehingga 700 kali ganda bagi setiap sumbangan, tanpa mengira nilai sumbangan tersebut, sama ada kecil mahupun besar. Imam Muslim pernah meriwayatkan dari al-A’mash bahawa telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w. dengan membawa seekor unta yang telah diikat dengan tali tunggangannya dan berkata: “Wahai Rasulullah ini adalah sumbanganku di jalan Allah”. Lalu Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Bagimu dengan sumbangan unta ini sebanyak 700 unta beserta tali tunggangannya pada hari kiamat.

Saudaraku,

Terdapat banyak cara yang boleh kita lakukan untuk menyumbang di jalan Allah s.w.t., seperti derma dan sedekah,  zakat dan juga wakaf. Izinkan mimbar hari ini memberikan penekanan berhubung amalan berwakaf.

Wakaf adalah salah satu bentuk ibadah bagi mendekatkan diri kepada Allah menerusi kekayaan. Harta yang diwakafkan itu digunakan untuk kemanfaatan masyarakat pada hari ini dan pada masa hadapan. Amalan berwakaf mula disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Ramai para sahabat Nabi s.a.w. yang berharta berlumba-lumba mewakafkan tanah milik mereka. Antaranya adalah Sayyidina Umar bin al-Khattab yang telah mewakafkan salah satu tanah miliknya di sebuah kawasan bernama Khaibar. Sayyidina Umar r.a. telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan menanyakan kepada Baginda tentang tanah tersebut, beliau berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki sebidang tanah di Khaibar, yang aku belum pernah miliki tanah sebaik itu. Apakah nasihatmu kepadaku?” Rasulullah menjawab: “Jika engkau suka, peliharalah (pokok) tanah tersebut, dan sedekahkanlah (hasilnya), tidak dijual, tidak dihibahkan, dan tidak diwariskan.” (Hadis riwayat Imam Bukhari).

Keistimewaan amal kebajikan menerusi wakaf ialah ganjaran yang berterusan semasa hidup dan selepas kematian pemberi wakaf (pewakif). Inilah yang dinamakan amal jariah, iaitu pahala yang ‘jariah’, pahala yang berterusan selagi sesuatu harta yang diwakafkan tertegak dan berfungsi, atau selagi hari kiamat belum tiba. Ia menjadi saham amalan kita di akhirat kelak.

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Amalan berwakaf di Singapura telah lama diusahakan oleh generasi terdahulu. Para dermawan dan pedagang Muslim yang merantau ke sini telah mula mewakafkan harta mereka seawal tahun 1800-an lagi. Sebagai contoh, Masjid Bencoolen dan Masjid Al-Huda, di mana masjid dan tempat kediaman dibina di atas sebidang tanah yang diwakafkan. Jelasnya, kedua-dua aset tersebut menyahut panggilan kemaslahatan dan kemanfaatan buat masyarakat setempat.

Saudaraku, itu adalah senario lebih seabad lalu. Hari ini, apakah wujud peluang bagi kita melakukan yang serupa? Jika ada, bagaimanakah masyarakat Islam pada hari ini dapat mewakafkan harta mereka? Tidakkah seorang itu perlu memiliki hartanah untuk membentuk harta wakaf?

 

Zumratal Mukminin Rahimakumullah,

Pada hari ini, kita turut berpeluang menghidupkan amalan berwakaf dalam usaha memenuhi keperluan jangka panjang sosio-agama masyarakat Islam Singapura. Sekiranya kita tidak memiliki hartanah untuk diwakafkan seperti bangunan, rumah kedai dan sebagainya, kita masih berpeluang untuk menyumbang menerusi dana wakaf kelolaan masjid-masjid dan madrasah-madrasah sepenuh masa.

Mungkin ada juga di antara kita yang pernah mendengar Wakaf Masyarakat Singapura (WMS). Ia diperkenalkan pada Jun 2020 untuk membiayai keperluan masa depan masyarakat kita dan institusinya secara mampan (sustainable). Dengan pelancaran Wakaf Masyarakat Singapura nanti, kita dapat membangun dana wakaf dan meninggalkan warisan yang bermanfaat secara kolektif buat generasi akan datang. Mari kita bersama menyumbang kepada kepentingan, kebajikan dan kemaslahatan generasi seterusnya. Usahakan untuk merancang kemaslahatan kita dan kebajikan masyarakat dengan sebaiknya. Buatlah perancangan awal secara bertulis dan rasmi, agar hasrat dan niat murni kita untuk berwakaf sambil melakukan kebajikan dan amal jariah dapat terlaksana walaupun selepas ketiadaan kita nanti.

Semoga Allah s.w.t. menerima segala amalan kita dan mengurniakan ganjaran yang berterusan buat kita semua. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَم وَاْلأَمْنَ وَاْلأَمَانَ لِلْعَالَمِ أَجْمَع يَا لَطِيْف. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.